Sunday 30 June 2013

Perpisahan Sementara

Perpisahan Sementara


Pejam celik Ramadan akan muncul lagi. Sama ada kita sempat ataupun tidak menjadi tetamu Ramadan, belum pasti lagi. Yang pasti, Ramadan kali ini (kalau saya berkesempatan melaluinya), adalah tahun pertama akan saya lalui tanpa seorang yang saya panggil Mak. Ibu saya kembali kepada-Nya pada 19 Mei yang lalu selepas 13 bulan berjuang melawan kanser.

Sebenarnya walau apa pun yang saya katakan, saya tidak pernah bersedia kehilangan ibu saya. Walaupun selepas melihat keadaan beliau yang semakin uzur dua bulan sebelum pemergian beliau. Walaupun selepas saban hari saya dan adik-beradik berdoa supaya Allah berikan yang terbaik kepada beliau; sama ada sembuhkan penyakit beliau ataupun ambillah nyawa beliau dalam keadaan paling mudah supaya beliau tidak terus diuji dengan kesakitan.

Saya merelakan pemergian beliau kerana percaya itu yang terbaik. Tetapi, saya tetap rindu beliau. Ada kala, saya seperti terlupa, lalu terlintas mahu menelefon beliau. Sudah jadi rutin saya selalu menelefon beliau untuk mendengar cerita beliau. Ibu saya, semasa sihat, memang suka bercakap. :)

Ibu saya adalah sebab utama saya berhenti kerja. Dan tidak sekali saya kesal dengan keputusan saya. Sebaliknya, saya rasa terkilan kerana masa saya bersama beliau tidaklah lama pun. Walaupun saya berhenti bulan Februari, tetapi waktu itu saya masih mengalami alahan yang teruk. Mahu menjaga diri sendiri pun sukar. Kemudian apabila sudah pulih, tanggungjawab sebagai isteri pula membuatkan masa saya bersama ibu terhad. Kebetulan suami saya cuti sebulan lebih. Namun, saya berterima kasih kepada suami kerana memahami. Saya berulang, tidur di rumah kakak beberapa hari dalam seminggu dan pulang menemani suami yang ketika itu bercuti beberapa hari dalam seminggu. Itulah rutin saya sehingga suami kembali bekerja. Barulah saya dapat menghabiskan masa sepenuhnya di rumah kakak untuk menemani ibu.

Lebih saya terkilan, saya sering hilang sabar apabila ibu tidak mahu makan ubat. Oh, manalah saya tahu masa beliau kian hampir. Kalaulah saya tahu, tidak sesekali saya meninggikan suara, jauh sekali rasa hampa, terkilan, dan marah. Waktu itu, saya hanya merasakan Mak sudah mula putus asa dan itu buat saya kecewa.

Sehingga kini, air mata pasti bergenang dan menitis. Sayu pandangan mata Mak pada hari-hari terakhir beliau kekal dalam ingatan. Saya cuma berharap Mak tahu yang saya sayangkan dia, malah dalam dunia ini, Mak adalah orang yang paling saya sayang. Saya juga berharap Mak maafkan atas segala kelemahan dan dosa saya sepanjang kami hidup bersama.

Al-Fatihah untuk Hajah Zairiyah Haji Kasim. Semoga Mak ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Semoga terlepas daripada seksa kubur dan azab api neraka. Semoga dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus dan semoga kami dapat berkumpul di sana kelak. Amin.

Kepada yang masih ada ibu, hargailah ibu kita. Walaupun kita sudah bekeluarga, ada suami, ada anak, jangan sesekali mengabaikan ibu kita. Walaupun kita tidak seiringan pendapat, jangan sesekali memencilkan ibu kita. Baik ataupun buruk, dia ibu yang melahirkan kita. Jangan menyesal di kemudian hari.

Kepada yang sudah tiada ibu, mari kita sama-sama mendoakan ibu kita supaya sentiasa dalam perlindungan Ilahi. Al-Fatihah, Yasin dan tahlil adalah pengubat rindu seorang anak. Semoga kita tidak lupa meluahkan kerinduan kita melalui amalan kita. Insya Allah....

Sekarang saya perlu meneruskan hidup. Faktor utama saya berhenti kerja sudah tiada. Namun, ada faktor lain pula yang insya Allah akan muncul ke dunia pada penghujung bulan Ogos ini. Sebab itu saya tersepit antara mahu kembali makan gaji ataupun mampu bekerja sendiri dari rumah. Dan sekarang, saya dalam usaha mencuba bekerja dari rumah. Saya berharap percubaan saya ini akan membuahkan hasil.

Setiap daripada kita mempunyai alasan tersendiri mengapa kita mahu apa yang kita mahu. Walaupun sebabnya berbeza, tetapi sekiranya kemahuan kita sama, marilah sertai saya dan bantu saya juga. :)

Caranya mudah sahaja. Beli e-book daripada saya di ADALAH RUMAH BUKU ONLINE ataupun sertai kelas asas blog. 

Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. 


Marilah kita sama-sama mengejar pelangi!

Saturday 29 June 2013

Proposal Karya Fiksyen (bahagian 1)



Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Seperti dalam entri terdahulu, sudah dimaklumkan ada sesetengah penerbit hanya mahukan bakal penulis menghantar proposal atau kertas cadangan untuk saringan peringkat satu. Setiap penerbit mempunyai permintaan berbeza. Untuk kepastian, layari laman web ataupun hubungi terus penerbit melalui e-mel mahupun panggilan telefon.

Walau bagaimanapun, berikut adalah antara item penting yang perlu dimasukkan dalam sesebuah proposal karya fiksyen.

  1. Cadangan judul:
    Perlu diingat dan dan difahami, sebagai penulis, kita berhak memberi cadangan judul. Namun, penerbit juga berhak menolak dan mencadangkan judul lain yang dirasakan sesuai dan menepati kehendak pasaran. Tidak perlu terbeban memikirkan soal judul dahulu. Berikan dahulu yang kita dapat fikirkan. Paling utama, pastikan proposal kita diterima terlebih dahulu. Kita ada tempoh yang panjang memikirkan judul buku kita kelak kalau kita rasa tidak cukup catchy dan sebagainya.

  2. Anggaran muka surat/halaman:
    Setiap penerbit mempunyai kriteria tersendiri dalam penentuan jumlah muka surat yang sesuai untuk satu-satu jenis produk. Contohnya ketebalan novel dewasa pastilah tidak sama dengan atau lebih berbanding novel kanak-kanak. Kita boleh meletakkan anggaran muka surat manuskrip kita berdasarkan kriteria penerbit. Sekiranya tidak sesuai editor akan maklumkan.
  1. Watak dan pengenalan watak:
    Ini adalah elemen yang penting yang harus ada dalam proposal fiksyen.
    Senaraikan watak-watak utama dan watak pembantu ataupun sampingan. Tidak semestinya perlu senaraikan semua watak. Yang penting, watak utama dan beberapa watak pembantu yang menggerakkan cerita disenaraikan.
    Senaraikan juga pengenalan watak iaitu:
    - Latar belakang watak seperti usia, berasal dari keluarga sederhana dan sebagainya.
    - Karakter (sikap) seperti baik hati, periang, pendiam, dan sebagainya.
    - Fizikal watak seperti tinggi, rendah, kurus, dan sebagainya.
    - Hubungan antara watak seperti adik-beradik, kawan baik, dan sebagainya.

  2. Sinopsis lengkap:
    Boleh ditulis dalam satu hingga tiga muka surat. Apabila dikatakan lengkap, ini bermaksud ia perlu mengandungi keseluruhan jalan cerita dari awal hingga akhir bagi memudahkan editor menilai. Namun, jangan risau. Kita masih boleh membuat perubahan semasa proses penulisan. Katakan proposal kita diterima, semasa proses penulisan manuskrip berjalan, kita mendapat idea yang lebih baik untuk dimasukkan sekali gus, akan ada perubahan pada jalan cerita. Ia boleh dilakukan, dengan syarat, pastikan idea itu menjadikan cerita yang ditulis lebih menarik, dan bukan sebaliknya.

Baiklah, saya berhenti dahulu untuk hari ini. Lenguh jari-jemari menaip. :)
Ada empat lagi item yang biasanya diletakkan dalam proposal karya fiksyen. Satu daripada empat item itu sangatlah penting dalam proses penilaian/saringan peringkat satu ini. 
Apakah item itu? Nantikan entri seterusnya daripada saya. :)


Selamat menulis. Marilah kita sama-sama mengejar pelangi.  

Friday 28 June 2013

Duit Oh Duit


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani....

Hari yang baru, semoga lebih baik daripada semalam. Insya Allah.

Saya semakin berdebar-debar. Banyak yang bermain dalam fikiran. Maklumlah... saya dijadualkan bersalin hujung bulan Ogos. Tidak tahu bagaimana mahu menjangkakan apa yang akan berlaku. Lebih berdebar memikirkan kos bersalin kelak. Alahai....

Semalam telefon Az-Zahra, telan air liur saya mendengar range kos bersalin. Dari RM2000 hingga RM8000. Ish! Harga sebuah kelahiran! Itulah mengada.... mahu bilik seoranglah... mahu bawa B&B plan lah.... FBB Selayang pun paling mahal RM5000. Hmm... masalahnya tidak ada pakar perempuan pula. Alahai....

Insya Allah, saya dan suami sudah sediakan bajet. Namun pada saat bergelar SRT ini, saya semakin panas punggung. Perlu segera bertindak! Ya, saya perlu pastikan akan ada yang masuk bagi menggantikan apa yang akan keluar. Saya perlu jadi SRT yang produktif. Semoga Allah kurniakan rezeki untuk anak yang bakal lahir ini. Rezeki yang halal dan diberkati. Amin.

Ramaikah di luar sana yang sedang dalam dilema seperti saya? Mari kita sama-sama berusaha. Manalah tahu, rezeki anak. Yang belum ada anak, malah yang belum berkahwin pun, tidak salah mencuba. Yang ada pendapatan tetap pun dialu-alukan. Tidak salah melakukan satu anjakan paradigma dalam hidup. Ceh, perkataan bombastik hari ini. :)

Jadi, apa tunggu lagi. Hubungi saya untuk menyertai kelas online. Sekiranya tidak mahu sertai, kelas pun, boleh beli e-book di bawah.

Siapa yang sesuai sertai kelas ini ataupun membeli e-book ini?
- Sesiapa sahaja yang minat menulis tetapi tidak tahu bagaimana mahu bermula.
- Sesiapa sahaja yang mahu menggunakan blog sebagai medium untuk mempromosikan barangan jualan mereka.
- Sesiapa sahaja yang ada duit lebih dan mahu membantu saya menjana pendapatan dari rumah. :)





Lokasi kelas: Alam maya; cukup ada sambungan Internet dan komputer.
Harga kelas online (+percuma e-book) RM130
Harga e-book sahaja: RM50
Masa: Terpulang pada kelapangan pelajar dan guru.
Pemantauan sehingga pelajar berjaya menghasilkan 44 entri blog dengan bahasa dan input yang menarik.

Tunggu apa lagi? 
Mulakan langkah pertama. 
Kita tidak tahu keupayaan kita selagi belum mencuba. 



Marilah sama-sama mengejar pelangi.

Tip 1 Penulisan Karya Fiksyen



Teks oleh: Mazlia Murat


Tip 1: Pastikan proposal atau kertas cadangan yang dihantar lengkap dan menepati kriteria penerbit.

Mendekati penerbit dengan menghantar proposal (untuk penerbit yang mahukan proposal terlebih dahulu) adalah langkah pertama kita untuk bergelar penulis. Langkah ini penting kerana ia akan membuka jalan ataupun menutup jalan kita.

Dalam entri kategori proposal, sudah dinyatakan antara item penting yang perlu ada dalam satu-satu proposal. Namun, lebih elok kita mendapatkan kepastian daripada penerbit terlebih dahulu apakah maklumat yang perlu dimasukkan dalam proposal kita. Lain penerbit lain cita rasanya. Dapatkan maklumat ini di laman web ataupun hubungi terus penerbit untuk kepastian.

Mengapa ini penting?

Menyediakan proposal yang menepati permintaan penerbit adalah langkah pertama supaya kewujudan dan hasrat kita disedari oleh penerbit. Sekiranya kita hentam kromo, menghantar maklumat tidak lengkap, ada dua kemungkinan akan berlaku.

Pertama, proposal kita akan ditolak mentah-mentah. Alahai! Bukankah mengecewakan kalau proposal kita ditolak kerana kesilapan yang remeh? Ini pastinya mengugah semangat kita yang sedang berkobar-kobar. Silap hari bulan, terus terkulai layu dan tidak bangkit semula.

Kedua, editor yang baik hati akan memaklumkan kepada kita yang maklumat yang kita hantar tidak lengkap. Maka akan berlakulah proses menghantar e-mel berulang kali. Ini akan melambatkan proses penilaian atau saringan peringkat pertama.

Kita perlu ingat, tugas editor bukan hanya perlu melayan kita seorang. Lainlah kalau tugasnya hanya menunggu dan memberi respons kepada e-mel kita. Ada ramai lagi yang mencuba nasib seperti kita. Itu belum lagi tugas lain untuk menguruskan manuskrip yang dalam proses penerbitan. 

Bayangkan hari ini kita hantar e-mel, mungkin dua, tiga hari, malah mungkin seminggu menunggu, baru ada respons. Tetapi respons yang diberikan sungguh mengecewakan. Kita diminta menghantar semula proposal dengan maklumat-maklumat tambahan. Proses menunggu peringkat satu akan bermula semula.

Bukankah ini hanya membuang masa? Sebagai bakal penulis, sudah pasti kita sudah tidak sabar-sabar mahukan respons editor berkenaan proposal kita. Jadi, mainkan peranan kita dengan betul! Selagi ada ruang, jimatkan masa kita dan editor!

Insya Allah, akan ada banyak lagi tip untuk dikongsikan.


Selamat menulis. Marilah kita sama-sama mengejar pelangi!

Thursday 27 June 2013

Mampukah saya bekerja dari rumah?



Teks oleh: Mazlia Murat


Seperti yang saya nyatakan dalam entri terdahulu, saya sudah berhenti kerja sejak bulan Februari yang lalu kerana urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Tidak pula saya kesal dengan tindakan saya. Sebaliknya, saya bersyukur membuat keputusan yang saya kira tepat, pada masa itu.

Keadaan berbeza sekarang. Sebab utama saya berhenti sudah tiada. Namun, ada sebab lain pula yang buat saya berat hati mahu kembali bekerja. Saya akan ada anak dan berniat mahu menyusukan sepenuhnya tanpa apa-apa makanan lain. Kalau saya hantar ke taska ataupun penjaga, adakah mereka akan menghormati dan mengikut permintaan saya?

Pada masa sama, sebagai orang yang sudah biasa bekerja dan pegang duit sendiri, saya rasa seperti tidak produktif pula duduk di rumah tanpa menjana pendapatan. Hati saya kini sudah berbelah-bahagi. Tujuh puluh peratus merasakan adalah lebih baik saya kembali makan gaji. Soal anak insya Allah, akan dipermudahkan asalkan niat kita ikhlas kerana Allah. Lagipun suami saya akan kata saya pemalas. Heh....

Lebih tidak glamor, pada bahagian pekerjaan di buku merah jambu saya (khas untuk ibu mengandung yang melakukan pemeriksaan di klinik kesihatan), ditulis SRT, singkatan kepada suri rumah tangga oleh jururawat. Okey, saya semakin rasa tidak berguna.

Jangan salah faham, saya bukannya memandang rendah kepada suri rumah tangga. Bukan mudah mengurus rumah tangga. Tetapi untuk saya yang belum ada anak dan suami pula sering tiada di rumah buat satu tempoh yang lama, maka apalah sangat beban yang saya pikul sebagai SRT sehinggakan saya tidak pula bekerja. Rumah saya bukan banglo tiga tingkat yang perlu selalu dibersihkan; saya juga bukanlah rajin sangat mengemas! Tiada juga anak kucing sebab suami saya kata saya mahu jaga diri sendiri pun lintang-pukang, ada hati mahu bela kucing! Senang cakap, saya memang tidak produktif.

Tidak! Malas-malas saya, saya tetap mahu jadi suri rumah yang produktif dan ada pendapatan sendiri. Saya percaya ramai di luar sana pun seperti saya. Tidak tahu, tidak mengapa, kita sama-sama belajar. Saya sendiri masih di awang-awangan.

Oh, banyak rupa-rupanya panduan untuk orang seperti saya yang mahu menjana pendapatan dari rumah. Ramai sebenarnya yang sudah memulakan langkah dan berjaya.

Mampukah saya menyertai suri rumah yang bekerja dari rumah? Apa pun, langkah pertama sudah dimulakan. Semoga saya tidak hangat-hangat tahi ayam.

Kepada yang mahu menyertai saya, klik gambar di bawah dan dapatkan pakej ini di Adalah Rumah Buku Online. 



Dengan pembelian pakej e-book di atas, pembeli berpeluang menerima buku di bawah secara percuma sementara stok masih ada.





Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi!

Penerbit: Majikan ataupun rakan kongsi?


Teks oleh: Mazlia Murat


Sudahkah kita memilih dengan siapa kita mahu bekerjasama? Ataupun sudah adakah penerbit yang sudi menerbitkan karya kita?

Sepanjang berurusan, siapakah penerbit di mata kita? Majikan ataupun rakan kongsi penulis?

Wah, rakan kongsi. Hebat betul bunyinya. Bukankah kita mahu jadi penulis? Gaya sudah seperti mahu berbisnes juta-juta pula!

Saya lebih suka melihat penerbit sebagai rakan kongsi dan bukannya majikan.
Mengapa?

Sebelum saya mengupas lebih lanjut, suka saya tekankan, ini hanya pendapat peribadi saya. Bukan satu pandangan yang perlu dipersetujui dan diterima dalam dunia penerbitan.

Saya merasakan apabila kita melihat penerbit yang menerbitkan buku kita sebagai majikan, maka kita akan melihat mereka memikul tanggungjawab yang besar untuk menjaga kebajikan kita.

Dalam bahasa lebih muddy, penerbit perlu fokus kepada kita. Kita akan rasa terpinggir ataupun rasa dianaktirikan kalau tidak diberi perhatian sepenuhnya. Maka akan bermulalah kisah makan hati berulam jantung dan yang sewaktu dengannya. Ini akan merencatkan kerjasama kita.

Itu kalau kita pandang dari sudut kepentingan peribadi.
Saya akan kupas perkara ini dalam entri lain berkaitan kesilapan yang sering dilakukan oleh penulis baru mahupun lama.

Lain halnya kalau kita melihat kita sebagai pekerja yang berdedikasi, komited dan bertanggungjawab menjaga kebajikan majikan. Ah, sudah! Tingginya beban yang perlu kita tanggung!

Maka kita akan rasa bersalah dan terbeban apabila kita gagal ataupun kurang menyumbang kepada keuntungan syarikat majikan kita. Pendek kata, apabila buku kita tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan, kita akan rasa teruk dan malu mahu terus berurusan dengan penerbit alias majikan kita. Maka bagi yang tidak kuat semangat, akan terasa lebih mudah berputus asa sahaja.

Oleh itu, saya lebih suka memandang penerbit sebagai rakan kongsi, yang mana kita dan penerbit ada tanggungjawab dan saling berperanan supaya kita (penulis) dan penerbit sama-sama mendapat faedah daripada usaha kedua-dua pihak. Jadi kita tidak menyerahkan beban sepenuhnya kepada penerbit dan tidak pula merasakan kita yang memikul semua beban dalam menjayakan satu-satu produk.

Apa tanggungjawab penerbit dan apa pula tanggungjawab kita sebagai penulis?



Terima kasih kerana membaca. 

Selamat mengejar pelangi.

Wednesday 26 June 2013

Birth & Breast Feeding Plan (Pelan Kelahiran dan Penyusuan)


Teks oleh: Mazlia Murat


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Entri ini tiada kaitan dengan manuskrip.

Tengah hari tadi sakit kepala saya merangka B&B plan untuk dibincangkan dengan doktor. Maklumlah... anak pertama. Jadi saya memang tiada pengalaman. Berbekalkan contoh-contoh yang ada, saya pun menaip dan mengubah suai mengikut kesesuaian. Masalahnya, contoh-contoh yang ada dalam bahasa Inggeris melainkan satu yang saya dapat ketika menghadiri kelas antenatal. Ditambah dengan perkataan-perkataan berkaitan proses kelahiran yang selama ini asing pada saya, maka berpeluh saya dibuatnya untuk menulis dalam bahasa yang saya faham dan fasih iaitu bahasa Melayu. Alhamdulillah, siap juga.

Masalahnya, beria-ia menyediakan B&B plan, hospital tempat mahu bersalin pun belum dipilih sedangkan sudah masuk minggu ke-31. Saya serba salah mahu memilih Pusat Perubatan Islam Az-Zahra ataupun skim FPP di Hospital Putrajaya ataupun Serdang. Ada beberapa faktor yang sedang dipertimbangkan. Bimbang juga disebabkan bertangguh membuat keputusan, sudahnya semua pun tolak saya dan terpaksalah saya admit ke mana-mana hospital apabila sampai masanya kelak.

Semoga Allah memberikan yang terbaik untuk saya dan bayi.


Proposal ataupun manuskrip?


Teks oleh: Mazlia Murat


Yang mana satu penerbit mahu daripada bakal penulis?

Lain penerbit lain caranya. Kenal pasti cara penerbit berurusan dengan bakal penulis yang kali pertama mahu menulis. Peringkat pertama adalah penilaian/saringan proposal ataupun manuskrip.

Ada penerbit yang hanya mahukan proposal (kertas cadangan) yang mengandungi beberapa maklumat seperti sinopsis, pecahan bab dan lain-lain. Ada yang mahu manuskrip penuh untuk dinilai pada peringkat saringan pertama.

Ada juga yang lebih suka berurusan melalui e-mel sahaja (softcopy). Namun, ada penerbit yang mahukan salinan dihantar dalam bentuk hardcopy.

Zaman sekarang, semua maklumat di hujung jari. Maklumat ini boleh diperolehi dengan menyemak di laman web penerbit. Sekiranya tidak dinyatakan di laman web, boleh e-melkan pertanyaan ataupun mahu segera, hubungi penerbit melalui panggilan telefon.

Penerbit mempunyai alasan berbeza mengapa hanya mahukan proposal ataupun manuksrip penuh untuk dinilai.

Salah satu sebab ada penerbit mahukan proposal terlebih dahulu, adalah bagi memudahkan proses penilaian dan penulis.

Sebagai contoh, untuk buku fiksyen, PTS Media Group akan meminta bakal penulis proposal yang mengandungi sinopsis lengkap (sekiranya dipecahkan ikut bab lebih baik) dan olahan dua bab.
Berdasarkan sinopsis ini, jalan cerita akan dinilai. Gaya olahan juga akan dinilai berdasarkan contoh bab yang disertakan. Sekiranya ada pembetulan, akan dicadangkan. Sebaliknya, jika dirasakan tidak sesuai, proposal akan dicadangkan dihantar ke penerbit lain. Ini akan menjimatkan masa penulis, tidaklah penulis syok sendiri menulis beratus-ratus halaman tetapi akhirnya ditolak mentah-mentah.

Namun, perlu diingat. Apabila proposal diterima, bukanlah bererti manuskrip kita muktamad akan diterbitkan. Sebaliknya, penerbit berharap komen awal ini membantu kelancaran proses penulisan. Selepas proposal diterima, proses penulisan bermula dan manuskrip penuh tetap perlu melalui proses penilaian. Potensi untuk manuskrip penuh ditolak tetap ada. Ini kerana kadangkala proposal nampak menarik, namun manuskrip penuh yang terhasil berbeza daripada yang diharapkan oleh penerbit.

Ada juga penerbit yang mahu terus menilai manuskrip penuh. Ini bagi memudahkan proses saringan pada peringkat editor terutama penerbit yang menerima banyak manuskrip. Sekiranya berpotensi diterbitkan, editor akan memberi komen untuk sebarang penambaikan. Kadangkala perubahan yang perlu dilakukan pada manuskrip hanya sedikit, ada kalanya banyak, malah melebihi 50 peratus. Kuatkan semangat. Semua ini adalah cabaran untuk mencapai impian melihat manuskrip kita diterbitkan.

Berikut adalah senarai beberapa link syarikat penerbitan yang menghebahkan langkah yang perlu dilakukan sekiranya berminat mahu menjadi penulis mereka. Ada banyak lagi penerbit yang tidak saya senaraikan. Google sedia membantu.

PTS Media Group untuk buku umum (bukan fiksyen) dan fiksyen.

Jemari Seni untuk karya fiksyen.

Must Read untuk buku umum.

Kaki Novel untuk karya fiksyen.

Telaga Biru untuk buku umum dan fiksyen.

Buku Prima (Anak syarikat Karangkraf) untuk karya fiksyen.

Karya Seni untuk karya fiksyen.


Semoga perkongsian ini bermanfaat. 

Selamat mengejar pelangi!

Siapa Saya


Teks oleh: Mazlia Murat

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya adalah bekas pelajar sains tulen. Di universiti, saya mengambil jurusan yang tiada kaitan dengan sastera. Selepas tamat pengajian pada tahun 2003, saya hilang arah seketika. Kerjaya apa yang sesuai untuk saya? Tiba-tiba saya terasa masa hadapan saya gelap-gelita.

Jauh di sudut hati, saya menyimpan hasrat untuk menjadi penulis dan bekerja dari rumah. Ya, itulah yang saya suka. Menulis. Malah pernah satu ketika, saya percaya saya dilahirkan untuk menjadi penulis.

Syukur kepada Yang Esa, memang sudah rezeki saya. Pada tahun 2004, novel pertama saya diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi. Sehingga kini, saya sudah menulis tiga novel dewasa, sembilan novel remaja, dan tiga buku berilustrasi untuk kanak-kanak bersama empat orang penulis lain. Nama pena yang saya gunakan adalah Leeya Myra dan Aizam Aiman.

Selain itu, bermula pada tahun 2005, saya terlibat secara langsung dalam bidang penerbitan. Saya menikmati perjalanan kerjaya sebagai editor sambilan, editor, editor senior, dan pengurus penerbitan di PTS One Sdn. Bhd., anak syarikat PTS Media Group yang menerbitkan buku fiksyen untuk remaja dan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, saya menjadi editor sambilan yang menyunting dan mempruf manuskrip terbitan anak syarikat PTS Media Group yang lain untuk produk buku motivasi, fiksyen dewasa, dan bahan bacaaan umum yang lain. 

Kadangkala saya terfikir bagaimana saya mampu bertahan dalam bidang penerbitan buat satu tempoh sedangkan saya bermula dengan tangan kosong. Sesungguhnya, semua ini berlaku dengan izin Allah dan kerana minat yang mendalam.

Langit tidak selalu cerah. Sampai satu tahap, saya terasa menulis itu sesuatu yang sukar. Lalu, dua tahun kebelakangan ini, saya berhenti menulis. Sebab itu juga dua blog saya sebagai penulis sudah lama tidak dikemas kini. Saya hanya menumpukan kepada kerjaya sebagai editor.

Pada November 2012, saya memberanikan diri untuk mencuba bidang lain pula, iaitu sebagai eksekutif jualan di anak syarikat PTS Media Group yang lain. Namun, pada Februari 2013, saya terpaksa berhenti kerja kerana urusan peribadi.

Kini, saya mahu kembali. Blog ini adalah langkah seterusnya untuk merealisasikan impian saya. Bekerja dalam bidang yang saya suka dari rumah.

Di blog ini, saya akan berkongsi pengalaman saya kepada semua di luar sana yang berkongsi impian yang sama; mahu bergelar penulis.

Saya mungkin bukan penulis yang bagus, tetapi bonus untuk saya kerana berpengalaman sebagai penulis dan editor. Oleh itu, tulisan di blog ini adalah dari kaca mata seorang penulis dan editor.

Menulis mungkin mudah bagi sesetengah daripada kita terutama yang ada minat yang mendalam. Namun, cukupkah sekadar minat? Benarkah tanpa bakat kita tidak boleh bergelar penulis? Adakah manuskrip yang kita tulis disukai dan akan diterbitkan oleh salah satu daripada puluhan penerbit di luar sana? Ataupun tulisan kita hanya syok sendiri?

Saya berharap blog ini akan memberikan tip-tip dan idea kepada kita semua untuk menulis manuskrip yang berpotensi diterbitkan.

Tulisan saya akan lebih cenderung kepada buku fiksyen. Namun saya tetap akan berkongsi sedikit pengetahuan yang saya ada dan maklumat daripada rakan-rakan editor berkenaan penulisan buku umum (bukan fiksyen).


Salam perkenalan dan terima kasih saya ucapkan kepada yang sudi mengunjungi blog ini dan membaca tulisan saya.

Selamat mengejar pelangi!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...