Wednesday 17 July 2013

Wajarkah Menelefon Editor (Wakil Penerbit)?


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Baik bakal penulis mahupun penulis lama, kadangkala kita terlalu teruja apabila bercakap soal manuskrip. Apabila kita ada soalan mahu ditanya kepada editor, kita selalunya mahukan jawapan on the spot. Tidak boleh tunggu, jangankan sehari, lima minit pun terasa lama. Sakit kepala dibuatnya kalau bertangguh.

Lalu, kita akan terus menelefon editor sehinggakan kadangkala kita terlupa melihat waktu kita membuat panggilan telefon itu.
Saya penulis. Saya memahami rasa teruja itu.
Saya juga pernah menjadi editor. Lantas saya juga memahami perasaan orang yang menerima panggilan pada waktu yang kurang sesuai untuk soalan yang pada saya tidaklah penting sangat (penting kepada kita sebagai penulis, tetapi mungkin kurang penting kepada editor).

Dahulu, saya pernah berhadapan dengan kerenah penulis yang beberapa kali menghubungi saya pada waktu maghrib (pernah berturutan beberapa hari), untuk berbincang tentang manuskripnya. Tidak, ia bukan perbincangan yang tidak dapat ditangguh ke esok hari. Ia perbincangan seorang penulis yang terlalu teruja. 

Sampai satu tahap, saya tidak menjawab panggilan itu, sebaliknya menghantar SMS bertanyakan sebab dia menelefon, memohon maaf kerana tidak dapat menjawab dan memaklumkan saya mahu bersolat dahulu.
Saya kira tindakan saya itu masih pada kadar baik, ada editor sampai terus tutup telefon kerana tertekan.
Mengapa editor tertekan?

Saya kongsikan pengalaman saya. Editor lain pasti ada sebab masing-masing.
Rumah sewa saya ketika itu jauh dari pejabat. Ditambah dengan jalan yang selalu sesak. Waktu kerja tamat pukul 5.45 petang. Biasanya saya keluar pejabat sekitar 5.45 petang hingga 6,15 petang. Kalau ada kerja mendesak, lewat sedikit. Kalau jalan sesak pada kadar biasa, saya akan sampai rumah selepas 45 minit hingga 1 jam. Kalau luar biasa pernah hampir 3 jam. Senang cakap, saya akan sampai di rumah sekitar maghrib kalau kesesakan pada kadar biasa.

Bayangkan perasaan saya, sudahlah penat bekerja dari jam 9 pagi hingga 5,45 petang (tidak termasuk masa perjalanan pergi dan balik). Sampai di rumah, belum sempat berehat, sudah ada panggilan telefon kerana urusan kerja yang boleh ditangguh. Tidakkah itu menambah stres?

Kesimpulannya, elakkan menghubungi editor selepas waktu pejabat. Kalau pada waktu pejabat pun, kurangkan kalau tiada keperluan mendesak.

Kalau ada kecemasan pun (di luar waktu pejabat), gunakan SMS sahaja. Contohnya, kita sudah menghantar pruf penulis, tiba-tiba menyedari ada kesilapan kita terlepas pandang dan bimbang editor terlepas pandang juga.

Memandangkan kita bimbang buku akan dihantar ke pencetak tanpa kesalahan itu dibaiki, kita boleh SMS maklumkan. Ataupun kita maklumkan yang kita sudah e-mel kesalahan yang dimaksudkan (jika banyak dan terlalu panjang mahu ditulis dalam SMS).

Kalau perlu juga bercakap (di luar waktu pejabat), SMS dahulu, bertanyakan sama ada kita boleh menghubungi editor ataupun tidak. Tidak salah kalau kita menggunakan bahasa yang sopan.

Panggilan telefon adalah salah satu daripada pelbagai sumber stres yang dialami oleh editor. Panggilan telefon selepas waktu pejabat menyebabkan editor berasa dirinya ‘didesak’ dan ‘diarah-arah’ oleh penulis. Ini merosakkan perasaan suka editor kepada pemanggil (penulis).

Lebih elok kita kurangkan menelefon editor. Penggunaan SMS/Wassap/Messenger dan e-mel lebih digalakkan kerana kaedah-kaedah ini memberi fleksibiliti kepada editor bila dan bagaimana mereka mahu memberi respons kepada kita. 

E-mel adalah alat komunikasi yang paling efektif bagi menjaga hubungan penulis dengan editor. Ini kerana dalam e-mel, penulis boleh memulakan dengan doa, ucapan terima kasih dan penghargaan kepada editor. Bukanlah untuk mengampu, tetapi apa salahnya kita menjaga hati editor.

Bukankah elok kita berbudi bahasa dan bersopan dengan editor. Editor adalah wakil penerbit (rakan kongsi) yang penting. Editor bukan orang suruhan penulis. Bukankah apabila editor selesa dengan kita, maka akan memudahkan proses kerjasama?

Mungkin kerana keselesaan itu, buku kita diuruskan dengan cepat dan tanpa masalah. Emosi walau apa pun, tetap mempengaruhi prestasi kerja seseorang.

Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi. 


Impian dan Harapan


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan pengasih.

Maaf, saya tidak aktif mengemas kini blog dengan entri-entri berkaitan penulisan beberapa hari ini. Niat di hati memang mahu menulis setiap hari, namun ada masa saya tidak mampu. Tetapi saya tetap bersyukur kerana masih bergerak walaupun perlahan. Saya sedang berusaha menyiapkan sesuatu. Mohon doakan saya.

Insya Allah, saya akan terus menulis walaupun perlahan. Saya suka menulis dan berkongsi walaupun sedikit pengetahuan yang ada. Saya berharap perkongsian saya membawa manfaat kepada orang lain, dan menjadi amalan yang diterima Allah untuk saya.

Dahulu, sebelum bergelar penulis, seorang kaunselor pernah memberikan saya tip. Katanya, berkawanlah dengan orang yang mempunyai impian yang sama. Insya Allah... kita jadi lebih bersemangat dan positif dalam mengejar impian kita.

Saya harap, pembaca di luar sana, walaupun kita tidak saling mengenali, tetapi kalau kita berkongsi impian yang sama, sudi-sudikan datang menjengah blog ini. Semoga ada manfaatnya.

Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.







Monday 15 July 2013

Biar Lambat Asalkan Bergerak


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Beberapa hari saya tidak menulis sebarang entri di blog. Memasuki Ramadan, hati saya dilanda resah. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran. Rindu seorang anak. Resah seorang bakal ibu. Gundah seorang yang mahu menjayakan misi bekerja dari rumah.

Lalu, saya memilih untuk berdiam dan perlahan-lahan menggerakkan apa yang sedang saya lakukan. Tekad saya, biar saya merangkak, biar saya bergerak perlahan, sedikit hari demi hari, daripada terus berhenti dan mengalah.

Dua hari lepas ajakan kali kedua daripada seorang kenalan di Facebook saya sahut walaupun berat hati. Belum cuba, belum tahu. Dengan keyakinan pada tahap kosong, saya redah sahaja.
Sebentar tadi, panggilan dari rakan yang sudah lama saya kenal tadi, buat hati saya postif sedikit. Buat masa ini, saya terima sahaja semua 'input' yang masuk. Semuanya saya anggap ketentuan Allah yang Esa. Saya mahu mempositifkan diri dan bersangka baik.

Saya harap semua yang berhadapan dilema seperti saya juga berfikiran positif. Kita usaha perlahan-lahan. Insya Allah, kita akan nampak hasilnya kelak. Buat masa ini, kita berusaha dan bertabah sahaja.

Serahkan kepada Dia yang lebih mengetahui.


Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.

Tulisan Adalah Gambaran Diri Kita


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


E-mel 1:

Hi. Kita nak tny, camne ye nak jadi penulis? Kita nak sgt jd penulis tp xtau nk mule camne.


E-mel 2:
ASSALAMUALAIKUM. SAYA MAHU JADI PENULIS. TOLONG HUBUNGI SAYA SECEPAT MUNGKIN. 


Apabila kita menulis e-mel kepada penerbit, sama ada meninggalkan mesej di ruang pertanyaan di laman web mahupun menghantar terus kepada jabatan editorial, pastikan kita menulis:

1. Menggunakan ayat yang teratur dan ejaan penuh. 

2. Semak tatabahasa kita supaya tiada kesalahan. 

3. Jangan menggunakan huruf besar kecuali pada tempat yang betul dan perlu (awal ayat, kata nama khas dan lain-lain) apatah lagi menggunakan warna merah untuk font.

4. Tulis dengan bahasa yang sopan.


Dalam erti kata lain, menggunakan bahasa Melayu standard. Biarlah e-mel itu kelihatan formal.

Mengapa?

E-mel pertama yang kita hantar memberi gambaran awal tentang kita.

Bagaimanakah pandangan editor yang membaca e-mel kita? Adakah e-mel ini memberi gambaran yang baik tentang kita?

Kita mahu menjadi penulis tetapi menulis e-mel pun cacamarba; ayat tunggang-langgang dan banyak kesalahan ejaan. Editor akan membuat kesimpulan manuskrip yang dihantar nanti tentulah akan mengandungi banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa. Ini akan menjadi beban kepada editor kerana terpaksa melakukan banyak kerja pembetulan.

Bagaimana pula kalau ayat yang kita gunakan kasar dan seolah-olah kita bertanya dalam keadaan marah ataupun angkuh? Ini akan memberi gambaran kita sukar diurus dan pasti mendatangkan masalah kepada editor.

Penulisan e-mel yang baik bukan hanya perlu dalam e-mel pertama tetapi sepanjang proses komunikasi.

Tip komunikasi dengan penerbit/editor akan dikupas dalam entri lain.


Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.






Friday 12 July 2013

Tip 3 Penulisan Karya Fiksyen



Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha penyayang lagi maha mengasihani.


Tip 3 - Penentuan Watak Dalam Karya Fiksyen

  1. Berdasarkan genre yang mahu ditulis.
    - Perkara utama dalam penentuan watak adalah genre yang mahu ditulis.
    - Biasanya untuk novel kanak-kanak ataupun remaja, watak utama adalah kanak-kanak ataupun remaja yang seusia dan lebih tua.
    - Kebanyakan remaja suka membaca buku yang menggambarkan watak yang lebih matang kerana mereka mahu menjadi dewasa dengan lebih cepat. Trend ini juga yang menyebabkan ramai remaja yang memilih untuk membaca novel cinta dan kisah rumah tangga yang sebahagiannya kurang sesuai.
    - Menjadi tanggungjawab sosial penulis untuk menulis bahan yang lebih sesuai, pada masa sama dapat menarik perhatian remaja.

  2. Watak hero sebagai watak utama. Watak kedua utama perempuan.
    - Apabila meletakkan watak utama lelaki, maka ia akan mampu menarik pembaca perempuan dan lelaki (walaupun lebih ramai perempuan yang membaca novel).
    - Watak utama yang kedua perlu berlawanan jantina bagi menambah tarikan.
    - Ada konflik antara dua watak ini.

  3. Watak sampingan tidak terlalu ramai.
    - Watak yang ramai berupaya menambah konflik dan jalan cerita.
    -Walau bagaimanapun, apabila terlalu ramai, dan tidak dikawal, pembaca akan keliru. Biarlah watak yang muncul memberi kesan kepada jalan cerita.


Tip lain akan menyusul. Selamat menulis.

Marilah bersama-sama mengejar pelangi.

Saturday 6 July 2013

Berusaha dan Bertabahlah


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Beberapa hari ini, saya keletihan. Banyak memaksa minda untuk berfikir dan bekerja. Maklumlah, sudah bermalas-malasan untuk satu tempoh yang agak panjang.

Saya sedang berusaha menyiapkan e-book yang ditulis bersama seorang penulis dari rumah yang sudah berjaya. Perlu siapkan 20 bab. Bahan beliau sudah ada, saya perlu semak, pilih yang sesuai, olah semula, dan jadikan 20 bab. Saya baru tulis empat bab. Itu pun belum cukup 10 muka surat untuk setiap bab.

Sasarannya, saya perlu siapkan secepat mungkin. Paling lewat sebelum Syawal. Bulan Ramadan, saya lemau sedikit. Apatah lagi ini kali pertama mengandung. Sudah sarat pula. Saya pun tidak dapat bayangkan bagaimana mahu menempuh Ramadan. Bertenagakah saya? Mampukah minda saya berfungsi dengan baik?

Sya pun tidak pasti, saya akan berjaya ataupun tidak menyiapkan mengikut sasaran. Namun, saya bukan jenis orang yang cepat mengalah. Jadi, saya akan berusaha dan berusaha. Bukankah usaha tangga kejayaan? :)

Selebihnya saya hanya mampu berdoa dan bertawakal.

Sesiapa yang terasa mahu menulis e-book, boleh PM saya untuk menyertai kelas online asas blog. Apa kaitan blog dan e-book? Saya akan jelaskan, PM saya dahulu di Facebook Mazlia Murat ataupun di e-mel mazliamurat@gmail.com


Marilah bersama-sama mengejar pelangi.  

Friday 5 July 2013

Tip 3 Penulisan Karya Fiksyen


Teks oleh: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Tip 3 - Penentuan Nama Watak

Bagaimana nama satu-satu watak ditentukan?

Pemilihan nama watak terpulang kepada penulis.
Selalunya ia diputuskan oleh beberapa faktor kerana keterujaan sebagai penulis:
  1. Ada yang mahu mengabadikan nama kawan-kawan sebagai watak dalam karya mereka.

  2. Ada yang menggunakan nama orang yang dibenci untuk watak jahat.
  3. Ada yang mencari nama-nama dalam buku agama; yang ada makna yang baik-baik.
  4. Ada yang terbaca di mana-mana terus suka dengan nama itu.

Perlukah dimaklumkan ataupun minta kebenaran guna nama orang yang kita kenal?

Nama tiada copryright. Sesiapa sahaja boleh guna nama itu. Tiada akta khusus yang mengatakan kita perlu minta kebenaran (maksud saya nama orang biasa-biasa seperti kita ya. Tidak tahulah pula ada orang yang namanya sudah didaftar). 
Tetapi mungkin, kita mahu beritahu apabila kita sengaja guna nama kawan baik kita dan sebagainya.
Untuk watak jahat pula, seeloknya dielakkan menggunakan nama orang di sekeliling, bimbang salah fathom wujud.
Kesimpulannya, tiada peraturan khusus untuk memilih nama watak. Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan:

  1. Nama yang realistik.
    Janganlah pilih nama yang terlalu bombastik kerana ada pembaca tidak suka; susah menyebut, mengingat ataupun nampak tidak real. Senang cakap nama itu terlalu 'cantik'.

  2. Mengikut kesesuaian karakter.
    Sesetengah nama selalunya secara automatik sudah dikaitkan dengan satu-satu karakter.
    Contohnya, apabila guna nama Badrul; selalunya dibayangkan lelaki itu playboy. Manakala nama Muhammad Taufik seperti nama orang baik-baik. Ini hanya contoh persepsi yang timbul).
  3. Perbincangan dengan editor.
    Ada keadaan di mana editor akan meminta nama watak ditukar kerana faktor kesesuaian.
    Antara faktornya:
    - Mungkin nama yang digunakan itu terlalu moden berbanding perwatakan (kecuali disengajakan).
    - Mungkin juga banyak sangat nama watak dalam novel itu kedengaran sama; contohnya hampir kesemua nama bermula huruf A dan sebagainya.
    - Nama yang terlalu panjang juga akan menimbulkan masalah kerana susah mahu mengingat.
    - Nama yang tidak menggambarkan bangsa dan agama satu-satu watak melainkan memang penulis ada sebab yang konkrit dan dijelaskan dalam cerita.
  4. Meletakkan nama orang yang kita benci sebagai watak jahat, adalah tindakan yang berisiko.
    Sebabnya, novel kita akan dicetak berulang kali(kalau mendapat sambutan). 
    Katakan selepas dua tahun, kita sudah berbaik dengan orang itu, mungkinkah kita akan rasa kesal kerana menggunakan nama dia sebagai sejahat-jahat manusia dalam novel kita?

    Tepuk dada, tanya selera.

    Selamat menulis.
    Marilah bersama-sama mengejar pelangi. 

Thursday 4 July 2013

Belum Terlambat Untuk Bermula


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang esa, saya dipertemukan dengan seorang mentor. Sebenarnya sudah lama beliau menjadi kawan di Facebook. Saya teramat yakin beliau yang add saya... hehe... sebab saya bukan jenis yang add orang. Dan saya teramat yakin suami saya yang accept beliau bagi pihak saya, sebab saya bukan jenis yang accept entah sesiapa sebagai kawan di Facebook. Ya, suami saya memang rajin buka Facebook saya.

Saya pula, sangat jarang buka Facebook sebelum ini melainkan apabila suami perlu bekerja jauh di laut dan Facebook menjadi penghubung kami.

Selama ini, bukan saya tidak terbaca status beliau di Facebook. Namun, tidak saya pedulikan. Namun, kuasa Allah, segala-galanya bermula beberapa minggu lepas.

Beberapa bulan ini sebenarnya saya dalam dilema. Bergelar penganggur bukan sesuatu yang saya suka. Mahu kembali menulis, saya tidak jumpa jalannya. Mahu kembali bekerja selepas bersalin kelak, saya fikir itu jalan yang terbaik. Namun, hati masih ragu-ragu. Saya yakin saya masih ada pilihan lain. Sekurang-kurangnya untuk dicuba sebelum saya memutuskan patutkan saya kembali makan gaji.

Lalu, apabila terbaca status beliau di Facebook berkenaan peluang menjadi guru online dalam bidang penulisan, saya memberanikan diri menghantar mesej kepada beliau. Ya, saya hanya tahu menulis dan menyunting. Dan itu juga minat saya. Saya fikir, walau apa pun, saya perlu menggunakan minat dan pengalaman saya untuk menjana pendapatan. Tidak kisahlah dari rumah ataupun makan gaji.

Semalaman saya berdebar-debar. Betulkah tindakan saya? Pagi menjelang, mesej saya belum berbalas. Melalui status di Facebook beliau, katanya ramai yang berminat. saya fikir, tiada rezeki saya. Namun, untuk kepastian, saya menghantar mesej sekali lagi. Syukur, kali ini cepat dibalas dan semuanya bermula....

Saya terfikir juga, mengapalah dahulu, ketika saya bercuti setahun tanpa gaji, saya tidak tergerak hati menghubungi beliau. Mungkin kalau ketika itu saya bertindak seperti kali ini, percubaan saya pasti berjaya dan lebih cepat saya bergelar penulis dari rumah.

Namun, apabila difikirkan semula, semua ini sudah ketentuan. Mungkin waktu itu saya belum bersedia. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Hari ini, saya masih terkial-kial mencari arah. Masih banyak yang perlu dilakukan. Masih banyak yang perlu dipelajari. Ya, ilmu baru sentiasa ada setiap hari. Bukan mudah ya untuk memulakan sesuatu. Bukan juga mudah untuk meneruskan sesuatu.

Sertai kami Alumni Penulis Dari Rumah.
Pendaftaran masih dibuka, 11 kelas berlangsung serentak.
Kami menawarkan kelas berikut:
  1. Kelas asas blog dan penulisan

    Sesuai untuk yang mahu berkongsi pengalaman dan kepakaran.
    Bina rangkaian sendiri dan follower tegar.
    Setiap orang sudah ada keunikan masing-masing, serlahkan bakat ini melalui blog.
    Tidak tahu menulis kami akan pandu melalui teknik yang mudah.


  2. Kelas asas blog dan fan page (bisnes)
    Bagi yang masih zero untuk memulakan bisnes online, kami sedia membantu menunjukkan jalan. Sekiranya sudah ada produk, kini masanya untuk promo. Sekiranya tidak ada, kami sediakan.


    Mari bermula sekarang. Belum terlambat untuk merealisasikan impian 2013, masih berbaki 6 bulan lagi.
Maklumat lanjut, hubungi saya: mazliamurat@gmail.com 
ataupun pm Facebook saya: Mazlia Murat




Marilah bersama-sama mengejar pelangi.



Wednesday 3 July 2013

Tip 2 Penulisan Karya Kreatif


Teks oleh: Mazlia Murat
Sumber foto: Portal PTS


Tip 2: Penulisan yang syariah compliant


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Saya mengenali konsep ini ketika bekerja di PTS Media Group. Ia menjadi satu daripada dasar PTS. Semua buku yang diterbitkan, sama ada fiksyen mahupun umum, perlulah dipastikan mengikut syariah.

Ini kerana, semua pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penjualan sesebuah buku termasuklah penulis, editor, pereka grafik, eksekutif jualan, malah pemilik sesebuah syarikat penerbitan memikul tanggungjawab sosial dan agama.

Walaupun mahu mengaut keuntungan (kalau penulis melalui royalti), kita perlu memikirkan hukum-hakam agama.

Sebagai penulis, ada kesalan dalam hati saya. Novel yang saya hasilkan tidaklah mempunyai adegan melampau sehingga boleh menaikkan nafsu ataupun menggalakkan orang berzina. Namun, masih ada banyak perkara yang diambil mudah.

Sebagai contoh, ada satu adegan bersentuhan, konon-konon mahu si gadis menangis kecewa lalu bersandar pada bahu lelaki yang bukan mahram. Begitu juga dengan adegan lelaki dan perempuan bukan mahram yang keluar berdua-duaan. Alahai... kalaulah saya lebih teliti.

Trend masa kini, banyak novel cinta yang diadaptasi ke filem, telefilem, mahupun drama bersiri. Sebagai penulis, pasti yang terpilih berasa teruja dan gembira. Sebenarnya trend ini bagus kerana ia satu bentuk promosi sekali gus membantu menaikkan kembali jualan sesebuah novel.

Namun, saya tertanya sendiri, adakah seseorang penulis berdosa apabila ada adegan bersentuhan dalam filem, telefilem, mahupun drama yang dihasilkan berdasarkan novel karyanya itu? Persoalan yang saya tidak ada jawapannya.

Ada orang kata, bukan novel cinta kalau tiada adegan mesra, sekurang-kurangnya bertemu berdua. Ada orang kata, oh, itu novel cinta Islami.

Ada pula orang kata, saya tidak layak menulis novel cinta Islami. Saya bukannya tahu mahu memasukkan hadis mahupun ayat Al-Quran dalam tulisan saya.

Banyak orang, maka banyaklah pendapat berbeza.

Hakikatnya, untuk menjaga hukum-hakam, tidak semestinya perlu menulis novel cinta Islami, novel sejarah, dan sebagainya. Novel cinta popular pun masih boleh ditulis berlandaskan syariah. Yang penting, kemahuan penulis, dan kepandaian mengolah jalan cerita.

Waktu-waktu terakhir saya di PTS One, saya sempat terlibat dalam penerbitan satu novel.


Novel ini temanya K-Pop. Ada tiga watak, seorang perempuan yang mengejar impian, dan berkenalan dengan dua lelaki yang berbeza karakter. Seorang lelaki budiman yang baik dengannya dan seorang lagi menjengkelkan. Ya, temanya biasa. Namun, bukankah itu yang disukai oleh ramai peminat tegar K-Pop dan pembaca novel?

Saya akan kupas tentang tema dalam entri lain.

Apa yang ingin saya katakan di sini, penulis berjaya menulis dengan menjaga isu syariah dengan baik, pada masa yang sama, masih ada ‘sweet moments’ dalam tulisannya.

Penulis berpengalaman menulis novel cinta sebelum ini. Dari kaca mata seorang editor, saya menilai penulis sebagai seorang yang berbakat kerana gaya olahannya yang santai dan menarik. Beliau pandai mengolah ayat menjadi sedap dibaca.

Mungkin bagi sesetengah daripada kita, adegan ber-dating bukanlah isu besar pun. Bukannya kita menggalakkan maksiat. Saya juga fikir begitu. Namun, daripada sudut lain, bukankah secara tidak langsung kita mengatakan, adalah okey untuk pembaca keluar berdua-duaan dengan teman lelaki, menonton wayang, makan malam bersama, dan sebagainya? Sekali lagi, saya tidak pasti, adakah ia berdosa.

Yang pasti, kita menulis kerana minat dan untuk mendapatkan rezeki yang halal. Jadi, eloklah kita berjaga-jaga. Saya tidak mampu mengubah apa yang sudah saya tulis sebelum ini. Namun, saya mampu mengubah apa yang bakal saya tulis.

Bagaimana pula dengan penulis dan bakal penulis di luar sana?


Selamat menulis. Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.



Tuesday 2 July 2013

Disiplin... itu yang penting....



Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Berangan-angan mahu bekerja dari rumah itu memang mudah. Namun, merealisasikannya bukan mudah. Banyak cabaran yang perlu ditangani.

Bangun awal contohnya.
Selepas subuh, syaitan akan menghasut, “Sambung tidur sekejap sahaja, bukan lama.”

Cerita Korea ataupun rancangan lain yang menjadi kegemaran. Errr... ini bagi yang belum ada komitmen rumah tangga mungkin... saya tidak pasti apabila sudah jadi ibu kelak, sempat lagikah menonton televisyen. Saya lihat kakak saya seperti sudah tidak ada masa untuk bermalas-malasan.
“Tengok sekejap sahaja. Kerja sambung kemudian.”

Tidak mendapat respons seperti yang diharapkan; belum ada rezeki. Contohnya apabila kerja kita itu menjual produk secara online. Memang kecewa, namun perlu kuat semangat. Disiplinkan diri untuk teruskan menjual, mengalah bukan pilihan.

Ini kali kedua saya mencuba bekerja dari rumah. Dari Mei 2010 hingga April 2011 sebenarnya saya pernah bercuti tanpa gaji. Konon-konon sudah bosan bekerja, mahu jadi penulis sepenuh masa. Hasilnya, lebih banyak membazir masa daripada bekerja. Dalam tempoh itu juga, saya berkahwin. Senang hati ada orang menanggung. Hmm... itulah contoh tiada disiplin diri yang tinggi.

Percubaan kali ini, saya harap berjaya. Semoga saya tidak mengecewakan diri sendiri lagi.

Saudari di luar sana bagaimana? Berjayakah mendisiplinkan diri menjadi working-at-home-mother?


Terima kasih kerana membaca.

Marilah mengejar pelangi!





Suka memasak?
Mahu menggunakan hobi memasak untuk menjana pendapatan?
Mahu menjadi suri rumah, pada masa sama, 
menggunakan kepakaran memasak untuk menambah pendapatan?
Tidak pasti bagaimana  mahu bermula? 

Mulakan langkah pertama dengan membaca 3 e-book ini. 



3 E-book dengan harga RM125

Juga dijual berasingan. Dapatkan hari ini. 

Monday 1 July 2013

Proposal Karya Fiksyen (bahagian 2)



Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Sebelum ini, saya sudah menyenaraikan empat item yang biasanya perlu ada dalam proposal yang kita hantar kepada penerbit. Dalam empat item itu, yang paling penting pastinya sinopsis dan watak serta perwatakan. Bagaimana? Sudah menulis sinopsis ataupun masih di awang-awangan?

Hari ini, seperti yang dijanjikan, di dalam entri ini, ada empat lagi item yang biasanya dimasukkan dalam proposal karya fiksyen. Item yang pertama dalam bahagian kedua ini adalah sangat penting, pastikan ia dilampirkan dalam proposal kita.
  1. Contoh bab:
    Lampirkan bersama contoh bab untuk manuskrip kita. Sekurang-kurangnya dua bab ataupun tiga, bergantung pada kepanjangan setiap bab. Dianggarkan satu bab biasanya sekitar 1 hingga 10 halaman. Kalau hanya lima muka surat, hantar lebih bab. Ini penting supaya editor dapat menilai gaya olahan kita. Dapatlah komen awal untuk penambahbaikan diberikan. Tidak semestinya bab pertama dan mengikut urutan. Yang penting, kita tulis dengan baik (lebih tepat: menarik) kerana gaya olahan adalah elemen penting yang menentukan proposal kita diterima ataupun ditolak.

  2. Sasaran pembeli/pembaca:
    Apabila kita merancang satu-satu manuskrip, sepatutnya kita sudah meletakkan sasaran golongan yang akan membeli ataupun yang membaca buku kita. Adakah kita sasarkan kepada ibu bapa untuk membeli untuk bacaan anak-anak. Ataupun remaja dan orang dewasa yang ada kuasa membeli yang akan membeli dan membaca buku kita? Penentuan ini pastinya bergantung pada genre yang kita mahu tulis.
  1. Senarai buku sedia ada dalam pasaran yang menjadi pesaing:
    Item ini juga lebih penting untuk karya bukan fiksyen. Tidak perlu senaraikan semua. Cukup beberapa judul daripada genre yang sama yang mungkin ada persamaan tema dan sebagainya. Ini menunjukkan kita sedar dan mengambil tahu pasaran.

  2. Kelebihan manuskrip yang dicadangkan:
    Item ini juga lebih penting untuk karya bukan fiksyen. Namun, untuk karya fiksyen, biasanya kita ulas kelainan yang ada dalam manuskrip kita berbanding produk sedia ada dalam pasaran yang berkongsi sasaran pembaca yang sama. Mungkin tema, jalan cerita ataupun gaya olahan yang berbeza, dan sebagainya.

Maka dengan ini, lengkap sudah saya senaraikan lapan item yang biasanya perlu ada dalam sesebuah proposal. Suka saya tekankan sekali lagi, ini hanyalah huraian saya secara umum. Untuk lebih tepat, pastikan dahulu apa yang dikehendaki oleh penerbit kerana setiap penerbit mempunyai cara berbeza. Dapatkan maklumat di laman web ataupun hubungi terus penerbit.

Semoga senarai saya ini membantu memberi gambaran bagaimana sesebuah proposal karya fiksyen dihasilkan.


Selamat menulis. Marilah kita sama-sama mengejar pelangi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...