Friday 29 November 2013

TP: Idea Oh Idea

Teks: Mazlia Murat
Sumber: 101 Tip Penulisan Novel

Tip 32: Duduk termenung dan menunggu idea datang, bukanlah tindakan yang bijak. Perhatikan sekeliling kita kerana idea ada di sekitar kita.
Antara sumber idea:
  • Inspirasi daripada kisah diri sendiri, ahli keluarga, mahupun orang lain yang diubah suai supaya lebih menarik.
  • Kejadian yang berlaku di sekeliling kita.
Kadangkala insiden kecil yang kita lihat di stesen kereta api ataupun pusat beli-belah mampu memberi cetusan idea yang baik. Sesekali apabila keluar rumah, dan berada dalam khalayak ramai, ambil masa untuk memerhatikan ragam manusia lain. Catatkan dalam nota sekiranya bimbang kita terlupa. Susun semula insiden-insiden ini menjadi plot cerita.
  • Ekspresi pendapat kita tentang satu-satu perkara.
  • Buku, artikel, jurnal, dan bahan bacaan lain.
  • Filem, drama, dan lirik lagu.
________
Dapatkan e-book 101 Tip Penulisan Novel dengan mendaftar kelas online asas blog dan penulisan kreatif. Bukan itu sahaja, pelajar akan mendapat 2 e-book lagi iaitu Belajar Asas Blog dan Kompilasi Cerpen Rautan Takdir.
Lebih menarik, sekiranya mendaftar sekarang, dapat novel Puan Monalita Mansor berjudul Kabus Rindu.

PM saya ataupun Puan Monalita Mansor untuk mendaftar.

Thursday 28 November 2013

TP: Sikap Penulis Mungkin Punca Manuskrip Ditolak Penerbit

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

25 Sebab Manuskrip Ditolak
Sumber: E-Book 101 Tip Penulisan Novel




6. Penulis terlalu mendesak.
Apabila kita menghantar manuskrip, memang kita tidak sabar mahu mendapatkan maklum balas daripada penerbit. Ada kalanya editor akan meminta tempoh dua minggu hingga sebulan untuk memberi maklum balas. Hormati permintaan ini. Selepas tempoh tamat, hubungi semula sekiranya editor sepi tanpa berita.
Jangan mendesak sebelum tempoh tamat, contohnya, menghantar e-mel setiap hari untuk mengingatkan, menulis ayat berunsur ugutan mahu menarik semula manuskrip ataupun menulis e-mel berbentuk arahan mahu segera mendapat maklum balas.
Satu kerugian manuskrip kita ditolak kerana sikap kita yang menjengkelkan dan bukan kerana masalah pada manuskrip itu sendiri.
__________
PM Mazlia Murat ataupun Monalita Mansor di Facebook untuk mendaftar kelas asas blog dan penulisan kreatif. 
Yuran RM170. Bonus 3 e-book: Belajar Asas Blog, Kompilasi Cerpen Rautan Takdir, dan 101 Tip Penulisan Kreatif.
Kalau mahu beli e-book sahaja pun boleh. PM kami untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

CH: Pilih Kawan Yang Positif

Teks: Mazlia Murat


Tahun 2003, saya lost seketika selepas tamat belajar. Saya 'berkenalan' dengan seorang kaunselor, melalui satu ruangan dalam majalah. Saya e-mel kepada beliau, meluahkan kekusutan saya. Beliau balas dan saya ikut nasihat beliau. Pesan beliau kepada saya, lebih kurang begini, "Berkawanlah dengan orang yang memiliki impian yang sama kerana kawan begini akan mendorong kita untuk mencapai impian kita."

Kepada kaunselor itu, walaupun kita tidak berhubung lagi, saya sentiasa kenang jasa Puan. Disebabkan nasihat Puan dan dengan izin Tuhan, saya melakukan kerja yang saya minati selama beberapa tahun ini. Kerja yang jauh berbeza daripada bidang pengajian di universiti.


Kini, saya berusaha untuk mengikut kembali nasihat beliau. Saya sedang menuju fasa baru dalam hidup, dan alhamdulillah, saya ditemukan dengan kawan-kawan yang baik hati dan banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar. Saya tidak tahu saya akan berjaya ataupun tidak, tetapi yang saya tahu saya mesti berjaya. Err…


Semua orang ada titik bermula. Apabila rasa mahu mengalah, cari kawan yang mampu mendorong kita. Jauhi kawan yang hanya mempersendakan impian kita. Kawan yang suka merendah-rendahkan kita bukanlah kawan dalam erti kata sebenar. Jangan biarkan diri kita dipengaruhi oleh unsur negatif.

Kesimpulannya, sesiapa yang mahu mendaftar kelas online boleh PM saya. Ada 4 kelas yang boleh dipilih:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page khusus untuk mula bisnes
3. Kelas iklan mudah.my
4. Kelas asas blog dan penulisan kreatif


p/s: Okey, saya tahu kesimpulan saya tiada kaitan dengan entri ini. 




_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Wednesday 27 November 2013

TP: Tulis dan tulis setiap hari

Teks: Mazlia Murat

Sumber: E-book 101 Tip Penulisan Novel

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Tip penulisan hari ini:

Tulis dan tulis setiap hari.
Ada penulis yang memperuntukkan tempoh masa yang panjang, ada yang lebih suka sesi yang pendek tetapi beberapa kali sehari. Ada yang suka menulis awal pagi, ada punya yang suka menulis pada tengah malam. Semua ini terpulang pada kesesuaian diri. Apa yang penting, kita peruntukkan masa dan siapkan sasaran setiap hari, setiap minggu, dan setiap bulan yang sudah ditetapkan.
Walau bagaimanapun, ada kalanya apabila sudah tiap-tiap hari menulis, kita akan rasa terlalu letih dan tidak tahu bagaimana lagi mahu mengolah ayat. Semua pun serba tidak kena. Apabila sudah tidak mampu, tidak perlulah paksa diri. Tinggalkan aktiviti penulisan sehari dua. Tarik nafas dan lupakan seketika. Nikmati hidup. Makan kek coklat kalau suka. Apabila sudah tenang dan segar kembali, sambung menulis dan kejar semula berapa muka surat sasaran yang sudah tergelincir itu.
Menulis sepatutnya adalah aktiviti yang menggembirakan, bukannya buat kita rasa mahu hantuk kepala sendiri ke dinding.

Selamat mengejar pelangi.

_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Sunday 24 November 2013

TP: Bagaimana Mahu Orang Baca Tulisan Kita?

Teks: Mazlia Murat

Kata kawan saya, "Ada ke orang nak baca tulisan aku ni?"

Ini jawapan saya:


1. Kalau mahu orang baca tulisan kita, tulis apa yang orang mahu baca. Apa yang orang mahu baca? Sebab itu penulis perlu tentukan kumpulan sasaran dan kaji apa kehendak kumpulan sasaran itu. (Saya ada tulis dalam 25 sebab manuskrip ditolak penerbit).

2. Dapatkan respons. Sebelum hantar kepada penerbit, minta orang lain ba
ca. Sama ada kita bayar untuk mendapatkan review daripada orang berpengalaman ataupun kita minta ahli keluarga mahupun rakan-rakan baca. Minta maklum balas yang ikhlas. Kita pula jangan sentap. Sentiasa positif. Baiki mana yang kurang. (Ada dalam 101 Tip Penulisan Novel)

3. Kelas kami berlangsung melalui blog. Mengapa? Untuk tujuan branding dan sekali gus membina crowd dan mendapatkan maklum balas. Kalau kita tulis di blog, ada yang komen negatif, makanya ada kekurangan yang kita perlu baiki. (Ada dalam 101 Tip Penulisan Novel)

Menulis adalah satu proses pembelajaran. Ramai penulis baru mahu menulis apa yang kita suka. Hakikatnya, kalau mahu tulisan kita dibaca, tulislah apa yang orang suka selagi ia tidak melanggar syariah. 


Masukkan apa yang kita mahu sampaikan itu secara halus. Tiada gunanya kalau kita beria-ia mahu menulis mengikut acuan kita dengan tujuan berkongsi maklumat, pendirian dan sebagainya tetapi tiada sesiapa pun yang mahu baca.

Dakwah melalui tulisan hanya berkesan apabila ada yang membaca.

Selamat mengejar pelangi.

_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Saturday 23 November 2013

Kelas Penulisan Kreatif

Teks: Mazlia Murat

DIBUKA UNTUK PENDAFTARAN. 
KELAS ASAS BLOG DAN PENULISAN KREATIF. 
YURAN RM170

  1. Apa yang diajar di kelas asas blog dan penulisan kreatif?
    Pertama sekali, guru online akan analisis pelajar untuk melihat minat, kecenderungan, dan kemahiran. Analisis ini akan menentukan fokus blog dan genre penulisan kreatif.
    Pelajar perlu menyiapkan 44 entri sepanjang kelas berlangsung. Entri di blog ini merangkumi catatan harian, ulasan buku, tugasan yang diberi, cerpen, dan travelog pengalaman.
    Antara tugasan yang diberikan adalah menulis babak/cerita pendek berdasarkan gambar, potongan ayat, dan perkataan.
    Pelajar perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 2 cerpen dalam 44 entri.

  2. Saya mahu tulis novel bukan cerpen. Kelas ini sesuaikah untuk saya?
    Pelajar akan diberikan e-book 101 Tip Penulisan Novel secara percuma bersama 2 e-book lain iaitu Asas Blog dan Kompilasi Cerpen Rautan Takdir. Dalam e-book 101 Tip Penulisan Novel ini, terkandung tip memulakan penulisan novel sehinggalah tip berurusan dengan penerbit. Latihan yang diberikan memang cerpen, namun aplikasinya masih sama. Apa yang dipelajari boleh digunakan untuk menulis novel.

  3. Pukul berapa dan hari apa kelas berlangsung?
    Ia boleh berlangsung setiap hari, dua hari sekali, seminggu sekali. Terpulang pada pelajar. Tiada waktu yang spesifik. Pelajar dan guru online akan berkomunikasi melalui mesej dan group di FB. Setiap kali siap tugasan, maklumkan kepada guru online untuk disemak (untuk tugasan dan cerpen). Dari semasa ke semasa, guru online akan pantau blog pelajar.

  4. Jika saya sertai kelas ini, adakah “confirm” karya saya akan diterbitkan?
    Tidak ada jaminan daripada guru online. Semuanya bergantung pada usaha dan rezeki. Guru online hanya membantu, menunjukkan jalannya.

  5. Saya sudah ada manuskrip yang sudah/sedang ditulis. Adakah saya boleh berikan kepada guru kelas online untuk dibaca dan diberi komen penambahbaikan?
    Cerpen dan sinopsis novel yang terperinci (setiap bab), boleh sahaja diletakkan di entri blog, guru online akan baca dan ulas.
    Kalau manuskrip novel yang tebal, ini tidak termasuk dalam yuran kelas. Pelajar dan guru online perlu berbincang sekiranya ada bayaran tambahan.
    Sekiranya kelas sudah tamat, pada masa akan datang, para pelajar boleh mendapatkan perkhidmatan mengulas manuksrip daripada guru online.

Tawaran percuma untuk membaca dan memberi komen cerpen/sinopsos lengkap mengikut bab dan 2 bab novel masih dibuka. Sesiapa yang berminat, boleh e-mel ataupun PM saya.

Friday 22 November 2013

PERCUMA!


TAWARAN PERCUMA! 
Bermula hari ini (22/11/13-akan diumumkan)

Selama ini, saya dibayar untuk memberikan komen satu-satu manuskrip untuk tujuan penilaian dan penambahbaikan. Ada juga saya baca dan komen secara percuma, namun untuk rakan-rakan terdekat sahaja.

Hari ini, saya buka tawaran kepada semua yang berminat mendapatkan perkhidmatan membaca dan menilai karya secara percuma. 

Mengapa penting untuk karya kita dikomen?
Untuk mendapatkan respons supaya penulis boleh memperbaiki penulisan. Apatah lagi sebelum menghantar kepada penerbit.

E-mel ataupun lampirkan di mesej FB cerpen/sinopsis lengkap keseluruhan bab/2 bab novel (maksimum 15 muka surat, double spacing, Times New Roman saiz 12) yang ditulis kepada saya. Saya akan baca dan berusaha memberikan komen sebaik mungkin. Akan mula dibaca selepas 30/11/2013.

Tiada caj tersembunyi. Selepas saya komen, terpulang kepada anda mahu mendaftar kelas asas blog dan penulisan kreatif dengan saya ataupun tidak. Sekiranya sudi, sangat dialu-alukan. Sekiranya tidak sudi pun, tidak mengapa. 

__________________

Pendaftaran kelas asas blog dan penulisan kreatif dibuka. PM Mazlia Murat ataupun Monalita Mansor untuk mendaftar.

Juga berlangsung kelas:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes
3. Kelas iklan di mudah.my

PM Mazlia Murat untuk mendaftar mana-mana kelas. Terima kasih. 
mazliamurat@gmail.com

Saturday 16 November 2013

Apa Mereka Kata Tentang Mazlia Murat


Testimonial 1
"Pengalamannya dalam bidang penulisan amat luas. Beliau penulis novel best seller, bekas ketua editor novel... dan paling gempak, pernah menghasilkan skrip drama untuk negara jiran. Guru seperti ini memang sukar dicari... rare!" - Alif Firdaus Azis
Selebriti, penulis, pelukis komik, dan ahli silap mata. Orang Kuat adalah trademark beliau.
Klik di sini untuk senarai karya beliau.

Testimonial 2
"Saya tidak berani mengatakan dia pakar. Tetapi saya berani mengatakan pengalamannya dalam industri penerbitan yang hampir atau mungkin lebih 10 tahun sudah cukup menjadikan dia tahu apa yang dia katakan. Tahu apa yang perlu diajar dan tahu apa yang sepatutnya para pemula harus lakukan" - Bahruddin Bekri
Penulis dan editor. Antara novel beliau yang popular adalah Siri Mat Despatch dan Penulis Yang Disayang. Novel beliau Doa Untuk Aku pernah diadaptasi menjadi drama bersiri dan ditayangkan di saluran Al-Hijrah. 
Klik di sini untuk senarai karya beliau.

Testimonial 3
"Antara pemangkin semangat saya bagi menjadi seorang penulis pada tahun 2010, adalah keyakinan Puan Mazlia Murat, yang acap kali mengatakan saya mempunyai bakat menulis. Waktu itu beliau adalah Ketua Unit PTS One, yang juga penulis novel remaja best seller PTS. Sebagai salah seorang pembaca buku-buku beliau, tidak dapat disangkal bahawa benar Allah mengurniakan ilham dan bakat menulis kepada insan yang saya kagumi ini. Lantas saya belajar menulis serba sedikit berpandukan karya-karya beliau. 
Alhamdulillah, tanpa kata-kata semangat, kepercayaan, dan tunjuk ajar beliau, saya mungkin belum lagi bergelar penulis dan tidak berpeluang menimba 1001 pengalaman menarik sebagai seorang penulis remaja dan kanak-kanak. Saya yakin beliau mampu membentuk sesiapa sahaja menjadi penulis berjaya seperti beliau, kerana beliau mempunyai ciri-ciri insan dan ketua yang hebat." - Husna Adnan/Adha Ameera
Penulis, editor, dan pemilik butik online Afeeya Bella.
Menulis siri Kisah Si Puteri dan Kawanku Panda
Pemenang Anugerah Buku PNM-RTM 2013 untuk kategori buku kanak-kanak.


Testimonial 4
"Mudah. Saling memahami dan jelas dalam setiap arahan yang diberikan. Itu pengalaman saya bekerja dengan beliau selama beliau menjadi Pengurus Penerbitan di PTS One. Dengan pengalaman menulis serta pengalaman menguruskan manuskrip mentah, saya kira beliau adalah orang yang layak untuk menunjuk ajar dalam bidang penulisan." - Natasha Effyzal
Novelis dan editor. Antara novel kanak-kanak beliau yang bset seller adalah siri Sekolah... iaitu Sekolah Kampung, Sekolah Agama dan lain-lain.
Pemenang beberapa anugerah termasuklah Anugerah Buku PNM-RTM 2013 untuk kategori buku kanak-kanak.
Klik di sini untuk senarai karya beliau.

Testimonial 5
"Beliau merupakan antara Editor awal yang pernah mencetus fenomena buku-buku PTS One. Menjadi Editor untuk buku-buku penulis ternama antaranya Ain Maisarah, Bahruddin Bekri dan Ainin Naufal. Juga pernah menjawat jawatan Pengurus Penerbitan PTS One. Beliau tahu rahsia bagaimana membuatkan manuskrip anda diterima oleh penerbit." - Haryani Kamilan
Novelis dan bekas editor. 

Pemenang Anugerah Buku PNM-RTM 2013 untuk kategori buku kanak-kanak.
Baca e-novel beliau di Pensel Kontot.

Testimonial 6
"2007, saya berguru dalam diam dengan novel-novel remaja beliau. Sedikit sebanyak saya tiru gaya bahasa. Jangan tanya. Pastilah best. Gaya bahasanya santai, mudah faham, pengolahan gaya ayat yang kreatif dan yang paling penting, jalan ceritanya tidak pernah menghampakan saya. 
'Guru' yang baik, walaupun hanya daripada novel. - Ney Joehan
Penulis dan editor.

Testimoni 7

"Dia editor saya sejak novel pertama saya lagi. Seorang yang teliti, profesional, kreatif dan sentiasa hadir dengan idea-idea di luar kotak. Mentol ghaib macam sentiasa bernyala-nyala atas ubun-ubunnya. Selalunya saya setuju dengan perubahan-perubahan yang dilakukan pada manuskrip saya. Ketika dia meletakkan jawatan, panjang lebar berkilo-kilometer amanat yang dibekalkan untuk saya. Ahkak terharu dik!
Jangan tak tahu, dia juga seorang novelis dengan dua nama pena, Leeya Myra, dan juga Aizam Aiman. Kalau dah ada dua nama pena tu, agak-agak sendirilah dah berapa banyak hasil tulisanya yang terbit. Sila Google okey.
Sesiapa yang ingin mendalami bidang penulisan kreatif, dia guru yang paling layak anda cari. Mazlia Murat orang kaya. Kaya dengan pengalaman!"
- Ainin Naufal

Penulis best seller PTS One.
Klik di sini untuk senarai karya beliau.

Tuesday 12 November 2013

PPN: Sudut Pandangan


Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Sudut pandangan adalah kaedah penulis menghidangkan cerita kepada pembaca; siapa sebagai pencerita. Ada beberapa jenis sudut pandangan yang digunakan, iaitu:
  1. Sudut pandangan orang pertama
    - bermaksud salah seorang watak dalam novel yang menggerakkan cerita. Watak itu menggunakan kata ganti nama “aku” atau “saya”.
    - sudut pandangan ini disebut sebagai “Gaya Aku”, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak “aku” atau “saya”, orang pertama, secara subjektif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.

  2. Sudut pandangan orang ketiga
    - penulis mempersembahkan cerita melalui watak lain menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu “dia” dan “mereka” atau lengkap dengan nama. Penulis bersikap serba tahu dan bebas bercerita untuk mengemukakan emosi, fikiran, dan pergolakan jiwa watak-watak.

    _______

    PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.




Monday 11 November 2013

PPN: Teknik Penceritaan

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani


Teknik penceritaan adalah kaedah plot dipersembahkan oleh penulis dalam sesebuah cerita supaya menarik untuk dibaca.


Antara teknik penulisan yang digunakan:
  1. Flashback (Imbas kembali)
    Cerita dipersembahkan dengan mengingat kembali peristiwa yang sudah berlaku melalui ingatan, mimpi, khayalan watak, dialog.

  2. Flashfoward (Imbas muka)
    Penulis memberi bayangan awal perkara seterusnya yang akan berlaku, kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita. Teknik ini mewujudkan keyakinan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.

  3. Saspens
    Teknik ini digunakan supaya pembaca tertanya-tanya mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Teknik ini dapat mengikat pembaca supaya terus membaca kerana ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

  4. Twist and Turn (Kejutan)
    Perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca. Penulis memasukkan sesuatu watak ataupun peristiwa secara tiba-tiba. Plot cerita mengalami perubahan yang tidak sama dengan andaian pembaca.

  5. Dialog
    Dialog adalah pertuturan antara dua watak ataupun lebih. Melalui dialog antara watak-watak, tergambar pendapat atau fikiran yang berkaitan dengan tema. Plot cerita juga boleh digerakkan melalui dialog.
  6. Konflik
    Konflik bermaksud pertentangan atau pertikaian antara dua pihak. Ia tidak terhad kepada pertentangan fizikal semata-mata, tetapi juga pertentangan pendapat, idea, pemikiran, dan sikap. Konflik ditimbulkan bagi menghidupkan watak-watak dan mewarnai cerita.
    Terdapat dua jenis konflik, iaitu:

    a) Konflik Luaran
    - Pertentangan antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam, ataupun manusia dengan haiwan.
    - Konflik digambarkan sebagai pertentangan antara watak protagonis dengan watak antagonis.

    b) Konflik Dalaman
    - Pertentangan dalam diri, fikiran ataupun perasaan watak itu sendiri.
    Konflik yang berlaku akan menghasilkan ketegangan lalu membawa kepada kemuncak cerita (klimaks).

    Klimaks adalah saat paling tegang dalam sesuatu peristiwa. Ia menarik minat pembaca kerana menyentuh atau mencecah ke satu tanda paling tinggi ataupun berada dalam keadaan yang genting, mendebarkan, mencemaskan, ataupun mengerikan sebelum peleraian berlaku.


    Selamat mengejar pelangi!


    _______

    PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.




PPN: Watak dan Perwatakan


Teks: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Watak adalah tokoh yang mendukung sebuah cerita (manusia ataupun bukan manusia). Watak menggerakkan cerita melalui interaksi sesama watak mahupun dengan persekitaran (alam).

Perwatakan pula adalah pelukisan watak daripada aspek luaran dan dalaman oleh penulis. Ia ditonjolkan secara langsung mahupun tidak langsung melalui tingkah laku (aksi) dan tutur kata (dialog).

Ada beberapa istilah yang berkaitan dengan watak, iaitu watak utama, watak pembantu, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak statik, protagonis, dan antagonis.

Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduk, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras dan fizikal watak, kepercayaan dan ideologi yang dipegang, serta gambaran perasaan watak itu.

Watak yang berperanan paling penting dipanggil watak utama. Watak yang menonjol selepas watak utama adalah watak pembantu. Manakala, watak yang kurang penting dalam cerita disebut watak sampingan.

Watak protagonis mewakili watak utama. Watak ini tidak semestinya baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin penjenayah, tidak jujur, dan sebagainya. Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.

Watak pipih lazimnya tidak kompleks, tidak berkembang, dan tidak memeranjatkan pembaca.

Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju ke pelbagai arah, sama ada menambah pengalamannya, mengubah sikap dan fizikalnya.

Watak dinamik pula watak yang mengalami pelbagai konflik dari awal hingga akhir cerita.

Watak statik atau kaku tidak mengalami apa-apa perubahan, perkembangan, dan tidak bergerak.

Pelukisan watak terutamanya watak utama dan pembantu penting untuk menarik perhatian pembaca dan menjadikan cerita menarik.


Selamat mengejar pelangi!

_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Sunday 10 November 2013

CH: Kalau Kutahu...


Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Dua tiga kali ke pejabat pos di pusat beli-belah itu, saya senang hati. Lengang. Jadi saya fikir memag tidak ramai orang berurusan di pejabat pos itu.

Terlalu mudah saya membuat kesimpulan. Nyata andaian saya silap. Hari itu, ramai menunggu di dalam. Ramai juga di luar. Nombor giliran saya dan suami... aduhai.... Mahu berpatah semula, kotak seberat 9 kilogram. Kasihan pula kepada suami. Sudahlah parking jauh.

Mujur saya sudah semakin selesa menyusukan anak di hadapan khalayak. Dengan berbekalkan snugg baby sebagai alas/bantal, dan T-Shirt jenis selak, saya pun gigihkan hati menyusukan anak. Sesekali anak saya merengek tidak selesa. Maklumlah, ramai orang. Maka terasa panas. Sejuk dari pendingin hawa tidak terasa.

Sejam lebih, saya rasa mahu mengalah. Nombor saya masih jauh lagi. Pelik betul saya. Mengapa ramai sangat hari ini. Kaunter pula hanya dibuka dua. Ini boleh menimbulkan kemarahan! Lebih menekan rasa, urusan setiap orang terasa lama. Alahai... lain kali isi borang awal-awallah!

Anak semakin tidak selesa. Berpeluh. Menangis.

Tiba-tiba kedengaran suara, pengurus cawangan. Saya buat kesimpulan kerana sesekali beliau keluar masuk bilik yang bertulis pengurus cawangan. Beliau meminta pelanggan yang ada bayi ke kaunter dahulu. Wah, saya dan suamilah orang yang dimaksudkan itu! Alhamdulillah.

Suami segera menyelesaikan urusan di kaunter. Saya pula menenangkan anak. Bersiap mahu keluar dari pejabat pos itu.

Kata saya, "Kalau saya tahu, saya biarkan anak menangis dari awal." :)

PPN: Latar Dalam Novel


Teks: Mazlia Murat
Foto: http://www.kamulah.com


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.




Latar atau 'setting' adalah latar belakang sesebuah cerita. Ia memberikan suasana kepada jalinan peristiwa (plot) dan watak yang ada dalam cerita.

Latar memainkan peranan dalam perkembangan tema, plot, watak, dan perwatakan. Watak dan perkembangan cerita akan menjadi lebih menarik apabila berada dalam situasi pelbagai latar.

Terdapat dua latar dalam sesebuah cerita, iaitu:

1. Latar fizikal atau latar persekitaran
Gambaran tentang tempat (lokasi) dan masa (zaman, musim) sesuatu perkara berlaku.

2. Latar masyarakat
Gambaran tentang keadaan masyarakat di tempat sesuatu perkara berlaku. Ia merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan sosial, ekonomi, dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak. 



Selamat mengejar pelangi.

Tatabahasa: Dari vs Daripada


Teks: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Kata sendi nama 'dari' digunakan untuk arah, tempat, dan masa. 
Contoh:
  • Perjalanan dengan menaiki kereta dari Bandar Baru Bangi ke Melaka mengambil masa sekitar satu setengah jam.
  • Widad berasal dari Pulau Pinang tetapi membesar di Johor.
  • Subjek bahasa Melayu bermula dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Kata sendi nama 'daripada' pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia ataupun institusi, haiwan, benda, dan unsur mujarad (abstrak).
Pendek kata, daripada digunakan untuk selain tempat, masa, dan arah. 
Contoh:
  • Ahmad menerima hadiah daripada ibunya sempena kejayaannya memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR.
  • Leha tersengih-sengih ketika melangkah keluar daripada kereta.
  • Pasu itu diperbuat daripada tanah liat.
  • Gaun merah yang dipakai oleh Reen lebih cantik daripada gaun biru yang dipakai oleh Adilah.



_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Bibliografi



1. http://prpm.dbp.gov.my
2. http://universitipts.com
3. http://www.bmspm.net/aspeksastera.htm
4. http://tulisnovel.com

Saturday 9 November 2013

PPN: Plot


Teks: Mazlia Murat


Plot adalah jalinan peristiwa yang berlaku dalam sesebuah cerita dari awal hingga akhir. Plot merangkumi perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor sebab dan akibat.


Ada dua jenis plot dalam penulisan:
  1. Plot kronologis (Konvensional)
Plot jenis ini dibina mengikut urutan masa iaitu yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.
  1. Plot bukan kronologis (Bukan konvensional)
Plot jenis ini tidak ditulis mengikut kronologis, sebaliknya diubah suai mengikut imaginasi dan kreativiti pengarang. 
Novel dimulakan dengan pengakhiran cerita, kemudian pembaca dibawa kepada permulaan cerita, iaitu sebelum pengakhiran, dan disudahi dengan peleraian. 

Plot secara umumnya mempunyai tiga peringkat utama, iaitu:
a) Permulaan
- Digunakan untuk memperkenalkan watak dan perwatakan, gambaran latar, dan suasana

b) Klimaks
- Cerita berkembang lalu menghasilkan konflik sehingga mencapai kemuncak (klimaks)

c) Peleraian
- Watak utama berjaya mengatasi atau menyelesaikan konflik yang memuncak dan cerita berakhir
- Ada juga cerita yang ditamatkan pada klimaks; tanpa peleraian.



Teknik penyusunan plot yang menarik adalah penyusunan peristiwa secara tidak  kronologi. Kita perlu kreatif dan bijak menyusun dan menjalinkan plot sehingga mencapai peleraian. 


Selamat mengejar pelangi.





_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Friday 8 November 2013

TP: Dialog vs Naratif

Teks oleh: Mazlia Murat
Foto: Carian Google


Dialog adalah bentuk penceritaan yang disampaikan melalui perbualan oleh dua ataupun lebih watak. Ayat dialog lebih laju dibaca berbanding naratif. Manakala dialog yang pendek sudah semestinya lebih laju dibaca berbanding dialog panjang.

Dialog yang baik mempunyai nilai iaitu bertindak sebagai penggerak cerita. Ini sekali gus membantu pergerakan cerita menjadi lebih laju berbanding penceritaan dalam bentuk naratif.

Satu lagi kelebihan menulis banyak dialog berbanding naratif adalah, karya itu lebih mudah diadaptasi menjadi sama ada novel grafik, drama mahupun filem.

Walau bagaimanapun, sebagai penulis, kita perlu berhati-hati supaya tidak banyak menulis dialog yang tiada nilai cerita. Dialog sebegini hanya melambatkan perkembangan cerita, membosankan apabila dibaca, dan paling penting menimbulkan persepsi yang penulis tidak mempunyai bakat bercerita yang tinggi.

Contoh dialog yang tidak mempunyai nilai adalah dialog bertanya khabar, bertanya sudah makan ataupun belum yang berulang berkali-kali dalam karya dan meleret-leret.

Di bawah adalah contoh perbualan yang boleh diringkaskan:

Handpone Aminah berdering. Dia segera menjawab, "Helo."
"Helo." Kedengaran suara menjawab. "Boleh saya bercakap dengan Aminah?"
"Ya, saya bercakap. Siapa di sana?" tanya Aminah.
"Saya Ranjini. Awak apa khabar?" tanya Ranjini pula.
"Saya baik. Awak okey?" balas Aminah.
Ranjini pula menjawab, "Saya okey."
"Kenapa awak telefon saya?" tanya Aminah.
"Saya ada hal nak beritahu awak."
"Hal apa?" tanya Aminah lagi.
"Sebenarnya saya nak minta tolong awak. Saya tak faham kalkulus yang cikgu ajar tadi. Boleh awak ajar saya?" jelas Ranjini dengan panjang lebar.
"Boleh. Awak datanglah ke rumah saya pukul 4.30 petang nanti. Kita ulang kaji bersama-sama."
"Baiklah. Terima kasih, Aminah," ucap Ranjini, bersetuju.
Talian diputuskan.


Selepas diringkaskan:

Handphone Aminah berdering. Tertera nama Ranjini pada skrin.
Pantas Aminah menjawab panggilan itu, "Hai, Ranjini. Ada apa-apa boleh saya bantu?"
"Wah, bagus betul kaunter khidmat pelanggan awak." Gurauan Ranjini disambut tawa Aminah.
"Memang saya perlukan bantuan awak. Saya tak faham kalkulus yang cikgu ajar tadi," akui Ranjini.
Aminah pantas mempelawa, "Awak datanglah ke rumah saya pukul 4.30 petang nanti. Kita ulang kaji bersama-sama."
"Baiklah. Terima kasih, Aminah," ucap Ranjini, bersetuju.
Talian diputuskan.



Selamat mengejar pelangi.



_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


PPN: Genre, Tema, dan Sasaran Pembaca


Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Ramai orang mahu menulis. Namun, ada yang tidak tahu mahu bermula dari mana. Saya akan memperincikan beberapa aspek penting yang perlu ada dalam satu-satu manuskrip. Ia juga sebagai panduan untuk memulakan penulisan.

Perkara pertama yang perlu diputuskan adalah genre apa yang mahu ditulis?

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, genre bermaksud kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk, atau kandungan tertentu. Istilah genre berasal daripada perkataan Perancis yang bererti ' jenis' atau 'macam'. 

Terdapat lima genre utama dalam kesusasteraan Melayu hari ini, iaitu puisi, cerpen, novel, drama, dan kritikan sastera. Dalam setiap genre itu pula dapat pula dibahagikan kepada jenis-jenis yang kecil lagi, sebagai contoh antara genre novel adalah novel romantik, novel sejarah, novel realistik, novel politik, novel komedi, novel thriller, dan lain-lain. 

Blog ini memfokus kepada penulisan genre novel, dan boleh juga diaplikasi dalam penulisan cerpen.

Genre berkait rapat dengan tema.

Tema bermaksud perkara atau persoalan utama yang menjadi dasar sesuatu karangan atau cerita. Ia dibangkitkan secara langsung mahupun tidak langsung. Antara tema yang menjadi pilihan dalam penulisan adalah tema persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang, cinta, dan sebagainya. 

Pada kebiasaanya, ada satu tema dalam satu-satu karya, tetapi dibangunkan oleh banyak persoalan; perkara atau isi yang lebih kecil yang ada hubungan dengan tema.

Pemilihan genre dan tema berkait rapat dengan sasaran pembaca. Kepada siapa kita mahu sasarkan penulisan kita? Adakah kepada kanak-kanak, remaja ataupun untuk pembaca dewasa? Bagaimana pula dengan jantina, profesion, dan lokasi pembaca? Kita juga perlu mengambil kira siapa yang akan mengeluarkan wang. Apabila kita memutuskan untuk mensasarkan kepada pembaca kanak-kanak, selalunya ibu bapa adalah pembelinya. Maka kita perlu mengambil kira bukan sahaja pembaca tetapi juga pembeli.

Terdapat banyak kategori pembaca, iaitu yang membuat keputusan berdasarkan emosi, yang rasional, yang sentiasa mahukan nilai tambah, dan ada juga yang mudah terpengaruh dengan pandangan orang ramai. 

Faktor pembaca boleh mempengaruhi kesesuaian pemilihan tema dan seterusnya penulisan kita. Faktor ini juga antara perkara yang dinilai oleh sesebuah rumah penerbitan.


Dengan mengambil kira faktor pembaca sebelum memulakan penulisan, kita akan mengurangkan risiko karya menjadi syok sendiri, sekali gus meninggikan peluang karya kita menjadi pilihan pembaca. Menulis sesuatu yang menepati kehendak pasaran adalah langkah awal karya kita disukai penerbit dan langkah awal menjual karya kita.


Marilah mengejar pelangi.


_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.





 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...