Wednesday 1 January 2014

Ulasan 2: E-Book 101 Tip Penulisan Novel

Sumber: http://kasturiputeh5.blogspot.com/2013/12/ulasan-e-book-101-tip-penulisan-novel.html

Semua orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Ada yang hanya mahu menyimpan sahaja pengalaman hidup yang mereka lalui di dalam 'kotak khazanah' sejarah hidup mereka dan tidak mahu mengingatinya lagi.

Namun ada juga yang suka untuk berkongsi pengalaman hidup yang pernah dilalui dengan orang lain, dengan harapan ianya dapat menjadi peringatan dan panduan kepada mereka yang sedang melalui perkara yang sama.

Perkongsian itu mungkin ditulis dalam bentuk sajak, lagu atau menjadi sebuah cerita yang dibukukan sebagai novel. Dan saya adalah salah seorang dari mereka yang ingin berbuat demikian. Berkongsi mengenai pengalaman hidup saya melalui penulisan. Ya, saya bercita-cita untuk menjadi seorang penulis, insya allah.

Saya tidak tahu pandangan orang lain yang bercita-cita untuk menjadi penulis juga, tapi, selama ini saya sangka  bukanlah susahpun untuk menjadi seorang penulis. Asalkan ada idea, tahu bagaimana untuk menyusun ayat dan mengeja, memiliki sebuah komputer dan tahu cara menggunakannya, itu sudah cukup untuk memulakan langkah sebagai penulis. Betul! Memang betul! Tapi, penulis yang bagaimana?

Sehinggalah Allah 'membuka' jalan kepada saya untuk menyertai Bengkel Penulisan Islami pada bulan November 2013 yang lepas, barulah saya faham, rupanya bukan mudah untuk menjadi seorang penulis yang baik. Dan kemudian Allah 'temukan' pula 'jodoh' saya dengan Kelas Asas  Blog Penulisan Kreatif, maka saya semakin memahami keadaan 'dunia' penulisan yang sebenar. Dan melalui kelas ini pula, saya dapat mendalami lagi ilmu penulisan melalui pembacaan beberapa EBook berkaitan penulisan, termasuklah EBook 101 Tip Penulisan Novel ini.

Selepas membaca EBook ini sebanyak dua kali, barulah saya mendapat gambaran yang sebenar mengenai dunia penulisan novel. Penulis EBook ini, Puan Mazlia Murat telah membawa pembaca 'mengembara' sambil 'memandu' pembaca langkah demi langkah ke alam  dunia penulisan novel.

Bermula dengan Bab 1 - 25 Sebab Manuskrip Ditolak Penerbit. Menurut Puan Mazlia Murat, ianya perlu diketahui oleh bakal penulis mahupun penulis lama supaya dapat menjimatkan masa daripada melakukan kesilapan semasa proses penulisan dan juga meninggikan peluang manuskrip diterima dan diterbitkan.

Diikuti pula dengan Bab 2 - Memulakan Langkah. Bab ini memperincikan aspek yang perlu diambil kira sebagai panduan untuk memulakan penulisan seperti memilih genre, menentukan tema, memilih sasaran pembaca dan lain-lain.

Bab 3 - Inti Pati Novel. Di dalam bab ini, Puan Mazlia Murat menerangkan bahawa terdapat empat perkara asas yang perlu ada dalam novel iaitu watak dan perwatakan, latar, plot dan juga konflik.

Bab 4 - Merangka Cerita. Selepas memilih tema dan plot utama, merangka cerita merupakan langkah seterusnya bagi seorang penulis untuk mengembangkan idea dalam penulisannya. Di dalam bab ini juga Puan Mazlia Murat memperkenalkan beberapa teknik analisis seperti Diagram Tulang Ikan/Ishikawa Diagram, teknik menggunakan rajah mengikut keselesaan dan juga teknik KJ Method.

Bab 5 - Teknik Penceritaan. Bab ini mengupas teknik penceritaan yang perlu digunakan dalam penulisan bagi menjadikan sesebuah novel menarik untuk dibaca.

Bab 6 - Semakan dan Suntingan. Di dalam bab ini, penulis EBook ini menegaskan mengenai empat langkah yang perlu diambil sebelum seseorang penulis menghantar manuskrip kepada penerbit : Semak, Sunting, Maklum balas dan Ubah.

Bab 7 - 25 Ciri Penulis Yang Disukai Penerbit. Puan Mazlia Murat  menerangkan bahawa menulis manuskrip yang baik sahaja tidak mencukupi. Beliau telah menyenaraikan 25 ciri yang perlu ada kepada setiap penulis agar terjalin hubungan yang baik antara penulis dengan penerbit.

Bab 8 - Memahami Hak Penulis. Bab ini merupakan nasihat daripada Puan Mazlia Murat kepada bakal-bakal penulis yang biasanya teruja mahu melihat manuskrip diterbitkan sehingga mengabaikan perkara lain yang penting dalam melindungi hak penulis. Dua perkara yang disebut ialah hak cipta dan hak penerbitan.

Bab 9 - Jual Sebelum Terbit. Dalam bab ini pula Puan Mazlia Murat menyentuh mengenai tanggungjawab menjual dan mempromosikan novel tulisan seseorang bukanlah terletak dibahu penerbit sahaja, tetapi juga tanggungjawab penulis novel itu sendiri

Bab 10 - 20 Ciri Penulis Best Seller Yang Prolifik. Definisi prolifik bermaksud banyak menghasilkan karya, banyak hasil tulisannya. Manakala best seller pula adalah buku yang paling popular dan laris dijual dengan jumlah yang luarbiasa.

Puan Mazlia Murat turut berkongsi dengan pembaca tiga buah cerpen hasil karya beliau yang amat menarik dan berlainan setiap satunya dari segi gaya penulisannya. 

Kesimpulan yang saya perolehi setelah membaca EBook ini ialah bukan mudah untuk menjadi seorang penulis yang baik. Apatah lagi untuk menjadi penulis best seller yang prolifik. Dan EBook ini merupakan satu EBook panduan yang baik dan wajib dibaca oleh setiap bakal-bakal penulis untuk membantu mereka ke arah itu.

Seperti yang ditulis oleh Puan Mazlia Murat di dalam Tip 1 EBook ini :

''Tanpa keberanian mimpi tidak bermakna. Selagi kita tidak memulakan langkah pertama, bermimpi setiap malam mahu jadi penulis pun tiada gunanya.'
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...