Saturday, 19 October 2013

Hari Itu Dalam Sejarah...


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Apabila tiada rezeki di satu tempat, mungkin ada rezeki lain yang tertulis untuk kita.
Saya bersama empat penulis lain ada menulis satu siri buku cerita berilustrasi untuk kanak-kanak. Kisah Si Puteri. Buku kedua jualannya paling tinggi, manakala buku ketiga paling sedikit; sekarang saya tidak pasti.

Sewaktu saya baru beberapa hari berpantang, saya menerima panggilan telefon daripada staf pemasaran PTS. Beliau memaklumkan wakil penulis dijemput untuk sesi di RTM. Buku kami tercalon untuk Anugerah Buku PNM-RTM. Buku ketiga untuk siri itu. Kami Puteri Hebat. Saya waktu itu sedang tidur. Mamai dan lemah saya menerima berita itu tanpa perasaan.

Pada malam majlis berlangsung, saya tidak hadir kerana masih berpantang. Kami menang. Subhanallah... Alhamdulillah.

Plak hadiah saya masih di PTS.  Nanti saya ambil dan letak gambar di sini. :)


Wednesday, 16 October 2013

Percuma... Tunggu Apa Lagi


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Dunia tanpa sempadan. Semua di hujung jari. Hanya perlu ada sambungan Internet, komputer, laptop, mahupun telefon pintar.

Oh, belum cukup. Perlu ada kerajinan. Ya, tanpa kerajinan,  semua kemudahan yang ada akan tersia-sia. Apabila ada kerajinan, kita berusaha bersungguh-sungguh. Insya Allah, akan menampakkan hasil.

Kerajinan untuk berbuat apa? Kerajinan untuk mencapai impian.

Pertama, untuk menjadi penulis, kita boleh mula berlatih dengan menulis di blog. Terutama kepada yang tidak yakin dengan keupayaan diri. Ada ramai penulis yang bermula di blog sebelum karya mereka diterbitkan.

Apabila sudah menjadi penulis, kita juga boleh menggunakan blog dan laman sosial untuk mempromosikan hasil tulisan kita. Tidak semestinya kita yang memuji produk kita sendiri. Letak alamat e-mel ataupun laman sosial di dalam buku. Pasti ada pembaca yang menghubungi kita lalu memberi komen. Apa lagi... paparkan komen positif untuk menarik perhatian pembaca lain.

Mengapa penulis yang perlu promosi? Bukankah itu tanggungjawab penerbit?

Setiap rumah penerbitan mempunyai banyak buku. Banyak buku biasanya melambangkan banyak juga penulis. Apabila ada terlalu banyak produk, tidak semua produk dapat diberikan tumpuan. Bukan pilih kasih, ya. Hakikatnya, penerbit akan melihat potensi satu-satu produk.

Tetapi jangan pula putus asa, Kalau produk kita tidak diketengahkan, bukan bererti produk kita tidak bagus, namun mungkin kerana terlepas pandang. Menjual sesuatu produk bukan sahaja bergantung pada kualiti produk. Buku sama seperti filem. Filem yang dilakonkan oleh pelakon popular selalunya mendapat sambutan hangat biarpun belum pasti kualitinya.

Begitu juga dengan buku. Ada ramai pembaca novel yang membeli kerana nama penulis pada kulit novel. Begitu juga apabila nama tokoh besar dalam satu-satu bidang menulis buku berkaitan bidangnya. Pastinya lebih mudah menjual.

Jadi, untuk kita yang belum ada nama, kita perlu bergerak sendiri. Kita perlu rajin-rajinkan diri menghebahkan tentang kewujudan produk kita. Di sinilah laman sosial dan blog memainkan peranan.

Jangan mudah berputus asa kalau kita merasakan buku kita tidak dipromosi dengan baik oleh penerbit. Setiap penulis baru akan melaluinya.

Penulis novel remaja popular, Ain Maisarah juga bermula dari bawah. Saya adalah editor yang menguruskan novel remaja pertama beliau. Pada masa itu, beliau tidak dikenali. Namun, usaha gigih beliau bersama pengurus beliau yang meletakkan beliau di tempat sekarang.


Kita tidak perlu bayar sewa bulanan blog mahupun laman sosial. Jadi, apa tunggu lagi? Rebutlah peluang yang ada.


Marilah bersama-sama mengejar pelangi.



Promosi terkini pakej bekerja di rumah. Dapatkan sebelum promosi berakhir. 


Selain itu untuk yang mahu mengikut kelas, ada promosi khas. 
Rebut peluang yang ada sebelum terlambat.

PM saya di Facebook Mazlia Murat untuk maklumat lanjut. Boleh juga e-mel ke mazliamurat@gmail.com 




Menyepi...


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Lebih kurang tiga bulan blog ini ditinggalkan sepi. Sengaja, kerana ada perkara lain yang menuntut perhatian.
Hari ini, saya menarik nafas, dan memulakan semula langkah dengan basmallah. Semoga langkah ini perlahan tetapi tidak lagi terhenti.

Bermacam-macam perkara yang berlaku dalam tempoh tiga bulan ini.

Bulan pertama menyepi... Ramadan. Hati diusik rindu yang menggunung kepada mak. Ditambah dengan keadaan fizikal yang semakin lemah. Begitulah... apabila emosi terganggu, fizikal juga terganggu. Lalu saya malas mahu memikirkan soal kerja. Kalau dikemas kini blog, tulisan saya pastinya merapu. Jadi menyepi pilihan terbaik.

Kemudian, dengan izin Allah, saya berjaya melahirkan anak perempuan. Namun, prosesnya juga mendatangkan trauma kepada saya. Kalau ditanya, sudah pasti saya gembira dan bersyukur. Tetapi, hingga kini, saya masih takut memikirkan kesakitan yang saya tempuh. Proses berpantang juga, bermacam ujian didatangkan. Bukan mengeluh... namun untuk menghadapinya, saya menutup fikiran saya tentang hal lain; kerja dan duit. Saya mahu fokus kepada menghadapi dunia baru dengan setiap hari didatangkan cabaran baru. Soal lain, biarkan dahulu.

Alhamdulillah... saya masih belajar. Oh, setiap hari masih belajar mengurus dunia baru dengan anak kecil. Sekarang masa untuk back to reality. Hidup saya bukan sekadar ada anak kecil untuk dijaga. Saya ada blog untuk dikemas kini. Hoho....

Dan... saya ada kerjaya yang mahu dibina dengan harapan ia bukan sahaja mendatangkan keuntungan dunia tetapi juga bekalan untuk akhirat. Insya Allah.

Walaupun saya menyepi, sesekali saya masih mengambil tahu perkembangan terkini alumni penulis dari rumah. Wah... semakin ramai yang bergelar wham. Sungguh mengagumkan. Malah, mereka sudah jauh meninggalkan saya. Tidak mengapa, semua ini rezeki masing-masing.

Kepada yang belum memulakan langkah... mari kita melangkah bersama. Kita hanya perlukan sedikit keberanian dan usaha berpanjangan. Insya Allah.

Anak saya... namanya Naurah Amni. :)

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.


Wednesday, 17 July 2013

Wajarkah Menelefon Editor (Wakil Penerbit)?


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Baik bakal penulis mahupun penulis lama, kadangkala kita terlalu teruja apabila bercakap soal manuskrip. Apabila kita ada soalan mahu ditanya kepada editor, kita selalunya mahukan jawapan on the spot. Tidak boleh tunggu, jangankan sehari, lima minit pun terasa lama. Sakit kepala dibuatnya kalau bertangguh.

Lalu, kita akan terus menelefon editor sehinggakan kadangkala kita terlupa melihat waktu kita membuat panggilan telefon itu.
Saya penulis. Saya memahami rasa teruja itu.
Saya juga pernah menjadi editor. Lantas saya juga memahami perasaan orang yang menerima panggilan pada waktu yang kurang sesuai untuk soalan yang pada saya tidaklah penting sangat (penting kepada kita sebagai penulis, tetapi mungkin kurang penting kepada editor).

Dahulu, saya pernah berhadapan dengan kerenah penulis yang beberapa kali menghubungi saya pada waktu maghrib (pernah berturutan beberapa hari), untuk berbincang tentang manuskripnya. Tidak, ia bukan perbincangan yang tidak dapat ditangguh ke esok hari. Ia perbincangan seorang penulis yang terlalu teruja. 

Sampai satu tahap, saya tidak menjawab panggilan itu, sebaliknya menghantar SMS bertanyakan sebab dia menelefon, memohon maaf kerana tidak dapat menjawab dan memaklumkan saya mahu bersolat dahulu.
Saya kira tindakan saya itu masih pada kadar baik, ada editor sampai terus tutup telefon kerana tertekan.
Mengapa editor tertekan?

Saya kongsikan pengalaman saya. Editor lain pasti ada sebab masing-masing.
Rumah sewa saya ketika itu jauh dari pejabat. Ditambah dengan jalan yang selalu sesak. Waktu kerja tamat pukul 5.45 petang. Biasanya saya keluar pejabat sekitar 5.45 petang hingga 6,15 petang. Kalau ada kerja mendesak, lewat sedikit. Kalau jalan sesak pada kadar biasa, saya akan sampai rumah selepas 45 minit hingga 1 jam. Kalau luar biasa pernah hampir 3 jam. Senang cakap, saya akan sampai di rumah sekitar maghrib kalau kesesakan pada kadar biasa.

Bayangkan perasaan saya, sudahlah penat bekerja dari jam 9 pagi hingga 5,45 petang (tidak termasuk masa perjalanan pergi dan balik). Sampai di rumah, belum sempat berehat, sudah ada panggilan telefon kerana urusan kerja yang boleh ditangguh. Tidakkah itu menambah stres?

Kesimpulannya, elakkan menghubungi editor selepas waktu pejabat. Kalau pada waktu pejabat pun, kurangkan kalau tiada keperluan mendesak.

Kalau ada kecemasan pun (di luar waktu pejabat), gunakan SMS sahaja. Contohnya, kita sudah menghantar pruf penulis, tiba-tiba menyedari ada kesilapan kita terlepas pandang dan bimbang editor terlepas pandang juga.

Memandangkan kita bimbang buku akan dihantar ke pencetak tanpa kesalahan itu dibaiki, kita boleh SMS maklumkan. Ataupun kita maklumkan yang kita sudah e-mel kesalahan yang dimaksudkan (jika banyak dan terlalu panjang mahu ditulis dalam SMS).

Kalau perlu juga bercakap (di luar waktu pejabat), SMS dahulu, bertanyakan sama ada kita boleh menghubungi editor ataupun tidak. Tidak salah kalau kita menggunakan bahasa yang sopan.

Panggilan telefon adalah salah satu daripada pelbagai sumber stres yang dialami oleh editor. Panggilan telefon selepas waktu pejabat menyebabkan editor berasa dirinya ‘didesak’ dan ‘diarah-arah’ oleh penulis. Ini merosakkan perasaan suka editor kepada pemanggil (penulis).

Lebih elok kita kurangkan menelefon editor. Penggunaan SMS/Wassap/Messenger dan e-mel lebih digalakkan kerana kaedah-kaedah ini memberi fleksibiliti kepada editor bila dan bagaimana mereka mahu memberi respons kepada kita. 

E-mel adalah alat komunikasi yang paling efektif bagi menjaga hubungan penulis dengan editor. Ini kerana dalam e-mel, penulis boleh memulakan dengan doa, ucapan terima kasih dan penghargaan kepada editor. Bukanlah untuk mengampu, tetapi apa salahnya kita menjaga hati editor.

Bukankah elok kita berbudi bahasa dan bersopan dengan editor. Editor adalah wakil penerbit (rakan kongsi) yang penting. Editor bukan orang suruhan penulis. Bukankah apabila editor selesa dengan kita, maka akan memudahkan proses kerjasama?

Mungkin kerana keselesaan itu, buku kita diuruskan dengan cepat dan tanpa masalah. Emosi walau apa pun, tetap mempengaruhi prestasi kerja seseorang.

Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi. 


Impian dan Harapan


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan pengasih.

Maaf, saya tidak aktif mengemas kini blog dengan entri-entri berkaitan penulisan beberapa hari ini. Niat di hati memang mahu menulis setiap hari, namun ada masa saya tidak mampu. Tetapi saya tetap bersyukur kerana masih bergerak walaupun perlahan. Saya sedang berusaha menyiapkan sesuatu. Mohon doakan saya.

Insya Allah, saya akan terus menulis walaupun perlahan. Saya suka menulis dan berkongsi walaupun sedikit pengetahuan yang ada. Saya berharap perkongsian saya membawa manfaat kepada orang lain, dan menjadi amalan yang diterima Allah untuk saya.

Dahulu, sebelum bergelar penulis, seorang kaunselor pernah memberikan saya tip. Katanya, berkawanlah dengan orang yang mempunyai impian yang sama. Insya Allah... kita jadi lebih bersemangat dan positif dalam mengejar impian kita.

Saya harap, pembaca di luar sana, walaupun kita tidak saling mengenali, tetapi kalau kita berkongsi impian yang sama, sudi-sudikan datang menjengah blog ini. Semoga ada manfaatnya.

Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.







Monday, 15 July 2013

Biar Lambat Asalkan Bergerak


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Beberapa hari saya tidak menulis sebarang entri di blog. Memasuki Ramadan, hati saya dilanda resah. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran. Rindu seorang anak. Resah seorang bakal ibu. Gundah seorang yang mahu menjayakan misi bekerja dari rumah.

Lalu, saya memilih untuk berdiam dan perlahan-lahan menggerakkan apa yang sedang saya lakukan. Tekad saya, biar saya merangkak, biar saya bergerak perlahan, sedikit hari demi hari, daripada terus berhenti dan mengalah.

Dua hari lepas ajakan kali kedua daripada seorang kenalan di Facebook saya sahut walaupun berat hati. Belum cuba, belum tahu. Dengan keyakinan pada tahap kosong, saya redah sahaja.
Sebentar tadi, panggilan dari rakan yang sudah lama saya kenal tadi, buat hati saya postif sedikit. Buat masa ini, saya terima sahaja semua 'input' yang masuk. Semuanya saya anggap ketentuan Allah yang Esa. Saya mahu mempositifkan diri dan bersangka baik.

Saya harap semua yang berhadapan dilema seperti saya juga berfikiran positif. Kita usaha perlahan-lahan. Insya Allah, kita akan nampak hasilnya kelak. Buat masa ini, kita berusaha dan bertabah sahaja.

Serahkan kepada Dia yang lebih mengetahui.


Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.

Tulisan Adalah Gambaran Diri Kita


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


E-mel 1:

Hi. Kita nak tny, camne ye nak jadi penulis? Kita nak sgt jd penulis tp xtau nk mule camne.


E-mel 2:
ASSALAMUALAIKUM. SAYA MAHU JADI PENULIS. TOLONG HUBUNGI SAYA SECEPAT MUNGKIN. 


Apabila kita menulis e-mel kepada penerbit, sama ada meninggalkan mesej di ruang pertanyaan di laman web mahupun menghantar terus kepada jabatan editorial, pastikan kita menulis:

1. Menggunakan ayat yang teratur dan ejaan penuh. 

2. Semak tatabahasa kita supaya tiada kesalahan. 

3. Jangan menggunakan huruf besar kecuali pada tempat yang betul dan perlu (awal ayat, kata nama khas dan lain-lain) apatah lagi menggunakan warna merah untuk font.

4. Tulis dengan bahasa yang sopan.


Dalam erti kata lain, menggunakan bahasa Melayu standard. Biarlah e-mel itu kelihatan formal.

Mengapa?

E-mel pertama yang kita hantar memberi gambaran awal tentang kita.

Bagaimanakah pandangan editor yang membaca e-mel kita? Adakah e-mel ini memberi gambaran yang baik tentang kita?

Kita mahu menjadi penulis tetapi menulis e-mel pun cacamarba; ayat tunggang-langgang dan banyak kesalahan ejaan. Editor akan membuat kesimpulan manuskrip yang dihantar nanti tentulah akan mengandungi banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa. Ini akan menjadi beban kepada editor kerana terpaksa melakukan banyak kerja pembetulan.

Bagaimana pula kalau ayat yang kita gunakan kasar dan seolah-olah kita bertanya dalam keadaan marah ataupun angkuh? Ini akan memberi gambaran kita sukar diurus dan pasti mendatangkan masalah kepada editor.

Penulisan e-mel yang baik bukan hanya perlu dalam e-mel pertama tetapi sepanjang proses komunikasi.

Tip komunikasi dengan penerbit/editor akan dikupas dalam entri lain.


Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...