Thursday 31 October 2013

20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller (Bahagian 2)


Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Klik di sini untuk membaca Bahagian 1

14. Anjakan paradigma.
Dari semasa ke semasa, lakukan perubahan dalam penulisan ke arah lebih baik. Kandungan yang lebih baik, olahan yang lebih menarik, plot yang di luar jangkaan dan sebagainya. Ini bagi mengekalkan pembaca sedia ada dan menarik pembaca baru.

15. Tonjolkan produk dan diri.
Bukan bermaksud gila glamor, syok sendiri, dan sebagainya. Sebaliknya, pastikan khalayak menyedari kewujudan buku tulisan kita. Gunakan ruang promosi percuma yang ada. Rajinkan diri menyertai aktiviti promosi yang dilakukan oleh penerbit.

16. Timbul dan terus timbul.
Penulis yang mudah dilupakan adalah penulis yang tenggelam timbul. Ambil masa yang lama untuk keluar dengan produk baru. Konsisten menulis, pastikan ada buku setiap tahun, jumlahnya bergantung pada persetujuan dengan penerbit dan matlamat yang ditetapkan.

17. Profesional tetapi mesra didekati.
Pembaca masa kini suka mengetahui perkembangan penulis. Ada yang menjadikan idola. Ada yang mengaku peminat setia. E-mel, Facebook, twitter, blog jadi penghubung. Hebahkan perkembangan terkini supaya pembaca yang kini menjadi peminat peka dengan kita. Ketika menulis buku baru, kita boleh ambil peluang untuk promosi sebelum buku ditebitkan. Malah, penulis yang bijak sudah mengambil tempahan buku. Buku terjual sebelum masuk stor penerbit.Tulis yang baik-baik di laman sosial bagi menjaga imej kita. Elakkan menggunakan perkataan yang kasar, meletak gambar yang tidak sesuai, pendek kata, jaga-jaga, ada yang memerhati.

18. Dengar dan ambil tindakan.
Kemudahan berhubung juga membuatkan pembaca mudah memberi komen. Puji-pujian memang mengembangkan hati. Berfikiran positif apabila ada komen yang sebaliknya. Ambil peduli dan lakukan perubahan sekiranya ia bersesuaian. Kuasa membeli di tangan pembaca.

19. Zakat dan sedekah.
Walau beratus ciri ataupun tip yang dikongsikan, paling penting adalah menunaikan kewajipan. Dalam setiap wang royalti yang kita peroleh ada milik orang lain. Tunaikan zakat. Rajinkan bersedekah. Ikhlaskan hati melakukan dua perkara ini, insya Allah kita akan mendapat rezeki yang berkat. Rezeki bukanlah dalam bentuk wang semata-mata. Rezeki juga boleh datang dalam bentuk idea yang mengalir, ruang masa untuk menulis, dan sebagainya.

20. Usaha, doa, tawakal.
Bagi yang beragama Islam, doa adalah senjata orang Mukmin. Berusaha bersungguh-sungguh, berdoa, dan berserahlah kepada yang maha Esa. Berlapang dada menerima ketentuan-Nya.


Selamat mengejar pelangi.


___________________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Akta Hak Cipta 1987



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih. 

Sebagai penulis, kita perlu memahami Akta Hak Cipta bagi melindungi hak kita.
Jangan sesekali menjual hak cipta kita ataupun memberinya kepada pihak lain. 


Pengenalan

Hak cipta adalah hak ekslusif yang diberi kepada pemilik bahan berhak cipta bagi tempoh tertentu (Seksyen 13 (1). Akta Hak Cipta 1987). Hak Cipta juga adalah sebahagian harta intelek dan mempunyai nilai yang ditentukan oleh pasaran. Harta intelek adalah seperti lain-lain harta, dimana ia boleh dijual, dibeli, disimpan diedar, disalin dan digunakan dalam berbagai-bagai cara dan bentuk yang boleh memberi faedah kepada pemiliknya. Justeru, harta intelek perlu diberi perlindungan daripada dieksplotasi dengan bebas tanpa kebenaran pemiliknya, dengan tujuan mengaut keuntungan, tanpa memberi ganjaran yang sewajarnya kepada pemiliknya. Di Malaysia hak cipta diberi perlindungan di bawah Akta Hak Cipta 1987 (AHC).

Karya-karya yang layak mendapat hak cipta

1. Karya-karya asal yang layak mendapat hak cipta: (Seksyen 7(1) AHC)
karya sastera;
b. karya muzik;
c. karya seni;
d. filem;
e. rakaman bunyi;
f. karya senibina; dan
g. siaran.
Semua karya adalah dilindungi tanpa mengira kualiti atau nilai kesusasteraan atau kesenian, serta tujuan karya itu dihasilkan. 


2. Karya terbitan yang berikut adalah layak dilindungi oleh Akta ini.
a. terjemahan, penyesuaian, susunan dan perubahan lain karya sastera, muzik atau seni
b. koleksi karya-karya sastera, muzik dan seni oleh sebab pemilihan dan susunan kandungannya, menjadikannya suatu hasil ciptaan intelek.


Tujuan Hak Cipta

Hak cipta ialah hak eksklusif yang diberi oleh undang-undang kepada pemilik karya untuk mengawal penggunaan karyanya bagi satu tempoh yang ditetapkan daripada digunakan tanpa kebenaran pemiliknya untuk apa jua cara pun.


Pemilik Hak Cipta

Hak cipta terletak pada hak mula-mulanya pada pencipta. Hak cipta adalah harta alih yang boleh dipindah milik melalui penyerahhakkan, pemberi wasiat atau dengan kuasa undang-undang dan boleh dijual beli.


Jangka Masa Perlindungan Hak Cipta

  1. Karya sastera, muzik, atau seni (selain daripada fotografi) wujud semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Jika lebih daripada seorang pemilik, hak cipta wujud semasa hayat pencipta terakhir dan 50 tahun selepas kematiannya. Jika bahan tersebut belum pernah diterbitkan sepanjang hayat penciptanya, dan kemudian beliau meninggal dunia, maka hak cipta akan wujud sehingga 50 tahun dari permulaan tahun kalendar berikutan dengan tahun karya itu diterbitkan. Jika karya diterbitkan tanpa nama atau menggunakan nama samaran maka hak cipta akan wujud selama 50 tahun bermula dengan tahun mula-mula diterbitkan.
  2. Hak cipta karya kerajaan, pertubuhan kerajaan dan badan antarabangsa wujud sehingga 50 tahun bermula daripada tahun kalendar berikutan dengan tahun karya itu mula diterbitkan.
  3. Hak cipta mengenai sesuatu edisi diterbitkan, rakaman bunyi, fotografi, filem dan siaran akan wujud sehingga 50 tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang ia mula diterbitkan atau disiarkan.


Perlakuan-perlakuan yang Melanggar Hak Cipta

Perbuatan-perbuatan berikut yang dilakukan oleh bukan pemilik hak cipta, tanpa persetujuan atau lesen pemilik hak cipta adalah dianggap suatu pelanggaran hak cipta:

  1. Mengeluar semula dalam bentuk menayang, mempamer, melakukan, dan mengedarkan kepada awam, melalui kabel atau menyiarkan keseluruhan atau sebahagian karya itu dalam bentuk asli atau terbitan.
  2. Mengimport apa-apa artikel bagi tujuan perdagangan atau untuk mendapat keuntungan.
  3. Membuat, untuk jualan, atau sewa apa-apa salinan langgaran.
  4. Menjual, menyewakan atau secara dagangan, mendedahkan atau menawarkan jualan salinan langgaran.
  5. Mengedarkan salinan langgaran.
  6. Memiliki, melainkan untuk kegunaan persendirian dan domestik apa-apa salinan langgaran.
  7. Dengan cara dagangan, mempamerkan kepada umum apa-apa salinan langgaran.
  8. Mengimport, melainkan untuk kegunaan persendirian dan domestik sebarang salinan langgaran.
  9. Membuat atau memiliki sebarang perekaan yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran.
  10. Menyebabkan karya tersebut dimainkan di khalayak ramai.

    _____________________________________

    PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



BO: Kuasai Khidmat Pelanggan


Sumber: Masayu Ahmad



TERBIT 30.11.2013
HARGA PRE-ODER RM30
HARGA SELEPAS TERBIT RM50


1. Kenali produk
Usahawan perlu tahu apa produk dan jenis perkhidmatan yang mahu diberikan. Tahu dan kuasai produk dari A hingga Z dan bersedia dengan semua jawapan yang ditanya bakal pelanggan. Tahu penggunaan produk, manfaat, dan juga kekurangan produk. Terangkan dengan jelas.


2. Kenali pelanggan
Mengenali pelanggan adalah mengetahui 'niche produk' dan sasaran pelanggan. Sekiranya produk yang berkiatan dengan butik pakaian siapakan golongan sasaran pembeli. Jika produk berkaitan haji dan umrah siapakah pelangggan. Jika produk berkaitan peralatan dan kelengkapan ibadah siapa pula sasaran. Mengenali produk dan mengenali siapa sasaran pelangggan, sangat memudahkan usaha promosi dan juga keterangan tentang produk atau servis yang diperkenalkan.

3. Komited perkhidmatan berkualiti
Usahawan online perlu komited dalam menawan pelanggan melalui perkhidmatan yang berkualiti. Suasana positif semasa urus niaga online memberi pengaruh emosi positif kepada pelanggan. Ucapkan bahasa yang sopan, respon yang cepat, proses urus niaga yang mudah. Pelanggan lebih suka bagi produk yang cepat dalam tempoh masa yang dijanjikan. Lagi cepat produk sampai lagi tinggi kepuasan kepada pembeli.

4. Hormati pelanggan
Hormati pelanggan sebagaimana kita suka pelanggan menghormati hak kita sebagai usahawan. Cara menghormati pelanggan denan memberi harga yang betul, jujur dalam urus niaga, apabila ditanya segera memberi respon positif. Apabila pelanggan bercerita masalahnya, cuba dengar dan sesuaikan atau sarankan produk atau perkhidmatan yang diberikan.

Bagi usahawan online antara masalah biasa yang berlaku ialah, tempoh penghantaran barang. Apabila ada situasi berlaku barang tidak sampai, rosak dan sebagainya, jadi nyatakan dengan jelas terma dan syarat. Jika tidak rugi maka gantikan semula barang tersebut, atau kembalikan jika pelanggan mahu.

5. Tidak emosi
Ramai usahawan online, terutama yang baru belajar berurusan dengan pelanggan cepat sahaja sentap dan emosi. Namanya pun berniaga, jadi pelanggan adalah sebahagian daripad urusan yang perlu kita ambil tahu dan kuasai semasa mengendalikannya.

Emosi pelanggan yang dijaga baik, ia membawa kesan keuntungan jangka masa panjang. Beberapa situasi ibu-ibu yang bekerja di rumah, mudah emosi apabila agak terganggu dengan kerenah anak-anak kecil dan juga pertambahan tugas serentak atau menerima order pelanggan yang banyak dalam tempoh singkat.

Untuk menangani kerenah anak-anak, ibu bekerja dari rumah perlu mengenalpasti dari awal tempoh masa anak bermain, anak lapar dan anak memerlukan perhatian. Tempoh kritikal biasanya, pada waktu tengahari, iaitu ada pelanggan online waktu pejabat yang suka menggunakan masa ini membuat pembelian atau pertanyaan.

Begitu juga bagi pembeli bujang, kadangkala tidak tahu masa yang sesuai untuk bertanya, waktu tengahari dan juga waktu petang menjelang malam sekitar jam 6, 7, 8 petang. Sangat penting ibu yang bekerja dari rumah, pandai mengawal emosi menjawab pertanyaan walaupun pada masa itu sangat kelam kabut.

Emosi juga sangat penting ketika berurusan dengan pelanggan cerewet yang meminta harga tidak masuk akal, pelanggan yang mahu cepat, pelanggan yang tidka sabar dan pelanggan yang banyak cakap.

Usahawan online perlu ada senarai skrip yang boleh digunakan untuk mmebantu apabila berhadapan pelanggan sebegini. Usahawan yang tidak emosi, sudah tentu memberi layan terbaik setiap pertanyaan.


6. Tidak biarkan pelanggan menunggu lama
Selalunya dalam urus niaga online, sifat pelanggan mahukan segalanya cepat. Lagi cepat jawab lagi tinggi kadar kepuasa. Segera respon apabila anda sudah online. Segera bermohon maaf sekiranya lambat menjawab soalan atau email pertanyaan.

7. Beri seperti yang dijanjikan
Selalunya pelanggan beli kerana tergoda dengan promosi produk dan barangan yang dipamerkan. Pastikan ia sama sebagaimana sebelum beli dan selepas pembayaran dibuat.

8. Sentiasa berkata benar
Sentiasa jujur dan berkata benar. Contohnya barang puan Salmah sudah pun dihantar akan tetapi ada masalah dengan syarikat penghantaran. Usahawan perlu menerangkan dengan benar situasi yang berlaku.

"Sebenarnya puan, barang sudah dihantar pada tarikh sekian-sekian. Ada masa ia akan sampai pada keesokannya, ada masa dua hari tiga hari. Ada juga kes barang lambat dan ada barang yang hilang. Jadi, kita sama-sama doa barang puan sampai tepat masanya. Harap puan bersabar, jika barang sudah sampai maklumkan pada saya. Jika tidak sampai atau rosak, maklumkan juga saya akan gantikan semula dengan yang baru."

9. Bina hubungan yang baik
Bina hubungan baik dengan pelanggan melalui kata-kata ucapan. Kini dengan kemudahan fb, tidak salah sekali sekala memberi respon status fbnya. Ucapan selamat hari lahir, tahniah, takziah dan sebagainya berdasarkan situasi pelanggan. Ia membuatkan pelanggan rasa dekat dan mudah mesra dengan kita (pemilik bisnes)

10. Mudahkan pembelian
Mudahkan pembelian, ramai kini pelanggan yang mahu cara termudah dan terpantas. Sediakan platform yang mudah untuk pelanggan membuat pembayaran dan tahu status barang yang perkhidmatan yang dibeli.
Lagi mudah kaedah beli, lagi tinggi kepuasan. Pun begitu, pastikan juga ia memudahkan usahawan dalam rekod dan bukti urus niaga agar tidak melanggar terma dan syarat.

Selamat mengejar pelangi.

___________________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Wednesday 30 October 2013

Ulasan Pelajar Kelas Online - Kizeewatty Zainal





Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih. 
Berikut adalah ulasan salah seorang daripada pelajar kelas online.
________________________________

Saya mulakan penulisan saya dalam keadaan santai kerana kelas ini tidak 
mempunyai had masa yang ditetapkan. Terpulang pada masa terluang kita 
untuk membina blog masing-masing  Arahan yang jelas diberikan mentor 
kami setiap kali tugasan yang diberikan. Bagi yang kurang faham dan arif 
engan dunia alam maya ini kita digalakkan bertanya sehingga kita 
betul-betul paham. Jangan malu dan segan kerana tiap soalan kita 
dapat membantu rakan-rakan yang lain.

Pengalaman saya selaku orang yang buta IT, pada mulanya saya masih 
tidak memahami sebahagian tugasan dan cara melayari dunia blog 
walaupun telah diterangkan satu persatu. Saya ambil inisiatif lain, 
hendak seribu daya kan. Saya mula belajar dengan kawan di pejabat 
selepas waktu bekerja. Akhirnya dengan mudah saya dapat memahami 
konsep blog ini. Blog saya juga selalu dipantau oleh mentor dan banyak 
nasihat-nasihat berguna diberikan untuk menjadikan blog ini lebih tampak 
professional di mata pembaca.

Saya diajar dari seseorang yang tidak tahu apa-apa hingga kepada terbinanya 
satu blog yang boleh saya bawa lebih jauh lagi. Saya juga diajar cara-cara 
membina penjenamaan nama kita di ruang IT, membina url blog, membina 
kategori berdasarkan pengalaman dan apa yang ingin dikongsikan.

Paling penting niat kita berblogging ini kerana Allah s.w.t, untuk mambantu 
lebih ramai pembaca mencapai impian menjana pendapatan dengan bekerja 
dari rumah. Melalui kelas blog ini, kawan-kawan baru saya semakin ramai 
dan setiap daripada mereka mempunyai hobi, bakat dan pengalaman berbeza. 
Mereka sentiasa memberi impak positif dalam hidup saya dan bermulalah 
perkongsian ilmu antara kami. Mereka merupakan guru dan kawan yang banyak
membantu dan mendorong saya. 


________________________________________

PM saya MAZLIA MURAT untuk pertanyaan dan pendaftaran.

Selamat mengejar pelangi.

Lupakan Panadol


Teks: Mazlia Murat
Foto: Portal PTS

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Sebelum ini, saya memang tidak suka makan panadol kerana tahu akan kesan sampingannya. Jadi, apabila demam, saya abaikan. Paling tidak pun saya minum 100 plus. Ya, minuman isotonik yang tinggi gula ini memang menjadi kegemaran saya.

Sehinggalah saya membaca buku di bawah baru saya tahu elok minum air kelapa apabila demam. Apatah lagi, saya memang suka minum air kelapa.


Kebetulan saya membaca entri rakan kelas online asas blog dan penulisan menyentuh tentang air kelapa. Pengetahuan ini semakin bertambah apabila membaca catatan beliau tentang apa yang beliau lakukan apabila anak sakit. Maklumlah, sebagai ibu, saya perlu bersedia. 

Sebahagian catatan beliau:

Point penting yang saya selalu jaga semasa anak demam adalah :
Tingkatkan sistem pertahanan badan anak - sup ayam, air kelapa, jus buah, elakkan gula dan makanan berproses.
Beri makan probiotik bukan antibiotik. Antibiotik akan bunuh semua bakteria jahat dan baik. Badan perlukan bakteria baik - Minyak kelapa dara, ekstrak minyak zaitun.
Pastikan anak aktif dan ceria. Kalau dia mahu dukung 24 jam, layankan. Asalkan anak gembira, maka cepat sembuh. Orang murung lambat sembuh.
Turunkan suhu secara bertahap bukan mendadak - lap badan, mandikan dengan air bersuhu sederhana.
Rawatan rohani - selawat shifa', solat hajat, solat taubat, bersedekah.


---------------------------

PM saya MAZLIA MURAT untuk mendaftar kelas asas blog dan penulisan. 

Monday 28 October 2013

20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller (Bahagian 1)


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Mengikut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat, prolifik bermaksud banyak menghasilkan karya, banyak hasil tulisannya (ciptaannya).

Mengikut istilah sumber, best seller adalah buku yang paling popular dan laris dijual dengan jumlah yang luar biasa.

Ada penulis hanya menulis satu ataupun dua buku tetapi buku itu menjadi best seller untuk satu tempoh. Ada penulis yang menulis banyak buku tetapi tiada satu pun yang best seller.

Menjadi penulis prolifik bukan jaminan untuk menjadi penulis best seller. Namun, menjadi penulis prolifik adalah jalan untuk menjadi penulis best seller.

20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller:

1. Melakukan kajian pasaran.
Kenal pasti sasaran pembaca dan fahami kehendak pasaran. Mengeluarkan produk yang menepati kehendak pasaran akan melonjakkan jualan.

2. Merancang untuk penjenamaan produk dan diri.
Kenal pasti bidang penulisan yang mahu diceburi dan kekal dalam bidang itu buat satu tempoh. Menulis banyak buku untuk satu-satu bidang/genre dan bukannya menulis 10 buku untuk 10 genre/bidang berbeza. Ini bagi tujuan penjenamaan.
Ain Maisarah dikenali sebagai penulis novel remaja. Ramlee Awang Murshid dikenali sebagai penulis novel thriller.

3. Menonjolkan identiti penulis.
Selain genre, gaya penulisan dan diri penulis sendiri juga memainkan peranan untuk membentuk identiti seeorang penulis. Ini akan membezakan seseorang penulis dengan penulis lain.

4. Brainstorming idea.
Ambil masa untuk memikirkan idea sebelum menulis. Fikirkan idea utama, kembangkan kepada idea-idea lain. Catat dan fikirkan lagi. Idea yang kurang bagus akan membawa kita kepada idea yang lebih baik apabila kita berfikir dan berfikir.

5. Merancang penulisan dari awal.
Ada penulis prolifik yang mempunyai buku nota untuk setiap manuskrip. Beliau membuat kajian terperinci dan menyediakan bahan sebelum mula menulis. Ada juga yang membuat draf ringkas menggunakan peta minda tulang ikan, dan sebagainya. Terpulang kepada keselesaan, tetapi yang penting, rancang penulisan.

6. Bina kelompok pembaca setia.
Menulis buku bersiri ataupun trilogi membantu membina kelompok pengikut siri, sekali gus akan melonjakkan jualan. Pembaca lama akan membeli buku terbaru satu-satu siri. Pembaca baru akan mencari judul terdahulu satu-satu siri. Setiap judul akan saling membantu meningkatkan jualan. Ini juga berkait dengan ciri nombor lima.

7. Baca, baca, dan baca buku.
Baca pelbagai jenis buku biar bidang apa pun yang kita tulis. Penulis fiksyen tetap perlu membaca buku umum. Pengetahuan itu dapat diselitkan sebagai nilai tambah dalam manuskrip. Dengan banyak membaca, kita akan dapat memperbaiki tatabahasa dan menambah kosa kata. Selain itu, aktiviti ini akan mempengaruhi gaya penulisan dan membantu penjanaan idea. 

8. Komited dan memberi komitmen sepenuhnya.
Letakkan sasaran yang mahu dicapai; setahun berapa judul yang mahu ditulis dan diterbitkan. Rancang bersama editor sasaran yang realistik untuk dicapai. Bekerja bagi mencapai sasaran.

9. Pengurusan masa yang efisien.
Mempunyai disiplin diri yang tinggi untuk mengikut satu-satu deadline yang ditetapkan. Tiada alasan tidak cukup masa sebaliknya sentiasa berusaha mencari ruang untuk menulis.

10. Tulis dan tulis setiap hari.
Ada penulis yang memperuntukkan tempoh masa yang panjang, ada yang lebih suka sesi yang pendek tetapi beberapa kali sehari. Terpulang pada kesesuaian diri. Tetapkan matlamat mahu menyiapkan berapa halaman satu hari.

11. Motivasi diri.
Ada masa kita bersemangat, ada masa kita seperti mahu berputus asa. Ia normal namun teruskan melangkah. Cari perkara yang membuatkan kita kembali bersemangat. Sama ada kita mendapat dorongan daripada rakan penulis,  ahli keluarga, mahupun daripada diri sendiri. Contohnya kita memberi ganjaran kepada diri sendiri sekepas selesai mencapai satu-satu sasaran; menyiapkan bab ataupun siap menulis manuskrip.

12. Bergaul dengan penulis lain.
Sertai kumpulan penulis di laman sosial ataupun dalam rumah penerbitan yang sama. Sesekali keluar bersama untuk minum petang ataupun aktiviti lain. Bertukar pendapat, berkongsi idea, saling mendorong. Apabila bergaul dengan orang yang memiliki impian yang sama, kita akan jadi lebih bersemangat dan positif.


Bahagian 2 akan menyusul.


Selamat mengejar pelangi.

Pakej Kelas Online



Teks oleh: Mazlia Murat

  1. Kelas asas blog dan penulisan
  2. Kelas asas blog dan fan page khusus untuk bisnes

Kelas ini di mana?
Uniknya kelas kami secara online sahaja. Boleh mula bila-bila masa.

Saya bekerja, tidak ada masa?
Disebabkan kekangan masa, kelas ini dijalankan secara fleksibel. Iaitu 10 langkah mudah untuk kelas penulisan dan 16 langkah untuk kelas bisnes.

Saya tidak ada produk.
Produk disediakan. Jika sudah ada produk, lebih bagus.

Berapa lama boleh pandai?
Bukan berapa lama boleh pandai, tetapi berapa cepat boleh siapkan tugasan. Ada pelajar laju, ambil masa 10 hari sahaja, ada 3 minggu, ada sebulan dan ada lebih daripada itu.

Apa lagi yang kami dapat?
Jaringan dan perhubungan sahabat-sahabat lain yang juga dari kalangan surirumah, suri bekerjaya. Boleh berkenalan dan bertukar pandangan. Inilah kumpulan sokongan yang perlu untuk wanita yang bekerja di rumah, untk mendapatkan semangat, pendapat, bina kenalan baru dan sebagainya.

Yuran 1: RM150
Sebuah ebook rujukan-ebook asas blog





Yuran 2: RM180
Tiga buah ebook- ebook asas blog, ebook mula bisnes butik online, ebook super wahm super mom



Yuran 3: RM200
Empat buah ebook- asas blog, ebook mula bisnes butik online, ebook super wahm super mom
Percuma- 101 Idea Home-Based Bisnes





Yuran 4: RM300
Untuk dua kelas serentak, 3 ebook rujukan, asas blog, bisnes butik, 101 idea home based bisnes

Pilih salah satu kelas dan nyatakan pilihan: Yuran 1, Yuran 2, Yuran 3 ataupun Yuran 4. 

PM MAZLIA MURAT untuk maklumat lanjut. 

Sunday 27 October 2013

Percuma Ataupun Tempah Awal Untuk Diskaun


Teks oleh: Mazlia Murat


Saya tidak tahu orang lain, tetapi saya memang suka apabila mendapat barang percuma. Beli barang A dapat barang B. Saya juga suka mendengar perkataan diskaun.

Jadi saya teruja untuk berkongsi e-book terbaru tulisan Puan Masayu Ahmad.

Bakal terbit 30.11.2013


Bab 1: 101 Idea Home-Based Bisnes
Bab 2: Mula Bisnes Tanpa Modal
Bab 3: Rancang, Sasar Matlamat
Bab 4: Strategi Pemasaran Online
Bab 5: Strategi Pemasaran Offline
Bab 6: Operasi Dari Rumah
Bab 7: Khidmat pelanggan Online
Bab 8: Produk Digital vs Produk Fizikal
Bab 9: Strategi Pemasaran Gaya Rasulullah
Bab 10: Rahsia Bisnes Siti Khadijah
Bab 11: Pengalaman Usahawan Sukses



Dapatkan secara percuma dengan mendaftar kelas online sebelum Oktober 2013 melabuhkan tirai.



Ataupun, tempah awal e-book ini untuk belian pada harga RM30. 
Harga selepas dilancarkan adalah RM50. 

Klik di sini untuk pembayaran ataupun 
PM saya di Mazlia Murat untuk maklumat lanjut. 

20 Sebab Manuskrip Ditolak (Bahagian 2)

Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Sambungan Bahagian 1

6. Pasaran terhad.
Manuskrip yang bagus namun terhad untuk bidang tertentu yang mana kelompok pembaca kecil dan tidak sesuai diterbitkan di pasaran runcit.

7. Penulis tiada kredibilti.
Buku dalam bidang tertentu ditulis oleh penulis yang diragui kredibiliti dan kepakarannya untuk 'berhujah' dalam bidang itu.

8. Tidak mengenali sasaran pembaca.
Tema, bahasa dan jalan cerita yang tidak sesuai untuk peringkat umur pembaca yang disasarkan. Manuskrip ditulis tanpa sasaran pembaca yang tertentu (tidak jelas).

9. Ketebalan manuskrip tidak menepati kriteria penerbit.
Manuskrip terlalu panjang ataupun terlalu pendek.

10. Tiada 'hook' atau 'cangkuk'.
Pembukaan permulaan manuskrip (sama fiksyen mahupun non-fiksyen) yang mudah dilupakan, tidak menarik, dan gagal 'mengikat' perhatian pembaca untuk terus membaca.

11. Manuskrip tidak bersih.
Struktur ayat tunggang-langgang. Terlalu banyak kesalahan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca sehingga mengganggu pembacaan.

12. Tiada rujukan dan kajian/fakta yang menyokong penulisan.
Tulisan non-fiksyen yang terlalu bersifat pandangan peribadi tanpa sokongan fakta dan sukar diaplikasi oleh pembaca.

13. Syok sendiri.
Imaginasi yang melampau. Kisah fiksyen yang terlalu ideal dan tidak realistik sehingga tidak dapat diterima oleh logik akal pembaca.

14. Ganjaran untuk pembaca tidak jelas.
Manuskrip berpotensi besar dianggap pembaca sebagai pelaburan yang sia-sia. Apa yang pembaca dapat dengan mengeluarkan duit dan masa untuk membaca satu-satu buku lebih utama berbanding apa yang penulis suka dan mahu tulis.

15. Lambakan fakta dalam manuskrip fiksyen.
Terlalu banyak ilmu yang mahu dikongsi tetapi tidak diolah dengan baik; membuatkan pembaca merasakan seperti membaca 'buku teks'.

16. Masalah plot untuk manuskrip fiksyen.
Plot dan subplot cerita yang terlalu biasa (klise) dan hambar; perjalanan cerita mendatar. Tiada unsur saspens dalam cerita yang membuatkan pembaca tertanya-tanya dan mahu terus membaca sehingga ke muka surat terakhir untuk mendapatkan jawapan. Tiada klimaks.

17. Masalah olahan.
Susunan ayat tidak menarik, meleret-leret, berbelit-belit. Semua perkara ditulis satu-satu, penerangan terlalu terperinci; lebih elok diceritakan melalui tindakan watak (show don't tell).
Naratif terlalu panjang ataupun dialog yang tidak berfungsi, membosankan dan menyebabkan pergerakan cerita menjadi perlahan.
Selepas suku ataupun separuh dibaca, pembaca sudah melangkau ke halaman terakhir ataupun menutup terus buku.

18. Masalah watak dan pembangunan watak.
Karakter tidak jelas, tidak berbeza antara satu sama lain, dan tiada perubahan pada karakter sepanjang cerita.
Lemah, dan tidak dikembangkan dengan baik. Watak protagonis terlalu sempurna. Watak antagonis tidak menonjol dan meninggalkan kesan.

19. Masalah konflik dalam cerita.
Konflik muncul lambat dalam cerita, tidak kuat dan menyakinkan. Tidak cukup konflik.

20. Penutup yang tidak meyakinkan.
Tidak logik, menghampakan, ataupun ditulis dengan tergesa-gesa.


Selamat mengejar pelangi.


p/s: PM saya di FB Mazlia Murat untuk menyertai kelas online asas blog sebagai persediaan menjadi penulis.

Wednesday 23 October 2013

20 Ciri Penulis Yang Disukai Penerbit (Bahagian 1)


Teks oleh: Mazlia Murat
Sumber gambar: Google



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Penerbit dalam konteks ini boleh juga dikatakan wakil penerbit yang berurusan dengan penulis seperti editor, pegawai pemasaran, eksekutif jualan, artis grafik, dan sebagainya.

1. Penulis yang mempunyai nilai RM; tokoh dalam bidang tertentu, terkenal dan mempunyai ramai pengikut yang mana ini adalah bonus untuk lonjakan jualan.

2. Penulis baru yang punya potensi untuk menjadi penulis best seller; tulisan berkualiti dan menepati kehendak pasaran.

3. Merendah diri, mudah apabila berurusan, menggunakan bahasa yang sopan apabila berkomunikasi, dan menghormati wakil penerbit walaupun lebih muda.

4. Menjaga kualiti penulisan; ayat yang tersusun, ejaan betul, tatabahasa betul. Kesalahan pada kadar minimum.

5. Profesional dan bijak mengawal emosi. Tahu membezakan urusan rasmi dan peribadi sekiranya mengenali wakil penerbit secara peribadi.

6. Berfikiran positif dan terbuka apabila menerima komen dan kritikan editor untuk tujuan penambahbaikan manuskrip.

7. Berbincang dengan baik apabila ada percanggahan pendapat tentang manuskrip.

8. Sudi belajar dan meningkatkan kualiti manuskrip; manuskrip kedua lebih baik daripada yang pertama dan seterusnya. Contohnya kesilapan ejaan dan tanda baca yang dibetulkan oleh editor dalam manuskrip pertama tidak diulang dalam manuskrip kedua.

9. Tidak hipokrit dan tidak 'cakap belakang'; memburuk-burukkan penerbit ataupun wakil penerbit, apatah lagi di dalam laman sosial.

10. Bersemuka dan berterus terang dengan editor sekiranya tidak berpuas hati dalam proses kerjasama dan bukannya secara diam-diam terus menghantar e-mel aduan kepada bos besar si editor.

Bahagian 2 akan menyusul.

Selamat mengejar pelangi.

20 Sebab Manuskrip Ditolak (Bahagian 1)


Teks oleh: Mazlia Murat

Sumber gambar: Google

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.




1. Dihantar kepada penerbit yang salah.
Setiap rumah penerbitan mempunyai konsep penerbitan sendiri. Apabila manuskrip buku agama dihantar kepada penerbit yang hanya menerbitkan novel, pastinya ditolak. Begitu juga apabila manuskrip novel cinta dihantar kepada penerbit buku kanak-kanak.
Bukankah sia-sia kita bersedih ditolak kerana kesilapan begini?

2. Manuskrip yang baik tetapi tidak mengikut trend semasa.
Sesetengah buku dijual ikut musim. Apabila musim sudah berlalu, kemungkinan untuk diterbitkan dan mencatat jualan yang tinggi sangat rendah.
Buku berkaitan menjana pendapatan memang mendapat sambutan sepanjang masa. Namun, perlu dilihat kandungannya. Buku tentang penternakan lintah, ikan keli dan sebagainya pernah mendapat sambutan hangat tetapi kini sudah suam-suam kuku. Mungkin buku buat duit menggunakan laman sosial akan mendapat sambutan melihatkan trend sekarang.

3.  Sama ada manuskrip fiksyen mahupun non-fiksyen, ia perlulah asli dan bukan karya ciplak.
Manuksrip non-fiksyen biasanya ditulis dengan merujuk kepada buku-buku lain. Sumber rujukan perlu disertakan. Merujuk bukan bermaksud menyalin bulat-bulat hampir keseluruhan tulisan orang lain lalu dihantar kepada penerbit untuk diterbitkan sebagai tulisan kita.

4. Sudah ada banyak dalam pasaran.
Buku dengan tema yang sama, sama ada fiksyen mahupun non-fiksyen yang sudah ada banyak dalam pasaran menyebabkan pasaran tepu. Penulis perlu cari nilai tambah bagi meyakinkan penerbit manuskrip yang ditulis mampu memberi kelainan.

5. Tidak syariah compliant, menyentuh isu sensitif seperti perkauman, menghina agama, dan mengandungi isu politik yang keterlaluan.


Bahagian 2 akan menyusul....


Selamat mengejar pelangi.


Monday 21 October 2013

Curi Masa

 Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Saya sebenarnya kurang gemar menaip entri menggunakan telefon. Namun kerana anak kecil yang asyik merengek; tidak boleh saya jauh, maka sudah beberapa entri ditaip sambil susukan bayi ataupun menunggu bayi lelap. Berpinar mata. Silap hari bulan, makin rabun.

Hakikatnya, mempunyai anak kecil,  belum pun dua bulan, saya perlahan-lahan belajar mencuri masa melakukan kerja lain. Pastinya ramai WAHM di luar sana punya banyak pengalaman.

Setiap daripada kita punya pengetahuan dan pengalaman berbeza. Kongsikan di blog, semoga bermanfaat kepada orang lain. Mungkin juga ia jadi bekalan kita untuk bertemu dengan-Nya kelak.

Sertai kelas asas blog untuk mempelajari teknik penulisan blog berpengaruh. Blog adalah medium perkongsian yang baik. Juga medium menjana pendapatan kalau mahu. Hubungi saya untuk maklumat lanjut.

Mari mengejar pelangi.


Tip 4 Penulisan Karya Fiksyen

Teks oleh: Mazlia Murat

Tip 4: Menambah Ketebalan Manuskrip

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Beberapa kali saya ditanya bagaimana mahu memanjangkan manuscript; terutama novel dewasa.

Sebenarnya saya bukan orang yang tepat untuk memberikan jawapan kerana sebagai penulis saya sendiri menghadapi masalah menulis novel tebal. Tiga novel saya diterbitkan oleh Alaf 21, ketiga-tiga juga diminta oleh editor supaya ditambah ketebalan selepas penilaian kali pertama.

Namun saya boleh berkongsi sedikit pengalaman menulis dan menilai manuskrip penulis.

1. Rancang penulisan.
Kenal pasti watak yang mahu ditulis, karakter dan latar belakang dengan jelas.

Apabila penulis sudah jelas dengan watak yang mahu ditulis, perkembangan watak akan lebih tersusun sekali gus memudahkan penulisan.

2. Watak yang ramai dan berfungsi.
Lebih ramai watak lebih banyak subplot. Lebih banyak konflik kecil milik setiap watak dapat diwujudkan.

Namun hadkan watak supaya tidak terlalu banyak dan hanya jadi tempelan. Pastikan watak tidak tenggelam timbul. Ada pada awal cerita, hilang tanpa dikesan pada pertengahan cerita dan tiba-tiba muncul pada akhir cerita tanpa nilai tambah pada cerita.

3. Dialog.
Banyakkan dialog dalam penulisan tetapi seimbangkan dengan naratif. Apabila kekeringan idea, ulang baca scene yang sudah ditulis. Tambah dialog yang sesuai. Pastikan penambahan itu tidak menjadikan scene meleret dan menbosankan sebaliknya lebih dramatik dan menarik.

Dialog yang baik adalah dialog yang mempunyai input, menggerakkan cerita. Dialog tanpa nilai tambah hanya melambatkan pergerakan cerita dan menampakkan penulis tiada idea, hanya mahu menebalkan muka surat.

4. Scene.
Penambahan scene sangat membantu. Kadangkala apabila kita baca semula, antara dua scene boleh diselitkan scene lain. Ataupun ada scene boleh dipanjangkan. Penambahan scene seiring dengan penambahan konflik dan dialog.

5. Tempoh cerita yang panjang.
Cerita yang mempunyai time frame yang panjang akan mempunyai banyak plot dan subplot. Orang yang sudah hidup 25 tahun pasti sudah melalui lebih banyak perkara berbanding yang baru hidup 10 tahun. Begitulah juga dengan cerita.

Watak A berusia 23 tahun. Cerita yang ditulis berkaitan kehidupannya sebagai pelajar kolej. Flashback tentang kehidupan semasa kanak-kanak akan membantu memanjangkan cerita tetapi, pastikan ada kaitan dengan jalan cerita.

Selamat mengejar pelangi.




Sunday 20 October 2013

1 Manuskrip Berapa Penerbit?


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Seorang penulis sudah menyiapkan tiga manuskrip. Beliau bercadang menghantar kepada tiga penerbit berbeza. Satu manuskrip satu penerbit. Alasan beliau, itu kali pertama buku beliau akan diterbitkan. Beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana penerbit. Jadi beliau mahu menimba pengalaman berurusan dengan penerbit berbeza. Lagipun beliau mahu buku cepat diterbitkan.

Adakah betul tindakan yang beliau mahu ambil?

Terpulang. Itu hak beliau.

Namun, beliau juga ada pilihan untuk berbincang dengan satu penerbit tentang ketiga-tiga manuskrip itu. Katakan ketiga-tiga novel dewasa. Maka kalau diterbitkan oleh penerbit yang sama secara berturutan, boleh dipromosi secara pakej.

Begitu juga kalau ia manuskrip non-fiksyen yang saling berkaitan. Lebih baik diterbitkan di bawah satu bumbung.

Bagaimana pula apabila satu manuskrip yang sama dihantar serentak kepada dua rumah penerbitan berbeza?

Saya pernah menerima e-mel. Satu e-mel yang dilampirkan satu manuskrip dihantar kepada dua alamat e-mel yang mana mewakili dua rumah penerbitan. Malah saya boleh tahu penerbit yang satu lagi itu siapa.

Wajarkah tindakan itu?

Mungkin beliau cuma mencuba nasib. Siapa yang sudi, dia terbitkan.

Tindakan ini menyalahi etika seorang penulis. Hantar pada satu penerbit pada satu-satu masa. Sekiranya tidak diterima, barulah dihantar kepada penerbit yang lain.

Jangan tamak, jangan risaukan masa yang terbazir. Dibimbangi diri sendiri yang rugi.  Katakan wakil penerbit A mengabaikan e-mel kita dengan anggapan penerbit B mungkin sudah menerima manuskrip itu. Sebaliknya penerbit B pun beranggapan yang sama. Dua-dua pun mengabaikan manuskrip kita. Siapa yang rugi?

Ada juga situasi dua penerbit memproses manuskrip yang sama kerana ketamakan penulis yang tidak mahu berterus terang. Kononnya siapa penerbit yang cepat proses, maka penerbit itu yang akan dipilih.

Industri penerbitan di negara ini kecil sahaja. Apatah lagi dengan kewujudan laman sosial. Semua pun berkawan. Imej yang tercalar susah mahu dipulihkan kembali. Kepercayaan yang hilang sukar dikembalikan.

Sabar. Pasti ada rezeki untuk kita apabila kita mengikut jalan yang betul.

Marilah kita sama-sama mengejar pelangi .

Saturday 19 October 2013

Perkataan Bombastik


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Apabila menulis buku untuk kanak-kanak dan remaja memang digalakkan memperkenalkan perkataan yang jarang diguna ataupun yang mungkin kanak-kanak tidak tahu. Lebih elok diterangkan sekali maksud. Secara tidak langsung kita menambah kosa kata pembaca.

Namun pastikan kita menggunakan perkataan itu dengan betul. Elakkan menggunakan perkataan bombastik tetapi pada tempat yang salah; tidak sesuai dan salah maksud. Elakkan juga terlalu banyak sehingga pembaca tidak faham ataupun rasa letih membaca tulisan kita.

Perkataan yang ringkas dan biasa tetap mampu menghasilkan ayat yang menarik minat pembaca apabila kita pandai mengolah.

Contoh ayat dan perkataan akan menyusul....


Hari Itu Dalam Sejarah...


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Apabila tiada rezeki di satu tempat, mungkin ada rezeki lain yang tertulis untuk kita.
Saya bersama empat penulis lain ada menulis satu siri buku cerita berilustrasi untuk kanak-kanak. Kisah Si Puteri. Buku kedua jualannya paling tinggi, manakala buku ketiga paling sedikit; sekarang saya tidak pasti.

Sewaktu saya baru beberapa hari berpantang, saya menerima panggilan telefon daripada staf pemasaran PTS. Beliau memaklumkan wakil penulis dijemput untuk sesi di RTM. Buku kami tercalon untuk Anugerah Buku PNM-RTM. Buku ketiga untuk siri itu. Kami Puteri Hebat. Saya waktu itu sedang tidur. Mamai dan lemah saya menerima berita itu tanpa perasaan.

Pada malam majlis berlangsung, saya tidak hadir kerana masih berpantang. Kami menang. Subhanallah... Alhamdulillah.

Plak hadiah saya masih di PTS.  Nanti saya ambil dan letak gambar di sini. :)


Wednesday 16 October 2013

Percuma... Tunggu Apa Lagi


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Dunia tanpa sempadan. Semua di hujung jari. Hanya perlu ada sambungan Internet, komputer, laptop, mahupun telefon pintar.

Oh, belum cukup. Perlu ada kerajinan. Ya, tanpa kerajinan,  semua kemudahan yang ada akan tersia-sia. Apabila ada kerajinan, kita berusaha bersungguh-sungguh. Insya Allah, akan menampakkan hasil.

Kerajinan untuk berbuat apa? Kerajinan untuk mencapai impian.

Pertama, untuk menjadi penulis, kita boleh mula berlatih dengan menulis di blog. Terutama kepada yang tidak yakin dengan keupayaan diri. Ada ramai penulis yang bermula di blog sebelum karya mereka diterbitkan.

Apabila sudah menjadi penulis, kita juga boleh menggunakan blog dan laman sosial untuk mempromosikan hasil tulisan kita. Tidak semestinya kita yang memuji produk kita sendiri. Letak alamat e-mel ataupun laman sosial di dalam buku. Pasti ada pembaca yang menghubungi kita lalu memberi komen. Apa lagi... paparkan komen positif untuk menarik perhatian pembaca lain.

Mengapa penulis yang perlu promosi? Bukankah itu tanggungjawab penerbit?

Setiap rumah penerbitan mempunyai banyak buku. Banyak buku biasanya melambangkan banyak juga penulis. Apabila ada terlalu banyak produk, tidak semua produk dapat diberikan tumpuan. Bukan pilih kasih, ya. Hakikatnya, penerbit akan melihat potensi satu-satu produk.

Tetapi jangan pula putus asa, Kalau produk kita tidak diketengahkan, bukan bererti produk kita tidak bagus, namun mungkin kerana terlepas pandang. Menjual sesuatu produk bukan sahaja bergantung pada kualiti produk. Buku sama seperti filem. Filem yang dilakonkan oleh pelakon popular selalunya mendapat sambutan hangat biarpun belum pasti kualitinya.

Begitu juga dengan buku. Ada ramai pembaca novel yang membeli kerana nama penulis pada kulit novel. Begitu juga apabila nama tokoh besar dalam satu-satu bidang menulis buku berkaitan bidangnya. Pastinya lebih mudah menjual.

Jadi, untuk kita yang belum ada nama, kita perlu bergerak sendiri. Kita perlu rajin-rajinkan diri menghebahkan tentang kewujudan produk kita. Di sinilah laman sosial dan blog memainkan peranan.

Jangan mudah berputus asa kalau kita merasakan buku kita tidak dipromosi dengan baik oleh penerbit. Setiap penulis baru akan melaluinya.

Penulis novel remaja popular, Ain Maisarah juga bermula dari bawah. Saya adalah editor yang menguruskan novel remaja pertama beliau. Pada masa itu, beliau tidak dikenali. Namun, usaha gigih beliau bersama pengurus beliau yang meletakkan beliau di tempat sekarang.


Kita tidak perlu bayar sewa bulanan blog mahupun laman sosial. Jadi, apa tunggu lagi? Rebutlah peluang yang ada.


Marilah bersama-sama mengejar pelangi.



Promosi terkini pakej bekerja di rumah. Dapatkan sebelum promosi berakhir. 


Selain itu untuk yang mahu mengikut kelas, ada promosi khas. 
Rebut peluang yang ada sebelum terlambat.

PM saya di Facebook Mazlia Murat untuk maklumat lanjut. Boleh juga e-mel ke mazliamurat@gmail.com 




Menyepi...


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Lebih kurang tiga bulan blog ini ditinggalkan sepi. Sengaja, kerana ada perkara lain yang menuntut perhatian.
Hari ini, saya menarik nafas, dan memulakan semula langkah dengan basmallah. Semoga langkah ini perlahan tetapi tidak lagi terhenti.

Bermacam-macam perkara yang berlaku dalam tempoh tiga bulan ini.

Bulan pertama menyepi... Ramadan. Hati diusik rindu yang menggunung kepada mak. Ditambah dengan keadaan fizikal yang semakin lemah. Begitulah... apabila emosi terganggu, fizikal juga terganggu. Lalu saya malas mahu memikirkan soal kerja. Kalau dikemas kini blog, tulisan saya pastinya merapu. Jadi menyepi pilihan terbaik.

Kemudian, dengan izin Allah, saya berjaya melahirkan anak perempuan. Namun, prosesnya juga mendatangkan trauma kepada saya. Kalau ditanya, sudah pasti saya gembira dan bersyukur. Tetapi, hingga kini, saya masih takut memikirkan kesakitan yang saya tempuh. Proses berpantang juga, bermacam ujian didatangkan. Bukan mengeluh... namun untuk menghadapinya, saya menutup fikiran saya tentang hal lain; kerja dan duit. Saya mahu fokus kepada menghadapi dunia baru dengan setiap hari didatangkan cabaran baru. Soal lain, biarkan dahulu.

Alhamdulillah... saya masih belajar. Oh, setiap hari masih belajar mengurus dunia baru dengan anak kecil. Sekarang masa untuk back to reality. Hidup saya bukan sekadar ada anak kecil untuk dijaga. Saya ada blog untuk dikemas kini. Hoho....

Dan... saya ada kerjaya yang mahu dibina dengan harapan ia bukan sahaja mendatangkan keuntungan dunia tetapi juga bekalan untuk akhirat. Insya Allah.

Walaupun saya menyepi, sesekali saya masih mengambil tahu perkembangan terkini alumni penulis dari rumah. Wah... semakin ramai yang bergelar wham. Sungguh mengagumkan. Malah, mereka sudah jauh meninggalkan saya. Tidak mengapa, semua ini rezeki masing-masing.

Kepada yang belum memulakan langkah... mari kita melangkah bersama. Kita hanya perlukan sedikit keberanian dan usaha berpanjangan. Insya Allah.

Anak saya... namanya Naurah Amni. :)

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...