Sunday 30 June 2013

Perpisahan Sementara

Perpisahan Sementara


Pejam celik Ramadan akan muncul lagi. Sama ada kita sempat ataupun tidak menjadi tetamu Ramadan, belum pasti lagi. Yang pasti, Ramadan kali ini (kalau saya berkesempatan melaluinya), adalah tahun pertama akan saya lalui tanpa seorang yang saya panggil Mak. Ibu saya kembali kepada-Nya pada 19 Mei yang lalu selepas 13 bulan berjuang melawan kanser.

Sebenarnya walau apa pun yang saya katakan, saya tidak pernah bersedia kehilangan ibu saya. Walaupun selepas melihat keadaan beliau yang semakin uzur dua bulan sebelum pemergian beliau. Walaupun selepas saban hari saya dan adik-beradik berdoa supaya Allah berikan yang terbaik kepada beliau; sama ada sembuhkan penyakit beliau ataupun ambillah nyawa beliau dalam keadaan paling mudah supaya beliau tidak terus diuji dengan kesakitan.

Saya merelakan pemergian beliau kerana percaya itu yang terbaik. Tetapi, saya tetap rindu beliau. Ada kala, saya seperti terlupa, lalu terlintas mahu menelefon beliau. Sudah jadi rutin saya selalu menelefon beliau untuk mendengar cerita beliau. Ibu saya, semasa sihat, memang suka bercakap. :)

Ibu saya adalah sebab utama saya berhenti kerja. Dan tidak sekali saya kesal dengan keputusan saya. Sebaliknya, saya rasa terkilan kerana masa saya bersama beliau tidaklah lama pun. Walaupun saya berhenti bulan Februari, tetapi waktu itu saya masih mengalami alahan yang teruk. Mahu menjaga diri sendiri pun sukar. Kemudian apabila sudah pulih, tanggungjawab sebagai isteri pula membuatkan masa saya bersama ibu terhad. Kebetulan suami saya cuti sebulan lebih. Namun, saya berterima kasih kepada suami kerana memahami. Saya berulang, tidur di rumah kakak beberapa hari dalam seminggu dan pulang menemani suami yang ketika itu bercuti beberapa hari dalam seminggu. Itulah rutin saya sehingga suami kembali bekerja. Barulah saya dapat menghabiskan masa sepenuhnya di rumah kakak untuk menemani ibu.

Lebih saya terkilan, saya sering hilang sabar apabila ibu tidak mahu makan ubat. Oh, manalah saya tahu masa beliau kian hampir. Kalaulah saya tahu, tidak sesekali saya meninggikan suara, jauh sekali rasa hampa, terkilan, dan marah. Waktu itu, saya hanya merasakan Mak sudah mula putus asa dan itu buat saya kecewa.

Sehingga kini, air mata pasti bergenang dan menitis. Sayu pandangan mata Mak pada hari-hari terakhir beliau kekal dalam ingatan. Saya cuma berharap Mak tahu yang saya sayangkan dia, malah dalam dunia ini, Mak adalah orang yang paling saya sayang. Saya juga berharap Mak maafkan atas segala kelemahan dan dosa saya sepanjang kami hidup bersama.

Al-Fatihah untuk Hajah Zairiyah Haji Kasim. Semoga Mak ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Semoga terlepas daripada seksa kubur dan azab api neraka. Semoga dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus dan semoga kami dapat berkumpul di sana kelak. Amin.

Kepada yang masih ada ibu, hargailah ibu kita. Walaupun kita sudah bekeluarga, ada suami, ada anak, jangan sesekali mengabaikan ibu kita. Walaupun kita tidak seiringan pendapat, jangan sesekali memencilkan ibu kita. Baik ataupun buruk, dia ibu yang melahirkan kita. Jangan menyesal di kemudian hari.

Kepada yang sudah tiada ibu, mari kita sama-sama mendoakan ibu kita supaya sentiasa dalam perlindungan Ilahi. Al-Fatihah, Yasin dan tahlil adalah pengubat rindu seorang anak. Semoga kita tidak lupa meluahkan kerinduan kita melalui amalan kita. Insya Allah....

Sekarang saya perlu meneruskan hidup. Faktor utama saya berhenti kerja sudah tiada. Namun, ada faktor lain pula yang insya Allah akan muncul ke dunia pada penghujung bulan Ogos ini. Sebab itu saya tersepit antara mahu kembali makan gaji ataupun mampu bekerja sendiri dari rumah. Dan sekarang, saya dalam usaha mencuba bekerja dari rumah. Saya berharap percubaan saya ini akan membuahkan hasil.

Setiap daripada kita mempunyai alasan tersendiri mengapa kita mahu apa yang kita mahu. Walaupun sebabnya berbeza, tetapi sekiranya kemahuan kita sama, marilah sertai saya dan bantu saya juga. :)

Caranya mudah sahaja. Beli e-book daripada saya di ADALAH RUMAH BUKU ONLINE ataupun sertai kelas asas blog. 

Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. 


Marilah kita sama-sama mengejar pelangi!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...