Sunday, 27 October 2013

20 Sebab Manuskrip Ditolak (Bahagian 2)

Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Sambungan Bahagian 1

6. Pasaran terhad.
Manuskrip yang bagus namun terhad untuk bidang tertentu yang mana kelompok pembaca kecil dan tidak sesuai diterbitkan di pasaran runcit.

7. Penulis tiada kredibilti.
Buku dalam bidang tertentu ditulis oleh penulis yang diragui kredibiliti dan kepakarannya untuk 'berhujah' dalam bidang itu.

8. Tidak mengenali sasaran pembaca.
Tema, bahasa dan jalan cerita yang tidak sesuai untuk peringkat umur pembaca yang disasarkan. Manuskrip ditulis tanpa sasaran pembaca yang tertentu (tidak jelas).

9. Ketebalan manuskrip tidak menepati kriteria penerbit.
Manuskrip terlalu panjang ataupun terlalu pendek.

10. Tiada 'hook' atau 'cangkuk'.
Pembukaan permulaan manuskrip (sama fiksyen mahupun non-fiksyen) yang mudah dilupakan, tidak menarik, dan gagal 'mengikat' perhatian pembaca untuk terus membaca.

11. Manuskrip tidak bersih.
Struktur ayat tunggang-langgang. Terlalu banyak kesalahan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca sehingga mengganggu pembacaan.

12. Tiada rujukan dan kajian/fakta yang menyokong penulisan.
Tulisan non-fiksyen yang terlalu bersifat pandangan peribadi tanpa sokongan fakta dan sukar diaplikasi oleh pembaca.

13. Syok sendiri.
Imaginasi yang melampau. Kisah fiksyen yang terlalu ideal dan tidak realistik sehingga tidak dapat diterima oleh logik akal pembaca.

14. Ganjaran untuk pembaca tidak jelas.
Manuskrip berpotensi besar dianggap pembaca sebagai pelaburan yang sia-sia. Apa yang pembaca dapat dengan mengeluarkan duit dan masa untuk membaca satu-satu buku lebih utama berbanding apa yang penulis suka dan mahu tulis.

15. Lambakan fakta dalam manuskrip fiksyen.
Terlalu banyak ilmu yang mahu dikongsi tetapi tidak diolah dengan baik; membuatkan pembaca merasakan seperti membaca 'buku teks'.

16. Masalah plot untuk manuskrip fiksyen.
Plot dan subplot cerita yang terlalu biasa (klise) dan hambar; perjalanan cerita mendatar. Tiada unsur saspens dalam cerita yang membuatkan pembaca tertanya-tanya dan mahu terus membaca sehingga ke muka surat terakhir untuk mendapatkan jawapan. Tiada klimaks.

17. Masalah olahan.
Susunan ayat tidak menarik, meleret-leret, berbelit-belit. Semua perkara ditulis satu-satu, penerangan terlalu terperinci; lebih elok diceritakan melalui tindakan watak (show don't tell).
Naratif terlalu panjang ataupun dialog yang tidak berfungsi, membosankan dan menyebabkan pergerakan cerita menjadi perlahan.
Selepas suku ataupun separuh dibaca, pembaca sudah melangkau ke halaman terakhir ataupun menutup terus buku.

18. Masalah watak dan pembangunan watak.
Karakter tidak jelas, tidak berbeza antara satu sama lain, dan tiada perubahan pada karakter sepanjang cerita.
Lemah, dan tidak dikembangkan dengan baik. Watak protagonis terlalu sempurna. Watak antagonis tidak menonjol dan meninggalkan kesan.

19. Masalah konflik dalam cerita.
Konflik muncul lambat dalam cerita, tidak kuat dan menyakinkan. Tidak cukup konflik.

20. Penutup yang tidak meyakinkan.
Tidak logik, menghampakan, ataupun ditulis dengan tergesa-gesa.


Selamat mengejar pelangi.


p/s: PM saya di FB Mazlia Murat untuk menyertai kelas online asas blog sebagai persediaan menjadi penulis.

Wednesday, 23 October 2013

20 Ciri Penulis Yang Disukai Penerbit (Bahagian 1)


Teks oleh: Mazlia Murat
Sumber gambar: Google



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Penerbit dalam konteks ini boleh juga dikatakan wakil penerbit yang berurusan dengan penulis seperti editor, pegawai pemasaran, eksekutif jualan, artis grafik, dan sebagainya.

1. Penulis yang mempunyai nilai RM; tokoh dalam bidang tertentu, terkenal dan mempunyai ramai pengikut yang mana ini adalah bonus untuk lonjakan jualan.

2. Penulis baru yang punya potensi untuk menjadi penulis best seller; tulisan berkualiti dan menepati kehendak pasaran.

3. Merendah diri, mudah apabila berurusan, menggunakan bahasa yang sopan apabila berkomunikasi, dan menghormati wakil penerbit walaupun lebih muda.

4. Menjaga kualiti penulisan; ayat yang tersusun, ejaan betul, tatabahasa betul. Kesalahan pada kadar minimum.

5. Profesional dan bijak mengawal emosi. Tahu membezakan urusan rasmi dan peribadi sekiranya mengenali wakil penerbit secara peribadi.

6. Berfikiran positif dan terbuka apabila menerima komen dan kritikan editor untuk tujuan penambahbaikan manuskrip.

7. Berbincang dengan baik apabila ada percanggahan pendapat tentang manuskrip.

8. Sudi belajar dan meningkatkan kualiti manuskrip; manuskrip kedua lebih baik daripada yang pertama dan seterusnya. Contohnya kesilapan ejaan dan tanda baca yang dibetulkan oleh editor dalam manuskrip pertama tidak diulang dalam manuskrip kedua.

9. Tidak hipokrit dan tidak 'cakap belakang'; memburuk-burukkan penerbit ataupun wakil penerbit, apatah lagi di dalam laman sosial.

10. Bersemuka dan berterus terang dengan editor sekiranya tidak berpuas hati dalam proses kerjasama dan bukannya secara diam-diam terus menghantar e-mel aduan kepada bos besar si editor.

Bahagian 2 akan menyusul.

Selamat mengejar pelangi.

20 Sebab Manuskrip Ditolak (Bahagian 1)


Teks oleh: Mazlia Murat

Sumber gambar: Google

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.




1. Dihantar kepada penerbit yang salah.
Setiap rumah penerbitan mempunyai konsep penerbitan sendiri. Apabila manuskrip buku agama dihantar kepada penerbit yang hanya menerbitkan novel, pastinya ditolak. Begitu juga apabila manuskrip novel cinta dihantar kepada penerbit buku kanak-kanak.
Bukankah sia-sia kita bersedih ditolak kerana kesilapan begini?

2. Manuskrip yang baik tetapi tidak mengikut trend semasa.
Sesetengah buku dijual ikut musim. Apabila musim sudah berlalu, kemungkinan untuk diterbitkan dan mencatat jualan yang tinggi sangat rendah.
Buku berkaitan menjana pendapatan memang mendapat sambutan sepanjang masa. Namun, perlu dilihat kandungannya. Buku tentang penternakan lintah, ikan keli dan sebagainya pernah mendapat sambutan hangat tetapi kini sudah suam-suam kuku. Mungkin buku buat duit menggunakan laman sosial akan mendapat sambutan melihatkan trend sekarang.

3.  Sama ada manuskrip fiksyen mahupun non-fiksyen, ia perlulah asli dan bukan karya ciplak.
Manuksrip non-fiksyen biasanya ditulis dengan merujuk kepada buku-buku lain. Sumber rujukan perlu disertakan. Merujuk bukan bermaksud menyalin bulat-bulat hampir keseluruhan tulisan orang lain lalu dihantar kepada penerbit untuk diterbitkan sebagai tulisan kita.

4. Sudah ada banyak dalam pasaran.
Buku dengan tema yang sama, sama ada fiksyen mahupun non-fiksyen yang sudah ada banyak dalam pasaran menyebabkan pasaran tepu. Penulis perlu cari nilai tambah bagi meyakinkan penerbit manuskrip yang ditulis mampu memberi kelainan.

5. Tidak syariah compliant, menyentuh isu sensitif seperti perkauman, menghina agama, dan mengandungi isu politik yang keterlaluan.


Bahagian 2 akan menyusul....


Selamat mengejar pelangi.


Monday, 21 October 2013

Curi Masa

 Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Saya sebenarnya kurang gemar menaip entri menggunakan telefon. Namun kerana anak kecil yang asyik merengek; tidak boleh saya jauh, maka sudah beberapa entri ditaip sambil susukan bayi ataupun menunggu bayi lelap. Berpinar mata. Silap hari bulan, makin rabun.

Hakikatnya, mempunyai anak kecil,  belum pun dua bulan, saya perlahan-lahan belajar mencuri masa melakukan kerja lain. Pastinya ramai WAHM di luar sana punya banyak pengalaman.

Setiap daripada kita punya pengetahuan dan pengalaman berbeza. Kongsikan di blog, semoga bermanfaat kepada orang lain. Mungkin juga ia jadi bekalan kita untuk bertemu dengan-Nya kelak.

Sertai kelas asas blog untuk mempelajari teknik penulisan blog berpengaruh. Blog adalah medium perkongsian yang baik. Juga medium menjana pendapatan kalau mahu. Hubungi saya untuk maklumat lanjut.

Mari mengejar pelangi.


Tip 4 Penulisan Karya Fiksyen

Teks oleh: Mazlia Murat

Tip 4: Menambah Ketebalan Manuskrip

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Beberapa kali saya ditanya bagaimana mahu memanjangkan manuscript; terutama novel dewasa.

Sebenarnya saya bukan orang yang tepat untuk memberikan jawapan kerana sebagai penulis saya sendiri menghadapi masalah menulis novel tebal. Tiga novel saya diterbitkan oleh Alaf 21, ketiga-tiga juga diminta oleh editor supaya ditambah ketebalan selepas penilaian kali pertama.

Namun saya boleh berkongsi sedikit pengalaman menulis dan menilai manuskrip penulis.

1. Rancang penulisan.
Kenal pasti watak yang mahu ditulis, karakter dan latar belakang dengan jelas.

Apabila penulis sudah jelas dengan watak yang mahu ditulis, perkembangan watak akan lebih tersusun sekali gus memudahkan penulisan.

2. Watak yang ramai dan berfungsi.
Lebih ramai watak lebih banyak subplot. Lebih banyak konflik kecil milik setiap watak dapat diwujudkan.

Namun hadkan watak supaya tidak terlalu banyak dan hanya jadi tempelan. Pastikan watak tidak tenggelam timbul. Ada pada awal cerita, hilang tanpa dikesan pada pertengahan cerita dan tiba-tiba muncul pada akhir cerita tanpa nilai tambah pada cerita.

3. Dialog.
Banyakkan dialog dalam penulisan tetapi seimbangkan dengan naratif. Apabila kekeringan idea, ulang baca scene yang sudah ditulis. Tambah dialog yang sesuai. Pastikan penambahan itu tidak menjadikan scene meleret dan menbosankan sebaliknya lebih dramatik dan menarik.

Dialog yang baik adalah dialog yang mempunyai input, menggerakkan cerita. Dialog tanpa nilai tambah hanya melambatkan pergerakan cerita dan menampakkan penulis tiada idea, hanya mahu menebalkan muka surat.

4. Scene.
Penambahan scene sangat membantu. Kadangkala apabila kita baca semula, antara dua scene boleh diselitkan scene lain. Ataupun ada scene boleh dipanjangkan. Penambahan scene seiring dengan penambahan konflik dan dialog.

5. Tempoh cerita yang panjang.
Cerita yang mempunyai time frame yang panjang akan mempunyai banyak plot dan subplot. Orang yang sudah hidup 25 tahun pasti sudah melalui lebih banyak perkara berbanding yang baru hidup 10 tahun. Begitulah juga dengan cerita.

Watak A berusia 23 tahun. Cerita yang ditulis berkaitan kehidupannya sebagai pelajar kolej. Flashback tentang kehidupan semasa kanak-kanak akan membantu memanjangkan cerita tetapi, pastikan ada kaitan dengan jalan cerita.

Selamat mengejar pelangi.




Sunday, 20 October 2013

1 Manuskrip Berapa Penerbit?


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Seorang penulis sudah menyiapkan tiga manuskrip. Beliau bercadang menghantar kepada tiga penerbit berbeza. Satu manuskrip satu penerbit. Alasan beliau, itu kali pertama buku beliau akan diterbitkan. Beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana penerbit. Jadi beliau mahu menimba pengalaman berurusan dengan penerbit berbeza. Lagipun beliau mahu buku cepat diterbitkan.

Adakah betul tindakan yang beliau mahu ambil?

Terpulang. Itu hak beliau.

Namun, beliau juga ada pilihan untuk berbincang dengan satu penerbit tentang ketiga-tiga manuskrip itu. Katakan ketiga-tiga novel dewasa. Maka kalau diterbitkan oleh penerbit yang sama secara berturutan, boleh dipromosi secara pakej.

Begitu juga kalau ia manuskrip non-fiksyen yang saling berkaitan. Lebih baik diterbitkan di bawah satu bumbung.

Bagaimana pula apabila satu manuskrip yang sama dihantar serentak kepada dua rumah penerbitan berbeza?

Saya pernah menerima e-mel. Satu e-mel yang dilampirkan satu manuskrip dihantar kepada dua alamat e-mel yang mana mewakili dua rumah penerbitan. Malah saya boleh tahu penerbit yang satu lagi itu siapa.

Wajarkah tindakan itu?

Mungkin beliau cuma mencuba nasib. Siapa yang sudi, dia terbitkan.

Tindakan ini menyalahi etika seorang penulis. Hantar pada satu penerbit pada satu-satu masa. Sekiranya tidak diterima, barulah dihantar kepada penerbit yang lain.

Jangan tamak, jangan risaukan masa yang terbazir. Dibimbangi diri sendiri yang rugi.  Katakan wakil penerbit A mengabaikan e-mel kita dengan anggapan penerbit B mungkin sudah menerima manuskrip itu. Sebaliknya penerbit B pun beranggapan yang sama. Dua-dua pun mengabaikan manuskrip kita. Siapa yang rugi?

Ada juga situasi dua penerbit memproses manuskrip yang sama kerana ketamakan penulis yang tidak mahu berterus terang. Kononnya siapa penerbit yang cepat proses, maka penerbit itu yang akan dipilih.

Industri penerbitan di negara ini kecil sahaja. Apatah lagi dengan kewujudan laman sosial. Semua pun berkawan. Imej yang tercalar susah mahu dipulihkan kembali. Kepercayaan yang hilang sukar dikembalikan.

Sabar. Pasti ada rezeki untuk kita apabila kita mengikut jalan yang betul.

Marilah kita sama-sama mengejar pelangi .

Saturday, 19 October 2013

Perkataan Bombastik


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Apabila menulis buku untuk kanak-kanak dan remaja memang digalakkan memperkenalkan perkataan yang jarang diguna ataupun yang mungkin kanak-kanak tidak tahu. Lebih elok diterangkan sekali maksud. Secara tidak langsung kita menambah kosa kata pembaca.

Namun pastikan kita menggunakan perkataan itu dengan betul. Elakkan menggunakan perkataan bombastik tetapi pada tempat yang salah; tidak sesuai dan salah maksud. Elakkan juga terlalu banyak sehingga pembaca tidak faham ataupun rasa letih membaca tulisan kita.

Perkataan yang ringkas dan biasa tetap mampu menghasilkan ayat yang menarik minat pembaca apabila kita pandai mengolah.

Contoh ayat dan perkataan akan menyusul....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...