Thursday, 26 December 2013

CH: Rebut Kesempatan Yang Ada

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Apabila bergelar ibu, rutin hidup memang berubah. Kadangkala memang rasa lelah. Sekejap sahaja sudah subuh, tup tup azan zuhur, asar, maghrib, dan isyak kedengaran. Dan proses itu berterusan. Tidak dinafikan memang rasa stres. Bukan stres sebab dengar azan, ya. Stres sebab masa terasa berlalu dengan pantas dan seperti tidak ada ruang untuk berehat.

Namun, fikir semula, syukur saya dapat berada di samping bayi. Syukur juga saya dapat menyusukan bayi. Alhamdulillah setakat ini secara eksklusif. Mengenangkan hari-hari pertama, waktu anak saya menangis kerana kelaparan; susu saya lambat keluar, memang buat saya rasa sebak. Rasa syukur itu menghilangkan juga rasa keletihan kerana anak asyik mahu menyusu.

Okey, panjang pendahuluan saya. Sebenarnya saya bukan mahu tulis tentang anak saya, ataupun susu ibu. Apa yang saya ingin katakan adalah, selepas bergelar ibu, ruang masa untuk saya menulis terbatas. Saya curi-curi buka laptop ketika anak tidur. Sambil susukan, saya fikiran saya ligat berputar memikirkan idea penulisan. Alhamdulillah, selepas dua tahun tidak menulis, sudah dapat idea untuk satu cerita yang tertangguh dahulu. Namun, ruang menulis benar-benar terhad. Ada sahaja perkara lain yang menuntut komitmen saya untuk didahulukan.

Jadi, kepada yang masih belum ada anak, yang masih bujang, gunakan ksesempatan yang ada. Menulislah. Korbankan sedikit masa menonton televisyen, ataupun membaca blog hiburan dan menonton you tube, mahupun bermalasan di dalam comforter.

Jangan nanti jadi seperti saya, terkenang-kenang masa yang dibazirkan itu.


Selamat mengejar pelangi!

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Monday, 16 December 2013

TP: Bandingkan Tulisan Kita Dengan Hasil Akhir


Teks: Mazlia Murat


Tip penulisan hari ini khusus untuk yang sudah pun bergelar penulis; buku sudah diterbitkan.

Kita selalu membaca tip mengatakan, banyakkan membaca, kita belajar gaya olahan melalui pembacaan. Lebih banyak yang kita baca daripada penulis berbeza lebih banyak yang kita pelajari.


Namun, ada satu lagi kaedah untuk meningkatkan gaya olahan kita. Belajar daripada naskhah yang kita sendiri tulis.

Baca manuskrip asal yang kita serahkan kepada editor dan baca pula hasil; buku yang sudah diterbitkan. Lihat ada ataupun tidak perubahan sama ada minor mahupun major. Sama ada ayat kita dicantas, diubah, dipendekkan, dan sebagainya. Semak juga sekiranya ada perubahan susunan bab/babak, dan sebagainya.

Penulis akan diberi manuskrip yang sudah disunting dan disusun atur untuk dipruf sebelum dihantar ke pencetak. Semasa kita semak, jangan semata-mata cari kesalahan ejaan dan sebagainya. Lihat juga hasil akhir itu. Adakah ia lebih baik? Kalau lebih baik, apa yang berbeza? Adakah ayat kita menjadi lebih mudah dan sedap dibaca? Adakah susunan cerita menjadi lebih teratur?

Kalau lebih teruk, itu isu lain ya! 

Buat perbandingan, belajar sesuatu daripada situ.


Selamat mengejar pelangi.

____________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Saturday, 14 December 2013

Mengapa Koma dan Bukannya Noktah? (Tanda Baca dalam Dialog)

Teks: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Entri berkenaan sistem tanda baca dalam dialog telah membawa kepada persoalan lain oleh pembaca.


Mengapa perlu menggunakan koma dan bukannya noktah dalam ayat di bawah?
“Maafkan saya.” Kata Melly. (Salah)
“Maafkan saya,” kata Melly. (Betul)
Jawapannya adalah kerana ia adalah satu ayat. Frasa “kata Melly” tidak boleh berdiri sendiri, tanpa dialog sebelumnya.

Situasi ini samalah konsepnya dengan:
Melly berkata, “Maafkan saya.”
“Baiklah, saya maafkan awak,” jawab Lolly.
“Awak sudah makan?” dia bertanya.
Balas saya, “Belum. Awak mahu belanja saya makan?”

Contoh yang berbeza, yang mana ayat kedua boleh berdiri sendiri, tanpa dialog sebelumnya, menjadikannya sebagai dua ayat berbeza.
“Saya benci awak.” Melly memalingkan wajahnya.
“Saya pergi dahulu.” Naimah bergegas meninggalkan pejabat.
“Adi, saya benci awak sampai mati!” Lily membaling cincin pertunangannya ke dalam tasik di hadapannya. 

Penerangan ini mengikut pemahaman adan ajaran guru saya, supaya kita mudah faham. Maafkan saya sekiranya orang bahasa mempunyai penerangan yang lebih konkrit dan mengikut hukum tatabahasa.

Selamat mengejar pelangi.


____________


PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Friday, 13 December 2013

Tanda Baca dan Tanda Petik Dalam Dialog

Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google




“Saya minta maaf.” Kata Melly. (Salah)
“Saya minta maaf,” kata Melly. (Betul)

Ahmad menjerit, “wah! Seronoknya.” (Salah)
Ahmad menjerit, “Wah, seronoknya!” (Betul)

“Apa maksud awak??!!” (Salah)
“Apa maksud awak?” (Betul)

“Saya suka makan nasi lemak”. (Salah)
“Saya suka makan nasi lemak.” (Betul)

“Saya mahu ikut awak,” kata Ahmad. “Tetapi saya perlu pulang awal.” (Salah)
“Saya mahu ikut awak,” kata Ahmad, “tetapi saya perlu pulang awal.” (Betul)

“Saya suka makan nasi lemak,” beritahu Bell, “saya boleh makan nasi lemak setiap hari tanpa rasa jemu.” (Salah)
“Saya suka makan nasi lemak,” beritahu Bell. “Saya boleh makan nasi lemak setiap hari tanpa rasa jemu.”  (Betul)



Selamat menulis.

____________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Friday, 6 December 2013

CM: Ajaibnya Sedekah

Teks: Mazlia Murat

Sebelum ini, saya merancang mahu menulis kisah motivasi dalam bentuk cerita pendek dan mahu menghantar kepada penerbit dengan harapan dapat diterbitkan. Walau bagaimanapun, rancangan saya terhenti di pertengahan jalan kerana kekurangan idea. Semoga selepas ini saya dapat menulis kembali.
_______
“Awak tidak rasa sayang? Bukan mudah mencari wang, kemudian senang-senang orang lain mahu minta.” Sengaja saya menanyakan soalan itu usai Rania memberikan wang RM10 kepada seorang budak yang datang menjual kalendar. Mahu menduga apa yang ada dalam fikiran Rania.
Menggeleng Rania apabila ditanya begitu. Dalam senyum, dia menyoal kembali, “Mengapa pula saya perlu rasa sayang? Duit itu bukan milik saya. Ia hanya dipinjamkan kepada saya oleh Pemiliknya. Saya sangat percaya pada ajaibnya sedekah. Lagipun, ia umpama terapi untuk saya. Dengan memberi, saya rasa gembira. Bukankah tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima?”
“Apa maksud awak dengan ajaibnya bersedekah?” Saya merenung wajah Rania yang terus manis dengan senyuman. “Mungkinkah ada sesuatu pernah berlaku?” soal saya kemudiannya.
Pantas Rania mengangguk. “Ya, ada sesuatu berlaku. Sesuatu yang menyebabkan saya sangat percaya yang dengan memberi wang yang kita ada kepada orang lain tidak akan mengurangkan wang yang kita miliki, jauh sekali membuatkan harta kita berkurang ataupun kita jatuh miskin.” Tenang dia menuturkan kata-kata itu. Tergambar keyakinan yang mendalam pada kepercayaannya itu.
Lalu, saya terus mendesak, tidak sabar mahu mendengar kisahnya. “Boleh kongsikan dengan saya?”
Rania tersenyum lagi. “Sebenarnya kisah yang berlaku pada saya ini, kisah biasa. Mungkin ramai di luar sana yang pernah melalui perkara yang sama. Ia berlaku semasa saya tamat tingkatan lima. Saya datang daripada keluarga yang susah. Wang adalah benda berharga kepada saya. Waktu itu saya ke rumah bapa saudara saya. Tinggal di sana selama sebulan kerana membantu menjaga sepupu saya. Pembantu rumah mereka bercuti sempena Ramadan yang mulia.”
“Apa yang berlaku?”
“Saya ke rumah mereka dengan bekalan RM20. Dua keping not RM10. Di rumah itu, saya tidak perlu berbelanja, jadi tiada apa yang merisaukan saya selama dua minggu itu. Sehinggalah suatu hari….” Rania berhenti seketika. Ah, sengaja mahu menimbulkan unsur saspens. 
“Mengapa berhenti bercerita? Awak sengaja buat saya berdebar ya?” Cebikan untuk tindakan yang disengajakan itu.
Reaksi saya itu membuatkan Rania ketawa kecil. “Bukankah sudah saya katakan, kisah saya biasa-biasa sahaja. Jadi, penceritaan saya perlu nampak lebih dramatik supaya dapat menarik perhatian orang.” Tawa kecilnya berterusan. Ah, Rania si pemilik wajah tenang dan ceria.
Di hujung sisa tawa, dia menyambung bicaranya, “Pada hari itu, ada tangan yang membunyikan loceng lalu diikuti suara memberi salam. Pada mulanya saya hanya menjengah dari celah langsir. Seorang lelaki. Salam yang diberi diulang. Walaupun serba salah, saya memunculkan diri. Rupa-rupaya, lelaki itu datang meminta derma. Saya yang serba salah, minta dia menunggu sebentar. Mahu menderma RM1 mahupun RM5, saya hanya punya dua keping not RM10. Lalu saya ambil sekeping not RM10, diserahkan kepada lelaki itu. Maka tinggallah saya dengan sekeping not RM10.”
“Awak tidak perlu berbelanja untuk berbuka puasa, bukan? Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan.”
Rania tersenyum. “Pada mulanya saya juga berfikiran yang sama. Namun, kejadian keesokan harinya buat saya risau.”
“Kejadian apa?”
“Esoknya, lebih kurang waktu yang sama, loceng rumah sekali lagi berbunyi. Diikuti suara lelaki memberi salam.”
Saya semakin tertarik. “Lelaki yang sama?”
Rania ketawa lalu menggeleng. “Oh, tidak. Lelaki lain tetapi dengan hajat yang sama. Meminta derma.”
Dalam fikiran, saya cuba meneka tindakan Rania serentak soalan yang diajukan, “Lalu, apa yang awak lakukan?”
“Saya minta dia tunggu sebentar, saya ambil kepingan terakhir not RM10 yang saya ada, lalu saya berikan kepadanya. Hanya Tuhan yang tahu betapa resah dan gelisahnya saya ketika itu.”
“Awak berat hati kerana awak mahu guna duit itu?”
Rania menggeleng. Saya resah kerana saya sudah tiada wang lain. Bagaimana sekiranya esok, ataupun lusa, datang lagi orang lain meminta derma? Apa yang mahu saya katakan? Sekiranya saya katakan tiada duit, pasti hati yang meminta akan hampa. Lagipun, percayakan mereka pada kata-kata saya. Rumah pak cik saya besar, tersergam indah. Pelik pula kata tiada duit.”
“Lantas, apa yang awak lakukan? Awak beritahu kepada pak cik awak? Awak minta duit daripada pak cik awak?”
Rania menggeleng. “Malu saya mahu mengakui yang saya tiada duit. Walaupun mungkin dia sudah dapat menjangkakannya, maklumlah seperti yang saya katakan, saya bukan orang kaya. Namun, saya tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan.”
Lalu saya mengulang tanya, “Jadi, apa yang awak buat?”
“Berdoa. Hanya itu yang mampu saya lakukan. Setiap kali saya dihambat resah memikirkan perkara itu, saya berdoa Tuhan permudahkan hari saya. Semoga tiada lagi yang datang meminta derma kerana saya sudah tiada wang mahu diberikan.”
“Bagaimana hari berikutnya?”
“Syukur. Tuhan mendengar doa saya. Tiada lagi yang datang meminta derma sehinggalah….”
“Sehinggalah… apa?”
“Beberapa hari kemudian, loceng rumah sekali lagi dibunyikan diikuti suara salam.”
“Orang mahu minta derma?”
Rania mengangguk. “Seorang lagi lelaki datang membawa hajat yang sama seperti dua orang lelaki terdahulu.”
“Apa yang awak lakukan?”
Rania tersenyum. “Sesungguhnya saya terkilan kerana saya sudah tiada wang yang mahu didermakan, namun syukur kerana hari itu hujung minggu. Ibu saudara dan adik sepupu saya ada di rumah. Saya beritahunya ada orang datang minta derma. Lalu ibu saudara menyuruh adik sepupu saya mengambil wang lalu didermakan kepada lelaki itu. Kata ibu saudara saya, manalah tahu orang itu sebenarnya malaikat yang dihantar untuk menguji manusia.”
“Apa awak katakan kepada ibu saudara awak?”
Rania menggeleng. “Tiada apa-apa. Saya hanya berdiam.”
“Awak tidak ceritakan kepadanya apa yang berlaku sebelum itu?”
Rania menggeleng lagi. “Saya malu mahu mengaku saya sudah tiada duit mahu didermakan dan bukannya saya tidak mahu derma.”
Suasana sepi seketika.
“Cerita belum tamat.” Suara Rania kembali bergetar, memecah sunyi.
“Ada lagi lelaki lain datang?”
Rania menggeleng dalam tawa kecil. “Bukan begitu. Kisah peminta derma sudah tamat.”
“Pelik, tadi awak kata belum tamat?”
Rania tersenyum lagi. Dia memang suka tersenyum. “Bukankah cerita saya tadi hanya berkisar sedekah? Belum lagi masuk bab ajaibnya sedekah.”
“Oh, ya. Jadi, apa yang ajaibnya sedekah?”
“Sehari sebelum dihantar pulang ke kampung, bapa saudara saya menyerahkan RM200 kepada saya. Katanya itu upah saya membantu menemankan adik sepupu saya. Pada saat itulah, saya merasakan betapa Tuhan menjanjikan sesuatu yang elok untuk tangan yang memberi. Duit saya yang saya dapat adalah sepuluh kali ganda daripada yang saya hulurkan. Bukankah itu satu keajaiban dengan izin Tuhan?”
“Sebab itu sehingga sekarang awak suka menjadi tangan yang menghulur?”
Rania mengangguk. “Saya sangat percaya rezeki orang yang suka memberi tidak akan putus. Tuhan yang maha pemurah pasti menggantikannya, sama ada dengan wang lain mahupun melalui nikmat lain. Percayalah, apabila kita berusaha mengikhlaskan diri menghulurkan sedekah, derma ataupun hadiah, rezeki kita, walaupun tidak mewah, dengan izinkan Tuhan, tidak akan putus.”
“Bagaimana pula dengan peminta sedekah yang didalangi sindiket?”
Rania tersenyum. “Terus terang saya katakan, saya tidak mahu memikirkan perkara itu. Memang ada masa saya serba salah, kadangkala saya tidak beri pun kepada budak-budak ataupun orang yang meminta sedekah kerana merasakan mereka ini diarahkan oleh sindiket, yang mengumpul kekayaan adalah sindiket. Namun, kerap kali juga saya berasa bersalah kerana menghampakan mereka. Jadi, saya memutuskan untuk bersangka baik. Sekiranya benar mereka ini dihantar sindiket, maka saya mendoakan supaya sedekah yang saya beri itu akan membantu memudahkan hari mereka. Semoga mereka tidak dipukul ataupun didera kerana tidak membawa pulang sebarang hasil.”
“Namun, itu hanya pendirian saya, tidaklah pula saya kata tindakan saya betul. Saya hanya mampu berdoa dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menilai. Semoga niat dan perbuatan saya dinilai sebagai amal yang baik.”

Saya tersenyum mendengar kata-kata Rania. ‘Amin’, dalam hati saya berbisik.

_______



PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Thursday, 5 December 2013

PPN: Kategori Penulis

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Beberapa tahun menilai manuskrip yang dihantar oleh penulis daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, saya mendapati penulis ini terbahagi kepada beberapa kategori.

1. Penulis yang mempunyai banyak idea dan mempunyai gaya olahan yang menarik.
2. Penulis yang mempunyai banyak idea tetapi, mempunyai gaya olahan yang kurang ataupun tidak menarik.
3. Penulis yang tidak mempunyai banyak idea tetapi, mempunyai gaya olahan yang menarik.

Saya juga membuat kesimpulan ada sesetengah penulis memang dilahirkan dengan bakat menulis, namun ada juga yang berusaha 'mendapatkan' bakat menulis.

Untuk penulis kategori 1, tahniah. Dengan senang hati editor akan menguruskan manuskrip itu. Tetapi sertakanlah sikap yang elok supaya semakin bersemangat editor berurusan dengan kita dan memproses manuskrip kita.

Untuk penulis kategori 2 dan 3, jangan bimbang. Kelemahan ini boleh diatasi. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Penulis yang mempunyai banyak idea, tetapi kurang pandai mengolah, jawapannya mudah. Sertai kelas penulisan saya. :) (Sempat lagi promo1).

Okey, serius, penyelesaian kepada masalah ini adalah, banyakkan membaca terutama genre yang ditulis daripada banyak penulis. Dengan banyak membaca, kita akan 'melihat' gaya olahan yang berbeza. Apabila bertemu frasa/ayat yang menarik, tulis semula dalam buku nota. Ketika mahu menulis, ulang baca, ubah dan jadikan ayat itu lebih menarik. Ini juga terguna pakai apabila kita mendengar dialog yang menarik semasa menonton drama, mahupun filem.

Untuk yang tidak banyak idea, jawapannya membaca, memerhati sekeliling, menonton. Idea boleh diperoleh melalui pemerhatian kita kepada bahan bacaan, bahan yang ditonton, mahupun perkara yang terjadi di sekeliling kita. Catatkan perkara-perkara menarik dalam buku nota (ataupun telefon/laptop), ulang baca idea itu dan tapis.

Idea ada masanya datang bersama pengalaman dan pengetahuan. Kadangkala kuasa kita untuk mendapatkan satu-satu pengalaman terhad atas sebab-sebab tertentu, contohnya usia dan wang. Penulis muda pengalamannya pasti sedikit berbanding penulis yang lebih usianya. Penulis yang kaya-raya dan sering bercuti-cuti tentu lebih luas skop penceritaan yang dapat diketengahkan berbanding kita yang tidak pernah ke luar negara.

Jadi, penyelesaiannya adalah teknologi yang ada. Kita 'mengembara' melalui Internet. Baca dan tonton. Nanti apabila sudah ada royalti, kita boleh ke Korea contohnya untuk merasai sendiri pengalaman dalam drama K-Pop pujaan ramai.

Kesimpulannya, kita boleh mendapatkan bakat menulis dengan cara belajar teknik penulisan, membaca dan berlatih menulis.
Katakan kita sudah berusaha dengan cara yang betul, tetap tidak berjaya, bagaimana? Mungkin penulisan bukan tempat kita. Namun, jangan sesekali mengalah sebelum berusaha denagn mengikut langkah yang betul.


Selamat mengejar pelangi.


_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Wednesday, 4 December 2013

CM: Berasa cukup apabila sedikit, bersyukur apabila banyak.


Teks: Mazlia Murat

Sebelum ini, saya merancang mahu menulis kisah motivasi dalam bentuk cerita pendek dan mahu menghantar kepada penerbit dengan harapan dapat diterbitkan. Walau bagaimanapun, rancangan saya terhenti di pertengahan jalan kerana kekurangan idea. Semoga selepas ini saya dapat menulis kembali.
_______

“Sejak kita duduk di sini, rasanya sudah lebih lima kali awak mengeluh. Awak ada masalah? Muka pun masam sahaja?” tanya Zahra, usai dia menikmati ABC. Kebetulan hari ini adalah hari terakhir Zahra bekerja sebelum bercuti tanpa gaji selama enam bulan. Kami minum petang bersama.
“Kadangkala saya terfikir, mengapa orang kaya berkahwin dengan orang kaya juga? Hujung minggu lalu, saya menghadiri majlis perkahwinan rakan saya. Dia doktor, suaminya pula jurutera. Masing-masing daripada keluarga kaya-raya.” Saya meluahkan perkara yang mengganggu fikiran saya.
Tersenyum Zahra mendengar keluhan saya. “Memanglah. Sebab orang kaya bergaul dengan orang kaya.”
“Betul kata awak. Sudah namanya orang kaya, pergi ke tempat perkumpulan orang kaya, majlis sana sini, memanglah potensi untuk bertemu jodoh dengan orang kaya juga.”
“Apa kaitan perkara ini dengan keluhan awak. Tolong jangan kata awak mengeluh kerana tidak dapat berkahwin dengan orang kaya,” telah Zahra.
Nafas panjang saya hela. “Apabila bercakap soal ini, saya cemburu dengan awak. Saya fikir, awak memang banyak duit, dapat suami pun banyak duit.”
Senyuman Zahra melebar. “Bagaimana pula awak tahu saya banyak duit?”
“Sebab saya lihat awak selamba sahaja bercuti tanpa gaji, pada masa sama, masih ada duit berbelanja. Lagipun, awak juga yang kata awak ada simpanan. Bukan begitu?”
“Alhamdulillah, saya memang ada simpanan, tidaklah banyak mana, tetapi cukup untuk saya bertahan buat satu tempoh. Dan ya, alhamdulillah juga, gaji suami saya cukup untuk menampung hidup kami berdua dalam tempoh saya bercuti ini.”
Reaksi spontan, saya mengeluh. “Lihat, bukankah saya sudah kata awak dan suami awak banyak duit.”
“Penilaian setiap manusia tidak sama. Banyak di mata saya, mungkin sedikit di mata awak.”
“Maksud awak?”
“Sekiranya saya beritahu awak jumlah simpanan saya, mungkin awak akan rasa sedikit sahaja. Mungkin awak akan kata, saya fikir banyak, rupa-rupanya sedikit sahaja.” Zahra masih tersenyum manis.
Saya mengeluh. “Itu hanya alasan awak.” Entah mengapa, saya seolah-olah mahu menyalahkan Zahra si perempuan kaya; gelaran yang saya berikan kepadanya, di atas masalah kewangan yang menimpa saya dan suami.
“Pernah dengar kata-kata, berasa cukup dengan sedikit, bersyukur apabila banyak?” tanya Zahra.
Membatu. Saya tidak memberikan respons walaupun sudah dapat mengagak ke mana hala tuju percakapan Zahra. Pasti dia mahu menasihatkan supaya bersyukur dengan kurniaan Tuhan.
“Bukan soal berapa banyak kita dapat, tetapi bagaimana kita menyimpan dan membelanjakan wang kita. Juga, bagaimana kita menerima rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Sebab itulah kadangkala kita lihat orang kaya berasa tidak cukup dengan apa yang dia ada, manakala si miskin hidup bahagia dengan sedikit rezeki yang diperoleh. Nikmatnya terasa apabila kita bersyukur.”
Saya mencebik. “Cakap memang mudah, awak tidak berada di tempat saya.”
Zahra menarik nafas panjang. Menghela perlahan. Bibirnya masih kekal mengukir senyuman. Saya mahu menuduhnya, mengatakan yang senyuman itu sindiran kepada saya. Namun, tidak tahu mengapa, saya terasa keikhlasan dalam senyuman itu. Saya tidak mampu berburuk sangka kepadanya.
“Bagaimana awak begitu pasti saya tidak memahami perasaan awak?” Zahra menduga.
“Sebab duit awak banyak. Ish, bukankah saya sudah ulang banyak kali. Awak banyak duit, suami awak pun banyak duit. Lain halnya dengan saya.” Saya mula hilang sabar. Mungkin saya cuba melepaskan tekanan yang saya rasa kepadanya. Cemburu dengan kesenangan yang dia miliki.
“Setahu saya, awak datang daripada keluarga yang stabil. Ibu bapa awak orang yang berduit. Saya percaya semasa kecil, awak hidup riang tanpa masalah duit. Malah, seingat saya, awak ada beritahu punya wang simpanan yang awak sendiri tidak tahu jumlahnya, hasil tabungan ibu awak untuk awak sejak awak kecil.” Saya mengangguk. Benar, sejak kecil ibu membuka akaun untuk saya dan menabung sejumlah wang setiap bulan. Malah, sesudah dewasa pun saya pernah dibantu ayah beberapa kali apabila ada masalah kewangan.
“Awak tidak pernah tahu bagaimana rasanya tidak berduit semasa kecil. Jauh berbeza dengan kehidupan yang saya lalui. Semasa saya kecil, keluarga saya hidup susah. Jangankan udang, sotong, mahu makan ayam dan daging pun jarang sekali. Dapat makan telur sekali-sekala pun sudah bersyukur. Malah, ke sekolah berjalan kaki dan tanpa wang belanja bukan perkara asing untuk saya.” Wajah Zahra masih manis. Namun, matanya berkaca, mungkin terkenang kisah silam. Saya mula digigit rasa bersalah. Malu pun ada.
“Disebabkan kesusahan semasa kecil, saya bertekad mahu berusaha mendapatkan duit yang banyak apabila dewasa. Alhamdulillah, duit yang saya peroleh, tidaklah banyak mana, namun rezeki yang Allah kurniakan tidak pernah putus. Senang cakap begini, dugaan saya semasa kecil adalah duit, manakala dugaan awak semasa besar adalah duit. Masih mahu kata keadaan kita tidak adil? Lagipun saya lihat, awak tidaklah susah mana. Masih mampu berbelanja, malah gaya hidup awak lebih mewah berbanding saya.” Panjang lebar hujah Zahra, buat saya terdiam. Tertunduk malu.
“Setiap orang, dugaannya berbeza. Saya sudah diuji dengan masalah duit semasa kecil. Alhamdulillah, sekarang saya tidak bermasalah soal kewangan. Tidaklah mewah, namun cukup untuk saya menjalani hidup dengan baik. Namun, itu tidak bererti hidup saya mudah, ada ujian lain pula untuk saya. Awak nampak hidup saya seperti mudah kerana saya tidak bercerita masalah saya. Itu sahaja. Begitu juga dengan orang lain yang kaya-raya itu Manalah kita tahu ujian yang mereka hadapi. Kita melihat hidup mereka mewah, tetapi adakah mereka hidup bahagia?”
Saya menggigit bibir. Hilang kata-kata.
“Saya bukan mahu mengatakan masalah awak kecil, jauh sekali mahu mengatakan awak tidak bersyukur dengan apa yang awak ada. Saya cuma mahu mengatakan tidak perlu awak berasa cemburu dengan saya, kerana dugaan kita tidak sama. Masing-masing ada bahagian masing-masing.”
Saya terus membatu, memikirkan kata-kata Zahra.
“Berasa cukup apabila sedikit, bersyukur apabila banyak. Itulah rahsianya untuk kita tenang-tenang sahaja menjalani hidup.” Suara lembut Zahra mengakhiri perbualan kami petang itu.


_______



PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...