Tuesday, 31 December 2013

Bakat vs Usaha


Teks: Mazlia Murat
Foto: http://senyom.wordpress.com



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Ini entri terakhir tahun 2013. Insya Allah.

Azam tahun 2014? Hmm… Berusaha menjadi lebih baik untuk bekalan ke sana kelak. Saya mahu berkumpul dengan ibu di syurga Allah. Saya berharap saya lebih serius untuk berusaha ke arah itu.

Tajuk hari ini, sama ada ia berkait dengan azam tahun 2014 ataupun tidak, terpulang pada yang membaca.

Hari ini saya mahu menyentu soal bakat yang selalu dikaitkan dengan bidang penulisan. Juga soal rajin dan malas. Malas ini pula selalu dikaitkan dengan saya. :)

Ada orang memang dilahirkan dengan bakat menulis yang baik. Apabila kita baca ayat demi ayat, kita rasa 'sedap dan selesa'. Tidak perlu menghadiri kelas penulisan, tidak perlu berguru, tiba-tiba nah… memakau betul hasil tulisannya.

Ada pula yang apabila kita baca tulisannya, kita rasa; okey dia memang tidak ada bakat menulis. Sila berusaha melakukan perkara lain.

Garis sempadan antara berbakat dengan tidak berbakat ini, bagi saya dipisahkan oleh satu perkataan; usaha.

Kalau orang itu sudah berusaha bersungguh-sungguh (dan betul caranya), tetapi tetap tidak dapat menghasilkan manuskrip yang disukai penerbit dan pembaca, maka sahlah dia tidak berbakat. Bakatnya mungkin dalam bidang lain.

Tetapi, kalau dia belum berusaha tetapi sudah kata dia tidak berbakat, pada masa sama asyik mengulang ayat, "Bagusnya kalau saya dapat jadi penulis.", maka sahlah, dia bukan tidak berbakat, tetapi pemalas dan hanya mencari alasan. Malas mahu mencuba, malas mahu berusaha.

Sempena tahun baru ini, mari berusaha bersama-sama. Saya pun mahu kembali menulis novel remaja. *sigh*

Selamat tahun baru 2014. Semoga tahun ini lebih baik untuk kita semua.

Selamat mengejar pelangi.


Sunday, 29 December 2013

Langkah Demi Langkah

Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Tahun 2013 memang tahun yang mencabar untuk saya. Apabila saya berhenti kerja kerana sebab peribadi, fokus saya hanya pada sebab itu sahaja. Apabila sebab itu sudah tiada, maka saya rasa hilang arah. Saya mula resah memikirkan saya perlu menyusun semula hidup saya.

Sebagai orang yang sudah biasa ada pendapatan sendiri, memang saya resah. Ke mana hala tuju saya? Mahu kembali bekerja di pejabat, saya serba salah apabila membaca kisah demi kisah anak yang didera. Apatah lagi, saya memang teringin sangat bekerja di rumah.

Kemahiran saya adalah menulis. Namun, sudah 2 tahun saya berhenti menulis. Blog ini medium untuk saya berlatih menulis dan berkongsi. Apabila kita berkongsi, banyak sebenarnya yang kita peroleh kembali.

Alhamdulillah, idea sudah kembali. E-book pertama sudah siap dengan bantuan pandangan dan dorongan Puan Masayu Ahmad, pengasas Akademi Bekerja di Rumah.

Kini, saya mahu kembali menulis novel remaja. Bertatih. Langkah demi langkah. Harapnya akan berjaya. Jalan cerita untuk beberapa bab sudah ada dalam buku nota. Semoga saya berjaya menaip cerita ini dan menghantar kepada penerbit seperti yang saya rancangkan.

Insya Allah.

Kepada yang berkongsi matlamat yang sama; mahu melihat buku diterbitkan pada tahun 2014, mari kita berusaha.

Selamat mengejar pelangi.




Saturday, 28 December 2013

Ulasan E-Book 101 Tip Penulisan Novel

Sumber:http://pnasmahhashim.blogspot.com/2013/12/ulasan-e-book-101-tip-penulisan-novel.html

Menjadi penulis novel, karya diterbitkan, menjadi best seller impian setiap mereka yang menjadi penulis. Bukan senang jadi penulis. Walaupun mudah menulis. Tulislah apa sahaja yang kita inginkan, tentang diri, keluarga, kenalan dan kawan-kawan. Tulislah apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita, yang kita nampak, lihat dan dengar. Namun bukan semua mampu menulis dengan baik, jelas dan mampu memuaskan para pembaca.
Bagaimana hendak menulis? Bagaimana caranya? Hendak tulis apa? semua itu harus difikirkan. Tertanya-tanya kepada diri sendiri, di mana harus dimulai. Menjadi penulis perlu ada ilmu. Hendak memasak nasi pun harus ada ilmu. Pendek kata apa sahaja langkah yang kita ambil dan buat harus ada ilmu. Begitu juga dunia penulisan novel. Ilmu perlu ada. Jangan sombong, konon beranggapan kita mampu menulis walaupun sebaris ayat. Begitu juga saya. Mula belajar menulis cerpen secara pos. Memang sukar tetapi demi ilmu tiada apa yang sukar. Penulis sekarang beruntung, pelbagai cara boleh digunakan untuk menambah ilmu dalam dunia penulisan. Salah satunya melalui E Book. E Book 101 Tip Penulisan Novel oleh Mazlia Murat adalah cara yang mudah untuk belajar menulis tanpa mengikuti kelas di luar rumah. Amat berguna, banyak info dan pengetahuan di dalamnya. Tidak rugi mempelajarinya. Ilmu yang padat dan ketat. Mulakan langkah kita ke dunia penulisan dengan mendapatkan ilmu melalui E Book ini.
Pelbagai tip diberi oleh penulis dari sudut pandangan sehinggalah memahami hak penulis dan penerbit. Rasa tidak susah untuk kita memahami E Book penulisan novel ini. Kita akan terangsang untuk membaca dan mempelajarinya. Gaya bahasa, jalan cerita, konflik dalam sesuatu karya disentuh dengan baik oleh Puan Mazlia. Seperti saya katakan tadi. Para pelajar akan mendapat banyak ilmu yang amat berguna. Tidak langsung menghampakan malah dengan belajar E Book ini kita mampu menjadi penulis novel yang baik, berjaya dan menjadi kesukaan para pembaca di luar sana. Teknik, gaya bahasa, garapan, plot, watak dan perwatakan disentuh satu persatu dan terperinci oleh penulis E Book ini. Tidak rugi melabur untuk mendapatklan ilmu yang bermanfaat. Sebagai penulis kita harus banyak membaca dan belajar di sinilah harus kita memulakan langkah untuk menjadi penulis berjaya. Penulis yang berilmu akan kekal lama. Penulis yang berwawasan akan terus melakar nama di persada dunia penulisan yang semakin berkembang ini. Tulisan ini dipecahkan kepada beberapa bab agar mudah dibaca dan dipelajari oleh para pelajar. Tidak susah untuk memahaminya. Semoga ilmu yang diperolehi dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar yang berminat untuk menjadi penulis.

http://adalahrumahbukuonline.blogspot.com/2013/12/101-tip-penulisan-novel.html

Friday, 27 December 2013

Tekanan Seorang Penulis Buku Tip Penulisan

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Panjang tajuk saya hari ini. Ya, saya memang tertekan. Saya stres memikirkan adakah e-book 101 Tip Penulisan Novel saya itu akan mendatangkan manfaat kepada yang membeli dan membacanya.

Saya percaya setiap seorang yang membeli e-book ini, bukan semata-mata membeli 'buku digital' tetapi juga membeli 'harapan' seperti kata seorang rakan di FB saya. Saya cukup bimbang saya mengecewakan mereka, lebih ngeri; membunuh harapan mereka. Setiap sen yang dikeluarkan untuk membeli e-book saya, pastinya hasil usaha mereka. Saya tidak mahu membazirkan penat lelah mereka.

Disebabkan itu, saya sedang berusaha mengemas kini e-book ini. Saya sedangkan kumpulkan kisah inspirasi daripada beberapa orang penulis best seller dan prolifik yang sudi berkongsi kisah mereka. Cabaran sebagai penulis, tip penulisan, teknik penulisan, itulah antara perkongsian mereka.

Saya juga sedang menyemak semula kandungan e-book saya dan membuat perubahan dan penambahan yang dirasakan perlu.

Inilah sahaja yang mampu saya lakukan buat masa ini. Semoga RM30 yang dilaburkan oleh semua pembeli e-book saya tidak tersia-sia.

Kepada pembeli lama, saya sudah janjikan akan memberikan e-book terkini apabila ada kemas kini. Dan janji ini akan berterusan sekiranya pada masa hadapan, saya ada melakukan penambahan lain.

Doakan saya berjaya ya rakan-rakan semua. Semoga e-book ini bukan sahaja medium saya menjana pendapatan RM tetapi juga saham untuk bekalan ke sana kelak.


Selamat mengejar pelangi.


______________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Thursday, 26 December 2013

CH: Rebut Kesempatan Yang Ada

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Apabila bergelar ibu, rutin hidup memang berubah. Kadangkala memang rasa lelah. Sekejap sahaja sudah subuh, tup tup azan zuhur, asar, maghrib, dan isyak kedengaran. Dan proses itu berterusan. Tidak dinafikan memang rasa stres. Bukan stres sebab dengar azan, ya. Stres sebab masa terasa berlalu dengan pantas dan seperti tidak ada ruang untuk berehat.

Namun, fikir semula, syukur saya dapat berada di samping bayi. Syukur juga saya dapat menyusukan bayi. Alhamdulillah setakat ini secara eksklusif. Mengenangkan hari-hari pertama, waktu anak saya menangis kerana kelaparan; susu saya lambat keluar, memang buat saya rasa sebak. Rasa syukur itu menghilangkan juga rasa keletihan kerana anak asyik mahu menyusu.

Okey, panjang pendahuluan saya. Sebenarnya saya bukan mahu tulis tentang anak saya, ataupun susu ibu. Apa yang saya ingin katakan adalah, selepas bergelar ibu, ruang masa untuk saya menulis terbatas. Saya curi-curi buka laptop ketika anak tidur. Sambil susukan, saya fikiran saya ligat berputar memikirkan idea penulisan. Alhamdulillah, selepas dua tahun tidak menulis, sudah dapat idea untuk satu cerita yang tertangguh dahulu. Namun, ruang menulis benar-benar terhad. Ada sahaja perkara lain yang menuntut komitmen saya untuk didahulukan.

Jadi, kepada yang masih belum ada anak, yang masih bujang, gunakan ksesempatan yang ada. Menulislah. Korbankan sedikit masa menonton televisyen, ataupun membaca blog hiburan dan menonton you tube, mahupun bermalasan di dalam comforter.

Jangan nanti jadi seperti saya, terkenang-kenang masa yang dibazirkan itu.


Selamat mengejar pelangi!

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Monday, 16 December 2013

TP: Bandingkan Tulisan Kita Dengan Hasil Akhir


Teks: Mazlia Murat


Tip penulisan hari ini khusus untuk yang sudah pun bergelar penulis; buku sudah diterbitkan.

Kita selalu membaca tip mengatakan, banyakkan membaca, kita belajar gaya olahan melalui pembacaan. Lebih banyak yang kita baca daripada penulis berbeza lebih banyak yang kita pelajari.


Namun, ada satu lagi kaedah untuk meningkatkan gaya olahan kita. Belajar daripada naskhah yang kita sendiri tulis.

Baca manuskrip asal yang kita serahkan kepada editor dan baca pula hasil; buku yang sudah diterbitkan. Lihat ada ataupun tidak perubahan sama ada minor mahupun major. Sama ada ayat kita dicantas, diubah, dipendekkan, dan sebagainya. Semak juga sekiranya ada perubahan susunan bab/babak, dan sebagainya.

Penulis akan diberi manuskrip yang sudah disunting dan disusun atur untuk dipruf sebelum dihantar ke pencetak. Semasa kita semak, jangan semata-mata cari kesalahan ejaan dan sebagainya. Lihat juga hasil akhir itu. Adakah ia lebih baik? Kalau lebih baik, apa yang berbeza? Adakah ayat kita menjadi lebih mudah dan sedap dibaca? Adakah susunan cerita menjadi lebih teratur?

Kalau lebih teruk, itu isu lain ya! 

Buat perbandingan, belajar sesuatu daripada situ.


Selamat mengejar pelangi.

____________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


Saturday, 14 December 2013

Mengapa Koma dan Bukannya Noktah? (Tanda Baca dalam Dialog)

Teks: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Entri berkenaan sistem tanda baca dalam dialog telah membawa kepada persoalan lain oleh pembaca.


Mengapa perlu menggunakan koma dan bukannya noktah dalam ayat di bawah?
“Maafkan saya.” Kata Melly. (Salah)
“Maafkan saya,” kata Melly. (Betul)
Jawapannya adalah kerana ia adalah satu ayat. Frasa “kata Melly” tidak boleh berdiri sendiri, tanpa dialog sebelumnya.

Situasi ini samalah konsepnya dengan:
Melly berkata, “Maafkan saya.”
“Baiklah, saya maafkan awak,” jawab Lolly.
“Awak sudah makan?” dia bertanya.
Balas saya, “Belum. Awak mahu belanja saya makan?”

Contoh yang berbeza, yang mana ayat kedua boleh berdiri sendiri, tanpa dialog sebelumnya, menjadikannya sebagai dua ayat berbeza.
“Saya benci awak.” Melly memalingkan wajahnya.
“Saya pergi dahulu.” Naimah bergegas meninggalkan pejabat.
“Adi, saya benci awak sampai mati!” Lily membaling cincin pertunangannya ke dalam tasik di hadapannya. 

Penerangan ini mengikut pemahaman adan ajaran guru saya, supaya kita mudah faham. Maafkan saya sekiranya orang bahasa mempunyai penerangan yang lebih konkrit dan mengikut hukum tatabahasa.

Selamat mengejar pelangi.


____________


PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...