Monday 28 October 2013

20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller (Bahagian 1)


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Mengikut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat, prolifik bermaksud banyak menghasilkan karya, banyak hasil tulisannya (ciptaannya).

Mengikut istilah sumber, best seller adalah buku yang paling popular dan laris dijual dengan jumlah yang luar biasa.

Ada penulis hanya menulis satu ataupun dua buku tetapi buku itu menjadi best seller untuk satu tempoh. Ada penulis yang menulis banyak buku tetapi tiada satu pun yang best seller.

Menjadi penulis prolifik bukan jaminan untuk menjadi penulis best seller. Namun, menjadi penulis prolifik adalah jalan untuk menjadi penulis best seller.

20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller:

1. Melakukan kajian pasaran.
Kenal pasti sasaran pembaca dan fahami kehendak pasaran. Mengeluarkan produk yang menepati kehendak pasaran akan melonjakkan jualan.

2. Merancang untuk penjenamaan produk dan diri.
Kenal pasti bidang penulisan yang mahu diceburi dan kekal dalam bidang itu buat satu tempoh. Menulis banyak buku untuk satu-satu bidang/genre dan bukannya menulis 10 buku untuk 10 genre/bidang berbeza. Ini bagi tujuan penjenamaan.
Ain Maisarah dikenali sebagai penulis novel remaja. Ramlee Awang Murshid dikenali sebagai penulis novel thriller.

3. Menonjolkan identiti penulis.
Selain genre, gaya penulisan dan diri penulis sendiri juga memainkan peranan untuk membentuk identiti seeorang penulis. Ini akan membezakan seseorang penulis dengan penulis lain.

4. Brainstorming idea.
Ambil masa untuk memikirkan idea sebelum menulis. Fikirkan idea utama, kembangkan kepada idea-idea lain. Catat dan fikirkan lagi. Idea yang kurang bagus akan membawa kita kepada idea yang lebih baik apabila kita berfikir dan berfikir.

5. Merancang penulisan dari awal.
Ada penulis prolifik yang mempunyai buku nota untuk setiap manuskrip. Beliau membuat kajian terperinci dan menyediakan bahan sebelum mula menulis. Ada juga yang membuat draf ringkas menggunakan peta minda tulang ikan, dan sebagainya. Terpulang kepada keselesaan, tetapi yang penting, rancang penulisan.

6. Bina kelompok pembaca setia.
Menulis buku bersiri ataupun trilogi membantu membina kelompok pengikut siri, sekali gus akan melonjakkan jualan. Pembaca lama akan membeli buku terbaru satu-satu siri. Pembaca baru akan mencari judul terdahulu satu-satu siri. Setiap judul akan saling membantu meningkatkan jualan. Ini juga berkait dengan ciri nombor lima.

7. Baca, baca, dan baca buku.
Baca pelbagai jenis buku biar bidang apa pun yang kita tulis. Penulis fiksyen tetap perlu membaca buku umum. Pengetahuan itu dapat diselitkan sebagai nilai tambah dalam manuskrip. Dengan banyak membaca, kita akan dapat memperbaiki tatabahasa dan menambah kosa kata. Selain itu, aktiviti ini akan mempengaruhi gaya penulisan dan membantu penjanaan idea. 

8. Komited dan memberi komitmen sepenuhnya.
Letakkan sasaran yang mahu dicapai; setahun berapa judul yang mahu ditulis dan diterbitkan. Rancang bersama editor sasaran yang realistik untuk dicapai. Bekerja bagi mencapai sasaran.

9. Pengurusan masa yang efisien.
Mempunyai disiplin diri yang tinggi untuk mengikut satu-satu deadline yang ditetapkan. Tiada alasan tidak cukup masa sebaliknya sentiasa berusaha mencari ruang untuk menulis.

10. Tulis dan tulis setiap hari.
Ada penulis yang memperuntukkan tempoh masa yang panjang, ada yang lebih suka sesi yang pendek tetapi beberapa kali sehari. Terpulang pada kesesuaian diri. Tetapkan matlamat mahu menyiapkan berapa halaman satu hari.

11. Motivasi diri.
Ada masa kita bersemangat, ada masa kita seperti mahu berputus asa. Ia normal namun teruskan melangkah. Cari perkara yang membuatkan kita kembali bersemangat. Sama ada kita mendapat dorongan daripada rakan penulis,  ahli keluarga, mahupun daripada diri sendiri. Contohnya kita memberi ganjaran kepada diri sendiri sekepas selesai mencapai satu-satu sasaran; menyiapkan bab ataupun siap menulis manuskrip.

12. Bergaul dengan penulis lain.
Sertai kumpulan penulis di laman sosial ataupun dalam rumah penerbitan yang sama. Sesekali keluar bersama untuk minum petang ataupun aktiviti lain. Bertukar pendapat, berkongsi idea, saling mendorong. Apabila bergaul dengan orang yang memiliki impian yang sama, kita akan jadi lebih bersemangat dan positif.


Bahagian 2 akan menyusul.


Selamat mengejar pelangi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...