Thursday, 7 November 2013
CP: Bukan Senang Nak Jadi Senang
Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Seorang penulis tersohor pernah bertanya kepada saya dengan nada sinis. Saya menulis kerana apa. Minat ataupun duit.
Alahai... Apa yang dia tidak tahu adalah semasa bermula, saya tidak pernah terfikir yang penulis boleh jadi jutawan. Dan sampai sekarang pun saya bukannya jutawan. Saya penulis suam-suam kuku sahaja. :)
Ada juga pernah bertanya adakah saya kenal sesiapa di syarikat penerbitan itu yang membolehkan manuskrip saya diterbitkan. Jawapannya tidak. Saya tidak mempunyai 'kabel' ketika melangkah ke dunia penulisan. Jadi, jangan risau. Sesiapa pun berpeluang jadi penulis. Tidak perlu guna 'kabel'.
Saya masih ingat tahun itu. 2003. Selepas tamat pengajian, saya tiba-tiba jadi sangat takut untuk bekerja dalam bidang yang dipelajari. Saya rasa seperti tidak tahu apa-apa.
Bukanlah tidak berusaha langsung mencari kerja. Malah, ditipu pun pernah. Saya bukan daripada keluarga kaya. Jadi, sudah tentu saya tertekann apabila duit yang tidak seberapa yang saya ada hangus begitu sahaja.
Sehinggalah saya terbaca semula catatan saya tentang senarai perkara yang saya mahu capai. Satu daripadanya adalah menulis novel. Memandangkan saya fikir hanya itu perkara yang saya mampu lakukan tanpa modal: komputer ada di dalam bilik, bil elektrik mak bayar, maka saya pun berusaha dalam diam. Masa saya banyak dihabiskan di dalam bilik. Berkurung, menulis.
Mak mula bising kerana saya tidak keluar mencari kerja. Tertekan, saya menulis surat kepada mak. Ya, bilik bersebelahan tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu meluahkan. Saya terangkan saya takut mahu bekerja. Saya terangkan saya sedang usahakan sesuatu; untuk mendapatkan keyakinan diri dan mungkin duit kalau berjaya. Mak tidak membalas surat, tetapi tidak lagi mendesak saya.
Saya menulis tanpa tahu apa akan berlaku. Saya tidak kenal sesiapa pun. Saya cari di Internet, terjumpa nama Puan Sri Diah. Saya e-mel dan bertanya beliau. Beliau membalas dan menyuruh saya bertanya Alaf 21. Encik Ali (editor pada masa itu) memberitahu cara menghantar manuskrip dan syaratnya.
Tidak sabar, saya mencetak biarpun tidak memenuhi syarat; jumlah muka surat minimum.
Saya dan mak menaiki bas ke bandar. Kami ke pejabat pos dan saya hantar menggunakan pos laju. Dalam perjalanan pulang, diiringi bunyi bising angin dan enjin bas, mak bertanya, boleh dapat duitkah nanti. Saya jawab, mungkin dapat kalau diterima. Dalam RM500, itu bayangan saya. Waktu itu saya tidak tahu apa-apa tentang royalti penulis dan sebagainya.
Saya menunggu dengan harapan menggunung. Tiga hari kemudian, telefon rumah berdering. Saya dapat merasakan itu panggilan daripada Alaf 21. Saya terus angkat, dan ya, Puan Saadiah (yang selepas itu saya panggil Kak Saadi) yang menelefon. Katanya, tiga orang editor baca. Dua terima, satu tolak. Ikut majoriti, saya diberi peluang. Lalu beliau memberi komen rombakan dan pembetulan yang perlu saya lakukan. Saya merombak hampir 80 peratus daripada cerita asal termasuklah penambahan muka surat.
Itu titik permulaannya. Sekitar September 2004 saya mendapat cek pertama, iaitu pendahuluan sebanyak RM500 apabila novel saya diterbitkan. Pada masa itulah baru saya tahu tentang royalti penulis. Mujur saya ditemukan oleh Allah dengan saluran yang betul dan penerbit yang jujur.
Tujuh bulan selepas diterbitkan, saya menerima royalti pertama dan jumlahnya memang mengejutkan saya. Alhamdulillah. Saya gunakan wang itu untuk bayar sebahagian hutang PTPTN, bayar hutang kepada mak, hadiahkan kepada keluarga, simpan, dan belanja diri sendiri. Oh, dan belanja editor. Itu langkah awal saya.
Sekarang saya sedang melalui fasa lain. Saya bermula semula daripada kosong. Saya tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Ada masa saya bersemangat. Ada masa saya rasa mahu mengalah.
Saya pujuk hati, biar lambat, perlahan-lahan melangkah. Saya serahkan semua kepada-Nya.
Setiap daripada kita melalui cabaran masing-masing. Usaha, doa, dan tawakal. Semoga kita berjaya mengharunginya.
Semasa menulis entri ini, hati saya sebak terkenang mak. Setiap buku yang diterbitkan, saya akan hadiahkan kepada mak. Al-Fatihah untuk Hajah Zairiyah binti Haji Kasim. Semoga ditempatkan dalam golongan orang beriman. Semoga dapat bertemu kembali di jannah kelak.
Marilah bersama-sama mengejar pelangi.
20 Ciri Penulis Yang Disukai Penerbit (Bahagian 2)
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.
Baca Bahagian 1 untuk 10 lagi.
11. Mengikut deadline yang dipersetujui untuk menyiapkan ataupun mempruf manuskrip supaya proses penerbitan tidak terganggu.
12. Memaklumkan apabila tidak dapat mengikut deadline dan bukannya menyepikan diri dan mengelak apabila dihubungi.
13. Bukan sahaja mengikut deadline, malah menghantar lebih awal daripada tarikh deadline yang ditetapkan.
14. Memberi kerjasama apabila diminta menyertai aktiviti promosi buku dan berlapang dada apabila penerbit tidak mampu memberikan layanan kelas A.
15. Aktif mempromosikan buku dengan inisiatif sendiri; hebahan di laman sosial, menjual buku sendiri, menganjurkan kuiz, menyediakan cendera hati untuk pembaca dan sebagainya, tanpa menunggu tindakan penerbit semata-mata.
16. Percaya rezeki itu daripada Tuhan. Bersangka baik dan tidak iri hati dengan penulis lain apabila lebih menyerlah sebaliknya berusaha meningkatkan kualiti produk sendiri dan lebih agresif menpromosi produk sendiri.
17. Berdisiplin serta menjaga kualiti dan produktiviti untuk tujuan penjenamaan dan bagi memudahkan penerbit mempromosikan penulis dan produk.
18. Saling membantu mempromosikan buku lain terbitan penerbit.
19. Semakin berisi, semakin menunduk. Walaupun sudah bergelar penulis best seller dan menerima royalti yang banyak, tetap merendah diri dan mudah apabila berurusan.
20. Setia. Walaupun penulis bebas memilih untuk bekerjasama dengan mans-mana penerbit, namun kesediaan penulis untuk tidak beralih arah terutama apabila sudah menjadi penulis best seller sangat dihargai oleh penerbit.
Selamat mengejar pelangi.
Saturday, 2 November 2013
Perjanjian Penerbitan
Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.
Perjanjian Penerbitan adalah kontrak yang ditandatangani antara penerbit dan penulis (ataupun wakil penulis), sebagai persetujuan untuk bekerjasama dalam penerbitan buku. Dalam erti kata lain, perjanjian penerbitan adalah bukti bertulis tentang kerjasama itu.
Perjanjian penerbitan bertujuan bukan sahaja melindungi hak penulis tetapi juga penerbit.
Pastikan perjanjian penerbitan ditandatangani sebelum manuskrip diterbitkan. Baca, semak, dan fahami setiap klausa dalam perjanjian penerbitan bagi mengelakan isu berbangkit.
Antara perkara penting dalam perjanjian penerbitan yang perlu dititikberatkan oleh penulis:
1. Kuat kuasa perjanjian
Semak bagi memastikan perjanjian itu berkuat kuasa untuk manuskrip itu sahaja. Satu manuskrip, satu perjanjian. Melainkan penulis memang bersetuju untuk menandatangani satu perjanjian yang merangkumi lima buku sekali gus contohnya. Walau bagaimanapun, seelok-eloknya satu perjanjian satu buku.
2. Pelantikan wakil penulis.
Sekiranya satu buku ditulis bersama dua orang ataupun lebih, seorang penulis akan dilantik sebagai wakil. Semak sama ada peratusan pembahagian royalti adalah seperti yang dipersetujui bersama oleh semua penulis.
3. Semak tempoh masa perjanjian, klausa tentang hak cipta, dan hak penerbitan.
Fahami perkara-perkara yang terangkum dalam lesen eksklusif yang diberikan kepada penerbit.
Sebagai contoh, katakan lesen eksklusif yang diberikan merangkumi hak untuk difilemkan.
Sekiranya ada penerbit filem yang menghubungi penulis dan berminat menerbitkan filem berdasarkan buku penulis, penulis perlu memaklumkan kepada penerbit buku. Ini kerana sebarang perjanjian sepatutnya antara penerbit filem dengan penerbit buku.
4. Royalti dan pembahagian royalti.
Peratusan royalti dan kaedah pengiraan berbeza mengikut amalan setiap rumah penerbitan. Fahami betul-betul cara kiraan.
Sebagai contoh, ada rumah penerbitan menjanjikan royalti berdasarkan harga jualan. Ada pula selepas ditolak diskaun.
i. Y% x harga jualan x jumlah naskhah yang terjual
ii. W% x harga jualan x jumlah naskhah yang terjual x diskaun 50% (tolak kos)
Semak tempoh bayaran akan dibuat. Ada penerbit yang membayar setahun sekali, ada yang tiga bulan sekali dan sebagainya.
5. Fahami semua klausa berkaitan tanggungjawab penulis dan penerbit seperti soal promosi, ganti rugi sekiranya melanggar perjanjian, kos penerbitan, dan sebagainya.
Kita perlu membaca perjanjian penerbitan dengan teliti, jangan ambil mudah. Terutama apabila kali pertama berurusan.
Malah, sekiranya sudah banyak kali berurusan dengan penerbit yang sama, seeloknya baca juga. Manalah tahu ada perubahan klausa dalam perjanjian penerbitan berbanding perjanjian buku terdahulu.
Sekiranya kurang jelas, penulis berhak bertanya dan mendapatkan penjelasan daripada wakil penerbit (editor). Malu bertanya sesat jalan.
Selamat mengejar pelangi.
___________________
PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.
BO: Mula Bisnes Tanpa Modal
Teks: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.
Memulakan bisnes dengan pinjaman Aladdin satu langkah kurang bijak dan berisiko tinggi. Pilih jalan lebih selamat. Mulakan bisnes tanpa pinjaman. Berdikit-dikit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Sumber:: http://101ideahomebasedbisnes.blogspot.com
Mula bisnes tanpa modal (tanpa pinjaman)
Boleh atau tidak mula bisnes tanpa modal. Ya paling dan sangat disarankan bagi kalian yang baru mula dan ingin pecahkan tembok 'ada pinjaman baru ada modal'. Ada wang modal baru boleh mula. Ini salah. Sedangkan banyak cara kita boleh mula tanpa modal, kalau ada hanyalah modal minima, zaman IT begini, internet dan komputer sahaja. Macammana kalau tak ada modal. Ok, berkut 10 cara paling mudah dan pastikan kalian dengan konsisten boleh buat dan praktik.
1. Simpanan tetap secara bulanan.
Ok, sekarang kalian sekarang masih bekerja, sudah ada dalam fikiran mahu memulakan bisnes online secara sambilan. Tetapi tidak ada produk lagi dan rasa mahu ada modal dahulu. Mulakan dengan simpanan tetap secara bulanan. Katakanlah, hujung tahun depan baru mahu mula. Kita kumpul dahulu modal minima secara tetap. RM50 X 10, bersamaan RM500. Kalau RM100 X 10 bulan maksudnya RM1000, kalau RM200 X 10 bulan maksudnya RM2,000.
Modal RM500, RM1000 dan RM2000 adalah sangat cukup.
Jika bekerja masih bekerja, letak dahulu modal ini dalam satu tempat yang tidak diusik. Konsisten seperti biasa modal ini. Jika surirumah boleh mula dengan berapa banyak peruntukkan yang suami sudah beri.
2. Gunakan apa yang ada. Komputer dan internet.
Ok, baik sekarang tidak ada modal, tetapi ada komputer dan internet sahaja. Jika belum ada, kos untuk komputer dan internet paling minima RM3K, jadi boleh gunaan berdikit dahulu simpan modal asas seperti ditunjukkan di atas. Sudah ada RM3K, dapatkan komputer dan internet. Saya percaya hampir setiap rumah kini sudah ada internet dan komputer.
Sekarang, bagaimana pula menggunakan kemudahan ini. Iaitu komputer dan internet. Kalian perlu ada paling asas adalah face book. Mula daftar dengan face book. Satu akaun khusus untuk peribadi, satu lagi akaun fan page untuk kedai.
Empat langkah sahaja.
-Komputer dan internet
- Buat akaun fb, peribadi dan fan page
-Cari produk tanpa keluar modal
-Mula masukkan gambar, promosi dan jual.
PRE-ORDER SEKARANG RM30
Terbit 30.11.13 (RM50)
___________________
PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.
Friday, 1 November 2013
Hak Cipta vs Hak Penerbitan
Teks: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.
Ramai orang tahu tentang hak cipta. Ramai juga yang keliru kerana menyangka apabila kita bersetuju memberikan manuskrip kita kepada satu-satu rumah penerbitan, maka, kita menyerahkan hak cipta kita. Pemahaman itu tidak tepat.
Apabila kita menulis, secara automatik kita memegang dua hak iaitu hak cipta dan hak penerbitan. Sebagai penulis, kita perlu memahami perbezaan hak cipta dan hak penerbitan, bagi melindungi tulisan kita.
Manuskrip asal kita dilindungi sebagai harta intelek di bawah Akta Hak Cipta 1987(AHC). Jangka masanya tamat selepas 50 tahun kematian pemiliknya. Selepas itu, karya itu tidak lagi dilindungi di bawah Akta Hak Cipta, sebaliknya menjadi public domain atau hak awam. Ia boleh diterbitkan semula oleh mana-mana penerbit. Contoh karya yang sudah menjadi public domain adalah novel penyiasatan Sherlock Holmes.
Manakala bagi karya yang tidak diterbitkan semasa hayat penulis, tempohnya adalah 50 tahun dari tarikh penerbitan.
Oh ya, idea tidak dilindungi di bawah akta ini melainkan idea yang sudah ditulis/direkod.
Apabila saya menulis 'asal' bermaksud hak cipta kita adalah ke atas manuskrip yang kita tulis dan bukannya yang sudah disunting dan disusun atur oleh penerbit.
Harta intelek ini pula seperti harta lain, ia boleh dijual, dibeli, dan digunakankan dengan pelbagai cara. Dengan kata lain, sekiranya kita tersilap langkah, kita mungkin menyerahkan hak cipta kita kepada orang lain tanpa disedari.
Baca di sini untuk maklumat lanjut.
Seperti hak cipta, hak penerbitan juga boleh dipindah milik.
Apabila kita berurusan dengan penerbit, jangan sesekali menyerahkan hak cipta. Sekiranya kita menyerahkan hak cipta, maka kita bukan lagi pemilik manuskrip itu dan tidak berhak menuntut sebarang bayaran (royalti mahupun honorarium ataupun sebarang bentuk bayaran) apabila karya kita diterjemahkan, diadaptasi dan sebagainya.
Ia umpama kita menjual rumah kita dan bukannya menyewakan kepada orang lain. Kita tidak lagi memiliki sebarang hak ke atas rumah yang memungkinkan kita menerima sebarang faedah.
Penulis baru kadangkala tidak peka soal ini. Saya pernah menerima e-mel mengatakan beliau mahu menjual manuskrip beliau. Beliau bertanya, berapakah harga yang sanggup dibayar oleh penerbit. Kemujuran buat beliau, beliau menghantar e-mel kepada penerbit yang menjaga hak penulis.
Saya menerangkan kepada beliau tentang amalan di syarikat itu yang tidak membeli manuskrip sebaliknya membayar royalti dan sebagai balasan, penerbit diberi lesen eksklusif (hak penerbitan) untuk menerbitkan manuskrip itu.
Dalam erti kata lain, hak cipta kekal hak penulis. Manakala hak penerbitan iaitu lesen eksklusif bagi menerbitkan manuskrip itu buat satu tempoh diberikan kepada penerbit. Terma perjanjian adalah berbeza bagi setiap rumah penerbitan.
Sebagai contoh, ada klausa dalam perjanjian akan menyebut penulis bersetuju memberikan lesen eksklusif kepada penerbit untuk menerbitkan edisi pertama, edisi selanjutnya dalam semua bahasa, untuk pasaran seluruh dunia.
Selain itu, lesen eklskusif ini juga selalunya merangkumi penerbitan buku itu dalam bentuk lain, seperti buku elektronik, komik, adaptasi ke drama ataupun filem dan sebagainya. Pada kebiasaannya penerbit akan meminta semua hak ini buat satu tempoh. Dan penulis akan mendapat royalti ataupun apa-apa bayaran. Namun, ia terpulang pada persetujuan bersama.
Oleh itu, baca dan semak perjanjian penerbitan terlebih dahulu sebelum tandatangan. Pastikan juga berapa lama tempoh hak penerbitan yang diberikan. Adakah dinyatakan dan adakah tempoh masa itu logik? Sekiranya dikatakan seumur hidup, bersediakah kita menerimanya?
Apabila satu-satu tempoh dipersetujui, ini bermaksud penulis tidak boleh menerbitkan sendiri ataupun memberikan kepada pihak ketiga (sama ada individu mahupun penerbit lain) untuk menerbitkan manuskrip yang sama, biarpun dengan tajuk berbeza.
Bagaimana sekiranya tempoh tidak dinyatakan? Ini bermaksud hak penerbitan diberikan kepada penerbit itu buat selama-lamanya. Risikonya adalah, sekiranya penerbit tidak mahu mengulang cetak, tetapi tidak mahu pula memulangkan hak penerbitan, maka kita tetap tidak boleh menghantar manuskrip kita untuk diterbitkan semula oleh penerbit lain.
Ada kalanya penulis terlalu teruja mahu melihat manuskripnya diterbitkan, terus tandatangan tanpa memahami klausa dalam perjanjian penerbitan. Dan kemudian, penulis mengatakan penerbit menipu.
Fahami setiap klausa. Perbincangan boleh diadakan bagi mencapai kata sepakat boleh dibuat bagi memastikan hak sebagai penulis dilindungi pada masa sama, hak penerbit juga dijaga.
Selamat mengejar pelangi.
Thursday, 31 October 2013
20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller (Bahagian 2)
Teks: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.
Klik di sini untuk membaca Bahagian 1
14. Anjakan paradigma.
Dari semasa ke semasa, lakukan perubahan dalam penulisan ke arah lebih baik. Kandungan yang lebih baik, olahan yang lebih menarik, plot yang di luar jangkaan dan sebagainya. Ini bagi mengekalkan pembaca sedia ada dan menarik pembaca baru.
15. Tonjolkan produk dan diri.
Bukan bermaksud gila glamor, syok sendiri, dan sebagainya. Sebaliknya, pastikan khalayak menyedari kewujudan buku tulisan kita. Gunakan ruang promosi percuma yang ada. Rajinkan diri menyertai aktiviti promosi yang dilakukan oleh penerbit.
16. Timbul dan terus timbul.
Penulis yang mudah dilupakan adalah penulis yang tenggelam timbul. Ambil masa yang lama untuk keluar dengan produk baru. Konsisten menulis, pastikan ada buku setiap tahun, jumlahnya bergantung pada persetujuan dengan penerbit dan matlamat yang ditetapkan.
17. Profesional tetapi mesra didekati.
Pembaca masa kini suka mengetahui perkembangan penulis. Ada yang menjadikan idola. Ada yang mengaku peminat setia. E-mel, Facebook, twitter, blog jadi penghubung. Hebahkan perkembangan terkini supaya pembaca yang kini menjadi peminat peka dengan kita. Ketika menulis buku baru, kita boleh ambil peluang untuk promosi sebelum buku ditebitkan. Malah, penulis yang bijak sudah mengambil tempahan buku. Buku terjual sebelum masuk stor penerbit.Tulis yang baik-baik di laman sosial bagi menjaga imej kita. Elakkan menggunakan perkataan yang kasar, meletak gambar yang tidak sesuai, pendek kata, jaga-jaga, ada yang memerhati.
18. Dengar dan ambil tindakan.
Kemudahan berhubung juga membuatkan pembaca mudah memberi komen. Puji-pujian memang mengembangkan hati. Berfikiran positif apabila ada komen yang sebaliknya. Ambil peduli dan lakukan perubahan sekiranya ia bersesuaian. Kuasa membeli di tangan pembaca.
19. Zakat dan sedekah.
Walau beratus ciri ataupun tip yang dikongsikan, paling penting adalah menunaikan kewajipan. Dalam setiap wang royalti yang kita peroleh ada milik orang lain. Tunaikan zakat. Rajinkan bersedekah. Ikhlaskan hati melakukan dua perkara ini, insya Allah kita akan mendapat rezeki yang berkat. Rezeki bukanlah dalam bentuk wang semata-mata. Rezeki juga boleh datang dalam bentuk idea yang mengalir, ruang masa untuk menulis, dan sebagainya.
20. Usaha, doa, tawakal.
Bagi yang beragama Islam, doa adalah senjata orang Mukmin. Berusaha bersungguh-sungguh, berdoa, dan berserahlah kepada yang maha Esa. Berlapang dada menerima ketentuan-Nya.
Selamat mengejar pelangi.
PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.
Akta Hak Cipta 1987
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.
Sebagai penulis, kita perlu memahami Akta Hak Cipta bagi melindungi hak kita.
Jangan sesekali menjual hak cipta kita ataupun memberinya kepada pihak lain.
Pengenalan
Hak
cipta adalah hak ekslusif yang diberi kepada pemilik bahan berhak
cipta bagi tempoh tertentu (Seksyen 13 (1). Akta Hak Cipta 1987). Hak
Cipta juga adalah sebahagian harta intelek dan mempunyai nilai yang
ditentukan oleh pasaran. Harta intelek adalah seperti lain-lain
harta, dimana ia boleh dijual, dibeli, disimpan diedar, disalin dan
digunakan dalam berbagai-bagai cara dan bentuk yang boleh memberi
faedah kepada pemiliknya. Justeru, harta intelek perlu diberi
perlindungan daripada dieksplotasi dengan bebas tanpa kebenaran
pemiliknya, dengan tujuan mengaut keuntungan, tanpa memberi ganjaran
yang sewajarnya kepada pemiliknya. Di Malaysia hak cipta diberi
perlindungan di bawah Akta Hak Cipta 1987 (AHC).
Karya-karya
yang layak mendapat hak cipta
1.
Karya-karya asal yang layak mendapat hak cipta: (Seksyen 7(1) AHC)
karya sastera;
b.
karya muzik;
c.
karya seni;
d.
filem;
e.
rakaman bunyi;
f.
karya senibina; dan
g.
siaran.
Semua
karya adalah dilindungi tanpa mengira kualiti atau nilai
kesusasteraan atau kesenian, serta tujuan karya itu dihasilkan.
2.
Karya terbitan yang berikut adalah layak dilindungi oleh Akta ini.
a.
terjemahan, penyesuaian, susunan dan perubahan lain karya sastera,
muzik atau seni
b.
koleksi karya-karya sastera, muzik dan seni oleh sebab pemilihan dan
susunan kandungannya, menjadikannya suatu hasil ciptaan intelek.
Tujuan
Hak Cipta
Hak
cipta ialah hak eksklusif yang diberi oleh undang-undang kepada
pemilik karya untuk mengawal penggunaan karyanya bagi satu tempoh
yang ditetapkan daripada digunakan tanpa kebenaran pemiliknya untuk
apa jua cara pun.
Pemilik
Hak Cipta
Hak
cipta terletak pada hak mula-mulanya pada pencipta. Hak cipta adalah
harta alih yang boleh dipindah milik melalui penyerahhakkan, pemberi
wasiat atau dengan kuasa undang-undang dan boleh dijual beli.
Jangka
Masa Perlindungan Hak Cipta
- Karya sastera, muzik, atau seni (selain daripada fotografi) wujud semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Jika lebih daripada seorang pemilik, hak cipta wujud semasa hayat pencipta terakhir dan 50 tahun selepas kematiannya. Jika bahan tersebut belum pernah diterbitkan sepanjang hayat penciptanya, dan kemudian beliau meninggal dunia, maka hak cipta akan wujud sehingga 50 tahun dari permulaan tahun kalendar berikutan dengan tahun karya itu diterbitkan. Jika karya diterbitkan tanpa nama atau menggunakan nama samaran maka hak cipta akan wujud selama 50 tahun bermula dengan tahun mula-mula diterbitkan.
- Hak cipta karya kerajaan, pertubuhan kerajaan dan badan antarabangsa wujud sehingga 50 tahun bermula daripada tahun kalendar berikutan dengan tahun karya itu mula diterbitkan.
- Hak cipta mengenai sesuatu edisi diterbitkan, rakaman bunyi, fotografi, filem dan siaran akan wujud sehingga 50 tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang ia mula diterbitkan atau disiarkan.
Perlakuan-perlakuan
yang Melanggar Hak Cipta
Perbuatan-perbuatan
berikut yang dilakukan oleh bukan pemilik hak cipta, tanpa
persetujuan atau lesen pemilik hak cipta adalah dianggap suatu
pelanggaran hak cipta:
- Mengeluar semula dalam bentuk menayang, mempamer, melakukan, dan mengedarkan kepada awam, melalui kabel atau menyiarkan keseluruhan atau sebahagian karya itu dalam bentuk asli atau terbitan.
- Mengimport apa-apa artikel bagi tujuan perdagangan atau untuk mendapat keuntungan.
- Membuat, untuk jualan, atau sewa apa-apa salinan langgaran.
- Menjual, menyewakan atau secara dagangan, mendedahkan atau menawarkan jualan salinan langgaran.
- Mengedarkan salinan langgaran.
- Memiliki, melainkan untuk kegunaan persendirian dan domestik apa-apa salinan langgaran.
- Dengan cara dagangan, mempamerkan kepada umum apa-apa salinan langgaran.
- Mengimport, melainkan untuk kegunaan persendirian dan domestik sebarang salinan langgaran.
- Membuat atau memiliki sebarang perekaan yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran.
- Menyebabkan karya tersebut dimainkan di khalayak ramai.
_____________________________________
PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)


