Thursday 31 October 2013

Akta Hak Cipta 1987



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih. 

Sebagai penulis, kita perlu memahami Akta Hak Cipta bagi melindungi hak kita.
Jangan sesekali menjual hak cipta kita ataupun memberinya kepada pihak lain. 


Pengenalan

Hak cipta adalah hak ekslusif yang diberi kepada pemilik bahan berhak cipta bagi tempoh tertentu (Seksyen 13 (1). Akta Hak Cipta 1987). Hak Cipta juga adalah sebahagian harta intelek dan mempunyai nilai yang ditentukan oleh pasaran. Harta intelek adalah seperti lain-lain harta, dimana ia boleh dijual, dibeli, disimpan diedar, disalin dan digunakan dalam berbagai-bagai cara dan bentuk yang boleh memberi faedah kepada pemiliknya. Justeru, harta intelek perlu diberi perlindungan daripada dieksplotasi dengan bebas tanpa kebenaran pemiliknya, dengan tujuan mengaut keuntungan, tanpa memberi ganjaran yang sewajarnya kepada pemiliknya. Di Malaysia hak cipta diberi perlindungan di bawah Akta Hak Cipta 1987 (AHC).

Karya-karya yang layak mendapat hak cipta

1. Karya-karya asal yang layak mendapat hak cipta: (Seksyen 7(1) AHC)
karya sastera;
b. karya muzik;
c. karya seni;
d. filem;
e. rakaman bunyi;
f. karya senibina; dan
g. siaran.
Semua karya adalah dilindungi tanpa mengira kualiti atau nilai kesusasteraan atau kesenian, serta tujuan karya itu dihasilkan. 


2. Karya terbitan yang berikut adalah layak dilindungi oleh Akta ini.
a. terjemahan, penyesuaian, susunan dan perubahan lain karya sastera, muzik atau seni
b. koleksi karya-karya sastera, muzik dan seni oleh sebab pemilihan dan susunan kandungannya, menjadikannya suatu hasil ciptaan intelek.


Tujuan Hak Cipta

Hak cipta ialah hak eksklusif yang diberi oleh undang-undang kepada pemilik karya untuk mengawal penggunaan karyanya bagi satu tempoh yang ditetapkan daripada digunakan tanpa kebenaran pemiliknya untuk apa jua cara pun.


Pemilik Hak Cipta

Hak cipta terletak pada hak mula-mulanya pada pencipta. Hak cipta adalah harta alih yang boleh dipindah milik melalui penyerahhakkan, pemberi wasiat atau dengan kuasa undang-undang dan boleh dijual beli.


Jangka Masa Perlindungan Hak Cipta

  1. Karya sastera, muzik, atau seni (selain daripada fotografi) wujud semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Jika lebih daripada seorang pemilik, hak cipta wujud semasa hayat pencipta terakhir dan 50 tahun selepas kematiannya. Jika bahan tersebut belum pernah diterbitkan sepanjang hayat penciptanya, dan kemudian beliau meninggal dunia, maka hak cipta akan wujud sehingga 50 tahun dari permulaan tahun kalendar berikutan dengan tahun karya itu diterbitkan. Jika karya diterbitkan tanpa nama atau menggunakan nama samaran maka hak cipta akan wujud selama 50 tahun bermula dengan tahun mula-mula diterbitkan.
  2. Hak cipta karya kerajaan, pertubuhan kerajaan dan badan antarabangsa wujud sehingga 50 tahun bermula daripada tahun kalendar berikutan dengan tahun karya itu mula diterbitkan.
  3. Hak cipta mengenai sesuatu edisi diterbitkan, rakaman bunyi, fotografi, filem dan siaran akan wujud sehingga 50 tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang ia mula diterbitkan atau disiarkan.


Perlakuan-perlakuan yang Melanggar Hak Cipta

Perbuatan-perbuatan berikut yang dilakukan oleh bukan pemilik hak cipta, tanpa persetujuan atau lesen pemilik hak cipta adalah dianggap suatu pelanggaran hak cipta:

  1. Mengeluar semula dalam bentuk menayang, mempamer, melakukan, dan mengedarkan kepada awam, melalui kabel atau menyiarkan keseluruhan atau sebahagian karya itu dalam bentuk asli atau terbitan.
  2. Mengimport apa-apa artikel bagi tujuan perdagangan atau untuk mendapat keuntungan.
  3. Membuat, untuk jualan, atau sewa apa-apa salinan langgaran.
  4. Menjual, menyewakan atau secara dagangan, mendedahkan atau menawarkan jualan salinan langgaran.
  5. Mengedarkan salinan langgaran.
  6. Memiliki, melainkan untuk kegunaan persendirian dan domestik apa-apa salinan langgaran.
  7. Dengan cara dagangan, mempamerkan kepada umum apa-apa salinan langgaran.
  8. Mengimport, melainkan untuk kegunaan persendirian dan domestik sebarang salinan langgaran.
  9. Membuat atau memiliki sebarang perekaan yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran.
  10. Menyebabkan karya tersebut dimainkan di khalayak ramai.

    _____________________________________

    PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...