Saturday 27 September 2014

TP: Peluang Kedua

Teks: Mazlia Murat


Bismillah.

Lama sungguh tidak update blog.

Sebetulnya saya seorang yang perahsia. Saya tidak suka berkongsi hal peribadi dengan orang. Maksud saya aktiviti saya dan sebagainya.

Saya cuba bersikap terbuka kerana mahu bekerja dari rumah. Kalau orang tidak kenal, macam mana hendak percaya dan dapatkan perkhidmatan kita kan?

Namun, saya tidak berjaya melakukannya kerana ia tidak cocok dengan jiwa. Sebab itulah blog ini bersawang.

Saya hanya kongsikan hal penulisan. Saya cuba berkongsi rutin sebagai WAHM dan kehidupan peribadi tetapi rasa tidak tahu apa yang hendak ditulis. Apabila saya tersekat dalam dunia penulisan, lagilah saya tidak tahu hendak kongsi apa.

Okey, ini cuma intro. Ya, panjang betul intro saya.

Sebenarnya saya hendak berkongsi tip.

Apabila kita menulis satu-satu karya, ia adalah harta intelektual kita. Biarpun tidaklah intelektual sangat pun! Contoh macam saya yang menulis cerita merapu sahaja.

Dipendekkan cerita, karya kita diterbitkan, kita gembira. Penerbit gembira. Lalu bermulalah sesi jualan.  Kita pun terimalah royalti untuk tempoh beberapa tahun. Sampai satu tahap, kalau kita tidak aktif mempromosikan buku itu di samping tidak ada produk baru, produk orang lain akan mengambil alih tempat kita.

Maka, buku kita pun suam-suam kuku di pasaran sehinggalah pada satu hari yang pada mulanya nyaman, kita terima beberapa pucuk surat daripada penerbit.

Surat penyata royaltikah? Maaf, surat pemberitahuan baki stok buku kita akan dilupuskan (write-off). Ini bermaksud kita tidak akan mendapat royalti lagi kerana baki stok itu akan sama ada dijual pada harga kurang daripada 50%-60% harga di belakang buku (rujuk surat perjanjian), ditimbang kati, ataupun akan diberikan percuma. Lebih memilukan hati, buku itu tidak akan diulang cetak sehingga dimaklumkan kelak.

Adakah kita perlu meratap pilu?

Tidak. Kita masih ada peluang. Ingat, karya kita adalah harta intelektual kita dan kita masih berpulang menggunakan ia untuk menjana pendapatan pasif sebagai penulis.

Semak perjanjian penulisan. Biasanya write-off bukan bermaksud pemulangan hak penerbitan. Hak penerbitan masih dipegang oleh penerbit asal. Ia hanya bernaksud karya kita tidak akan dijual lagi sehingga keajaiban berlaku. Hoho.

Berbincang dengan penerbit kalau karya kita itu masih ada potensi. Kita boleh cadangkan untuk di-revamp. Buat edisi baru. Kalau penerbit tidak berminat, mohon dipulangkan hak penerbitan dengan cara baik.

Baca semula, edit, buat penambahbaikan. Tambah babak baru untuk mencantikkan jalan cerita. Buang babak lama yang kita rasa tidak perlu ada.

Maka terhasillah karya kemas kini. Hantarlah kepada penerbit lain (pastikan hak penerbitan sudah dipulangkan). Maklumkan kepada penerbit baru itu, ini karya lama yang pernah dicetak oleh sekian-sekian penerbit pada tahun sekian-sekian.

Masukkan dalam imprint supaya pembaca tidak rasa tertipu. Hebahkan di media sosial bahawa karya baru kita itu, karya lama yang diberi wajah baru.

Maka satu lagi sesi menerima royalti akan bermula dengan izin Allah. Kita pun rasa gembira karya kita masih ada tempat dalam pasaran.

Selamat menulis.

Selamat mengejar pelangi.



p/s: Untuk proposal/manuskrip yang direjek dan tidak pernah diterbitkan, juga boleh lakukan perkara yang sama iaitu, baca semula, ubahsuai cerita supaya lebih menarik dan menepati kehendak pasaran.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...