Teks oleh: Mazlia Murat
Yang mana satu penerbit mahu daripada bakal penulis?
Lain penerbit lain caranya. Kenal pasti
cara penerbit berurusan dengan bakal penulis yang kali pertama mahu
menulis. Peringkat pertama adalah penilaian/saringan proposal ataupun
manuskrip.
Ada penerbit yang hanya mahukan
proposal (kertas cadangan) yang mengandungi beberapa maklumat seperti
sinopsis, pecahan bab dan lain-lain. Ada yang mahu manuskrip penuh
untuk dinilai pada peringkat saringan pertama.
Ada juga yang lebih suka berurusan
melalui e-mel sahaja (softcopy). Namun, ada penerbit yang
mahukan salinan dihantar dalam bentuk hardcopy.
Zaman sekarang, semua maklumat di
hujung jari. Maklumat ini boleh diperolehi dengan menyemak di laman
web penerbit. Sekiranya tidak dinyatakan di laman web, boleh e-melkan
pertanyaan ataupun mahu segera, hubungi penerbit melalui panggilan
telefon.
Penerbit mempunyai alasan berbeza
mengapa hanya mahukan proposal ataupun manuksrip penuh untuk dinilai.
Salah satu sebab ada penerbit mahukan
proposal terlebih dahulu, adalah bagi memudahkan proses penilaian dan
penulis.
Sebagai contoh, untuk buku fiksyen, PTS
Media Group akan meminta bakal penulis proposal yang mengandungi
sinopsis lengkap (sekiranya dipecahkan ikut bab lebih baik) dan
olahan dua bab.
Berdasarkan sinopsis ini, jalan cerita
akan dinilai. Gaya olahan juga akan dinilai berdasarkan contoh bab
yang disertakan. Sekiranya ada pembetulan, akan dicadangkan.
Sebaliknya, jika dirasakan tidak sesuai, proposal akan dicadangkan
dihantar ke penerbit lain. Ini akan menjimatkan masa penulis,
tidaklah penulis syok sendiri menulis beratus-ratus halaman tetapi
akhirnya ditolak mentah-mentah.
Namun, perlu diingat. Apabila proposal
diterima, bukanlah bererti manuskrip kita muktamad akan diterbitkan.
Sebaliknya, penerbit berharap komen awal ini membantu kelancaran
proses penulisan. Selepas proposal diterima, proses penulisan bermula
dan manuskrip penuh tetap perlu melalui proses penilaian. Potensi
untuk manuskrip penuh ditolak tetap ada. Ini kerana kadangkala
proposal nampak menarik, namun manuskrip penuh yang terhasil berbeza
daripada yang diharapkan oleh penerbit.
Ada juga penerbit yang mahu terus
menilai manuskrip penuh. Ini bagi memudahkan proses saringan pada
peringkat editor terutama penerbit yang menerima banyak manuskrip.
Sekiranya berpotensi diterbitkan, editor akan memberi komen untuk
sebarang penambaikan. Kadangkala perubahan yang perlu dilakukan pada
manuskrip hanya sedikit, ada kalanya banyak, malah melebihi 50
peratus. Kuatkan semangat. Semua ini adalah cabaran untuk mencapai
impian melihat manuskrip kita diterbitkan.
Berikut adalah senarai beberapa link
syarikat penerbitan yang menghebahkan langkah yang perlu dilakukan
sekiranya berminat mahu menjadi penulis mereka. Ada banyak lagi
penerbit yang tidak saya senaraikan. Google sedia membantu.
PTS Media Group untuk buku umum (bukan fiksyen) dan fiksyen.
Jemari Seni untuk karya fiksyen.
Must Read untuk buku umum.
Kaki Novel untuk karya fiksyen.
Telaga Biru untuk buku umum dan fiksyen.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Selamat mengejar pelangi!
No comments:
Post a Comment