Teks oleh: Mazlia Murat
Sudahkah kita memilih dengan siapa kita
mahu bekerjasama? Ataupun sudah adakah penerbit yang sudi menerbitkan
karya kita?
Sepanjang berurusan, siapakah penerbit
di mata kita? Majikan ataupun rakan kongsi penulis?
Wah, rakan kongsi. Hebat betul
bunyinya. Bukankah kita mahu jadi penulis? Gaya sudah seperti mahu
berbisnes juta-juta pula!
Saya lebih suka melihat penerbit
sebagai ‘rakan
kongsi’
dan bukannya ‘majikan’.
Mengapa?
Sebelum saya mengupas lebih lanjut,
suka saya tekankan, ini hanya pendapat peribadi saya. Bukan satu
pandangan yang perlu dipersetujui dan diterima dalam dunia
penerbitan.
Saya merasakan apabila kita melihat
penerbit yang menerbitkan buku kita sebagai ‘majikan’,
maka kita akan melihat mereka memikul tanggungjawab yang besar untuk
menjaga kebajikan kita.
Dalam bahasa lebih muddy, penerbit
perlu fokus kepada kita. Kita akan rasa terpinggir ataupun rasa
dianaktirikan kalau tidak diberi perhatian sepenuhnya. Maka akan
bermulalah kisah makan hati berulam jantung dan yang sewaktu
dengannya. Ini akan merencatkan kerjasama kita.
Itu kalau kita pandang dari sudut
kepentingan peribadi.
Saya akan kupas perkara ini dalam entri
lain berkaitan kesilapan yang sering dilakukan oleh penulis baru
mahupun lama.
Lain halnya kalau kita melihat kita
sebagai pekerja yang berdedikasi, komited dan bertanggungjawab
menjaga kebajikan majikan. Ah, sudah! Tingginya beban yang perlu kita
tanggung!
Maka kita akan rasa bersalah dan
terbeban apabila kita gagal ataupun kurang menyumbang kepada
keuntungan syarikat majikan kita. Pendek kata, apabila buku kita tidak mendapat
sambutan seperti yang diharapkan, kita akan rasa teruk dan malu mahu terus berurusan dengan
penerbit alias majikan kita. Maka bagi yang tidak kuat semangat, akan terasa lebih mudah berputus asa sahaja.
Oleh itu, saya lebih suka memandang
penerbit sebagai ‘rakan
kongsi’,
yang mana kita dan penerbit ada tanggungjawab dan saling berperanan
supaya kita (penulis) dan penerbit sama-sama mendapat faedah daripada
usaha kedua-dua pihak. Jadi kita tidak menyerahkan beban sepenuhnya
kepada penerbit dan tidak pula merasakan kita yang memikul semua
beban dalam menjayakan satu-satu produk.
Apa tanggungjawab penerbit dan apa pula
tanggungjawab kita sebagai penulis?
Terima kasih kerana membaca.
Selamat mengejar pelangi.
No comments:
Post a Comment