Teks oleh: Mazlia Murat
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya adalah bekas pelajar sains
tulen. Di universiti, saya mengambil jurusan yang tiada kaitan dengan
sastera. Selepas tamat pengajian pada tahun 2003, saya hilang arah
seketika. Kerjaya apa yang sesuai untuk saya? Tiba-tiba saya terasa masa hadapan saya gelap-gelita.
Jauh di sudut hati, saya
menyimpan hasrat untuk menjadi penulis dan bekerja dari rumah. Ya,
itulah yang saya suka. Menulis. Malah pernah satu ketika, saya
percaya saya dilahirkan untuk menjadi penulis.
Syukur kepada Yang Esa,
memang sudah rezeki saya. Pada tahun 2004, novel pertama saya
diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. Sejak itu saya tidak menoleh ke
belakang lagi. Sehingga kini, saya sudah menulis tiga novel dewasa,
sembilan novel remaja, dan tiga buku berilustrasi untuk kanak-kanak
bersama empat orang penulis lain. Nama pena yang saya gunakan adalah
Leeya Myra dan Aizam Aiman.
Selain itu, bermula pada
tahun 2005, saya terlibat secara langsung dalam bidang penerbitan.
Saya menikmati perjalanan kerjaya sebagai editor sambilan, editor,
editor senior, dan pengurus penerbitan di PTS One Sdn. Bhd., anak
syarikat PTS Media Group yang menerbitkan buku fiksyen untuk remaja
dan kanak-kanak.
Pada masa yang sama, saya menjadi editor sambilan yang menyunting dan mempruf manuskrip terbitan anak syarikat PTS Media Group yang lain untuk produk buku motivasi, fiksyen dewasa, dan bahan bacaaan umum yang lain.
Pada masa yang sama, saya menjadi editor sambilan yang menyunting dan mempruf manuskrip terbitan anak syarikat PTS Media Group yang lain untuk produk buku motivasi, fiksyen dewasa, dan bahan bacaaan umum yang lain.
Kadangkala saya terfikir
bagaimana saya mampu bertahan dalam bidang penerbitan buat satu
tempoh sedangkan saya bermula dengan tangan kosong. Sesungguhnya, semua ini
berlaku dengan izin Allah dan kerana minat yang mendalam.
Langit tidak selalu cerah.
Sampai satu tahap, saya terasa menulis itu sesuatu yang sukar. Lalu, dua
tahun kebelakangan ini, saya berhenti menulis. Sebab itu juga dua blog saya sebagai penulis sudah lama tidak dikemas kini. Saya hanya menumpukan
kepada kerjaya sebagai editor.
Pada November 2012, saya
memberanikan diri untuk mencuba bidang lain pula, iaitu sebagai
eksekutif jualan di anak syarikat PTS Media Group yang lain. Namun,
pada Februari 2013, saya terpaksa berhenti kerja kerana urusan
peribadi.
Kini, saya mahu kembali.
Blog ini adalah langkah seterusnya untuk merealisasikan impian saya.
Bekerja dalam bidang yang saya suka dari rumah.
Di blog ini, saya akan berkongsi pengalaman saya kepada semua di luar sana yang berkongsi
impian yang sama; mahu bergelar penulis.
Saya mungkin bukan penulis
yang bagus, tetapi bonus untuk saya kerana berpengalaman sebagai
penulis dan editor. Oleh itu, tulisan di blog ini adalah dari kaca
mata seorang penulis dan editor.
Menulis mungkin mudah bagi
sesetengah daripada kita terutama yang ada minat yang mendalam.
Namun, cukupkah sekadar minat? Benarkah tanpa bakat kita
tidak boleh bergelar penulis? Adakah manuskrip yang kita tulis
disukai dan akan diterbitkan oleh salah satu daripada puluhan
penerbit di luar sana? Ataupun tulisan kita hanya syok sendiri?
Saya berharap blog ini
akan memberikan tip-tip dan idea kepada kita semua untuk menulis
manuskrip yang berpotensi diterbitkan.
Tulisan saya akan lebih cenderung kepada buku fiksyen. Namun saya tetap akan berkongsi sedikit pengetahuan yang saya ada dan maklumat daripada rakan-rakan editor berkenaan penulisan buku umum (bukan fiksyen).
Tulisan saya akan lebih cenderung kepada buku fiksyen. Namun saya tetap akan berkongsi sedikit pengetahuan yang saya ada dan maklumat daripada rakan-rakan editor berkenaan penulisan buku umum (bukan fiksyen).
Salam perkenalan dan terima kasih saya
ucapkan kepada yang sudi mengunjungi blog ini dan membaca tulisan
saya.
Selamat mengejar pelangi!
As salam...
ReplyDeleteEntry yang sgt menarik bg saya yg baru nk menapak dlm bidang ini. Kebetulan saya jg dari bidang sains. Minat menulis. Saya cuba-cuba taip dulu apa saja yang ada dalam minda di blog saya walaupun bagi orang lain hanya merapu-rapu ntah apa-apa. Saya berharap byk ilmu y dpt sy belajar di sini.
Asalamualaikum? salaam perkenalan puan,tahniah entry yang simple tetapi menarik, Doa kejayaan dari saya untuk puan semoga saya pun dapat belajar sesuatu tentang cara penulisan puan .terima kasih.
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi singgah di blog saya dan memberi komen. Semoga perkongsian di blog ini bermanfaat kepada kita semua. :)
ReplyDelete