Perpisahan Sementara
Pejam celik Ramadan akan muncul lagi.
Sama ada kita sempat ataupun tidak menjadi tetamu Ramadan, belum
pasti lagi. Yang pasti, Ramadan kali ini (kalau saya berkesempatan
melaluinya), adalah tahun pertama akan saya lalui tanpa seorang yang
saya panggil Mak. Ibu saya kembali kepada-Nya pada 19 Mei yang lalu
selepas 13 bulan berjuang melawan kanser.
Sebenarnya walau apa pun yang saya
katakan, saya tidak pernah bersedia kehilangan ibu saya. Walaupun
selepas melihat keadaan beliau yang semakin uzur dua bulan sebelum
pemergian beliau. Walaupun selepas saban hari saya dan adik-beradik
berdoa supaya Allah berikan yang terbaik kepada beliau; sama ada
sembuhkan penyakit beliau ataupun ambillah nyawa beliau dalam keadaan
paling mudah supaya beliau tidak terus diuji dengan kesakitan.
Saya merelakan pemergian beliau kerana
percaya itu yang terbaik. Tetapi, saya tetap rindu beliau. Ada kala,
saya seperti terlupa, lalu terlintas mahu menelefon beliau. Sudah
jadi rutin saya selalu menelefon beliau untuk mendengar cerita
beliau. Ibu saya, semasa sihat, memang suka bercakap. :)
Ibu saya adalah sebab utama saya
berhenti kerja. Dan tidak sekali saya kesal dengan keputusan saya.
Sebaliknya, saya rasa terkilan kerana masa saya bersama beliau
tidaklah lama pun. Walaupun saya berhenti bulan Februari, tetapi
waktu itu saya masih mengalami alahan yang teruk. Mahu menjaga diri
sendiri pun sukar. Kemudian apabila sudah pulih, tanggungjawab
sebagai isteri pula membuatkan masa saya bersama ibu terhad.
Kebetulan suami saya cuti sebulan lebih. Namun, saya berterima kasih
kepada suami kerana memahami. Saya berulang, tidur di rumah kakak
beberapa hari dalam seminggu dan pulang menemani suami yang ketika
itu bercuti beberapa hari dalam seminggu. Itulah rutin saya sehingga
suami kembali bekerja. Barulah saya dapat menghabiskan masa
sepenuhnya di rumah kakak untuk menemani ibu.
Lebih saya terkilan, saya sering hilang
sabar apabila ibu tidak mahu makan ubat. Oh, manalah saya tahu masa
beliau kian hampir. Kalaulah saya tahu, tidak sesekali saya
meninggikan suara, jauh sekali rasa hampa, terkilan, dan marah. Waktu
itu, saya hanya merasakan Mak sudah mula putus asa dan itu buat saya
kecewa.
Sehingga kini, air mata pasti bergenang
dan menitis. Sayu pandangan mata Mak pada hari-hari terakhir beliau
kekal dalam ingatan. Saya cuma berharap Mak tahu yang saya sayangkan
dia, malah dalam dunia ini, Mak adalah orang yang paling saya sayang.
Saya juga berharap Mak maafkan atas segala kelemahan dan dosa saya
sepanjang kami hidup bersama.
Al-Fatihah untuk Hajah Zairiyah Haji
Kasim. Semoga Mak ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Semoga
terlepas daripada seksa kubur dan azab api neraka. Semoga dimasukkan
ke dalam Syurga Firdaus dan semoga kami dapat berkumpul di sana
kelak. Amin.
Kepada yang masih ada ibu, hargailah
ibu kita. Walaupun kita sudah bekeluarga, ada suami, ada anak, jangan
sesekali mengabaikan ibu kita. Walaupun kita tidak seiringan
pendapat, jangan sesekali memencilkan ibu kita. Baik ataupun buruk,
dia ibu yang melahirkan kita. Jangan menyesal di kemudian hari.
Kepada yang sudah tiada ibu, mari kita
sama-sama mendoakan ibu kita supaya sentiasa dalam perlindungan
Ilahi. Al-Fatihah, Yasin dan tahlil adalah pengubat rindu seorang
anak. Semoga kita tidak lupa meluahkan kerinduan kita melalui amalan
kita. Insya Allah....
Sekarang saya perlu meneruskan hidup.
Faktor utama saya berhenti kerja sudah tiada. Namun, ada faktor lain
pula yang insya Allah akan muncul ke dunia pada penghujung bulan Ogos
ini. Sebab itu saya tersepit antara mahu kembali makan gaji ataupun
mampu bekerja sendiri dari rumah. Dan sekarang, saya dalam usaha
mencuba bekerja dari rumah. Saya berharap percubaan saya ini akan
membuahkan hasil.
Setiap daripada kita mempunyai alasan
tersendiri mengapa kita mahu apa yang kita mahu. Walaupun sebabnya
berbeza, tetapi sekiranya kemahuan kita sama, marilah sertai saya dan
bantu saya juga. :)
Caranya mudah sahaja. Beli e-book
daripada saya di ADALAH RUMAH BUKU ONLINE ataupun sertai kelas asas blog.
Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Marilah kita sama-sama mengejar pelangi!
No comments:
Post a Comment