Saturday 29 June 2013

Proposal Karya Fiksyen (bahagian 1)



Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Seperti dalam entri terdahulu, sudah dimaklumkan ada sesetengah penerbit hanya mahukan bakal penulis menghantar proposal atau kertas cadangan untuk saringan peringkat satu. Setiap penerbit mempunyai permintaan berbeza. Untuk kepastian, layari laman web ataupun hubungi terus penerbit melalui e-mel mahupun panggilan telefon.

Walau bagaimanapun, berikut adalah antara item penting yang perlu dimasukkan dalam sesebuah proposal karya fiksyen.

  1. Cadangan judul:
    Perlu diingat dan dan difahami, sebagai penulis, kita berhak memberi cadangan judul. Namun, penerbit juga berhak menolak dan mencadangkan judul lain yang dirasakan sesuai dan menepati kehendak pasaran. Tidak perlu terbeban memikirkan soal judul dahulu. Berikan dahulu yang kita dapat fikirkan. Paling utama, pastikan proposal kita diterima terlebih dahulu. Kita ada tempoh yang panjang memikirkan judul buku kita kelak kalau kita rasa tidak cukup catchy dan sebagainya.

  2. Anggaran muka surat/halaman:
    Setiap penerbit mempunyai kriteria tersendiri dalam penentuan jumlah muka surat yang sesuai untuk satu-satu jenis produk. Contohnya ketebalan novel dewasa pastilah tidak sama dengan atau lebih berbanding novel kanak-kanak. Kita boleh meletakkan anggaran muka surat manuskrip kita berdasarkan kriteria penerbit. Sekiranya tidak sesuai editor akan maklumkan.
  1. Watak dan pengenalan watak:
    Ini adalah elemen yang penting yang harus ada dalam proposal fiksyen.
    Senaraikan watak-watak utama dan watak pembantu ataupun sampingan. Tidak semestinya perlu senaraikan semua watak. Yang penting, watak utama dan beberapa watak pembantu yang menggerakkan cerita disenaraikan.
    Senaraikan juga pengenalan watak iaitu:
    - Latar belakang watak seperti usia, berasal dari keluarga sederhana dan sebagainya.
    - Karakter (sikap) seperti baik hati, periang, pendiam, dan sebagainya.
    - Fizikal watak seperti tinggi, rendah, kurus, dan sebagainya.
    - Hubungan antara watak seperti adik-beradik, kawan baik, dan sebagainya.

  2. Sinopsis lengkap:
    Boleh ditulis dalam satu hingga tiga muka surat. Apabila dikatakan lengkap, ini bermaksud ia perlu mengandungi keseluruhan jalan cerita dari awal hingga akhir bagi memudahkan editor menilai. Namun, jangan risau. Kita masih boleh membuat perubahan semasa proses penulisan. Katakan proposal kita diterima, semasa proses penulisan manuskrip berjalan, kita mendapat idea yang lebih baik untuk dimasukkan sekali gus, akan ada perubahan pada jalan cerita. Ia boleh dilakukan, dengan syarat, pastikan idea itu menjadikan cerita yang ditulis lebih menarik, dan bukan sebaliknya.

Baiklah, saya berhenti dahulu untuk hari ini. Lenguh jari-jemari menaip. :)
Ada empat lagi item yang biasanya diletakkan dalam proposal karya fiksyen. Satu daripada empat item itu sangatlah penting dalam proses penilaian/saringan peringkat satu ini. 
Apakah item itu? Nantikan entri seterusnya daripada saya. :)


Selamat menulis. Marilah kita sama-sama mengejar pelangi.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...