Teks oleh: Mazlia Murat
Tip 1: Pastikan proposal atau kertas
cadangan yang dihantar lengkap dan menepati kriteria penerbit.
Mendekati penerbit dengan menghantar
proposal (untuk penerbit yang mahukan proposal terlebih
dahulu) adalah langkah pertama kita untuk bergelar penulis. Langkah
ini penting kerana ia akan membuka jalan ataupun menutup jalan kita.
Dalam entri kategori proposal, sudah
dinyatakan antara item penting yang perlu ada dalam satu-satu
proposal. Namun, lebih elok kita mendapatkan kepastian daripada
penerbit terlebih dahulu apakah maklumat yang perlu dimasukkan dalam
proposal kita. Lain penerbit lain cita rasanya. Dapatkan maklumat ini
di laman web ataupun hubungi terus penerbit untuk kepastian.
Mengapa ini penting?
Menyediakan proposal yang menepati
permintaan penerbit adalah langkah pertama supaya kewujudan dan
hasrat kita disedari oleh penerbit. Sekiranya kita hentam kromo,
menghantar maklumat tidak lengkap, ada dua kemungkinan akan berlaku.
Pertama, proposal kita akan ditolak
mentah-mentah. Alahai! Bukankah mengecewakan kalau proposal kita
ditolak kerana kesilapan yang remeh? Ini pastinya mengugah semangat
kita yang sedang berkobar-kobar. Silap hari bulan, terus terkulai layu
dan tidak bangkit semula.
Kedua, editor yang baik hati akan
memaklumkan kepada kita yang maklumat yang kita hantar tidak lengkap.
Maka akan berlakulah proses menghantar e-mel berulang kali. Ini akan
melambatkan proses penilaian atau saringan peringkat pertama.
Kita perlu ingat, tugas editor bukan hanya
perlu melayan kita seorang. Lainlah kalau tugasnya hanya menunggu dan
memberi respons kepada e-mel kita. Ada ramai lagi yang mencuba nasib seperti kita. Itu belum lagi tugas lain untuk menguruskan manuskrip yang dalam proses penerbitan.
Bayangkan hari ini kita hantar e-mel,
mungkin dua, tiga hari, malah mungkin seminggu menunggu, baru ada
respons. Tetapi respons yang diberikan sungguh mengecewakan. Kita diminta menghantar
semula proposal dengan maklumat-maklumat tambahan. Proses menunggu
peringkat satu akan bermula semula.
Bukankah ini hanya membuang masa?
Sebagai bakal penulis, sudah pasti kita sudah tidak sabar-sabar
mahukan respons editor berkenaan proposal kita. Jadi, mainkan peranan
kita dengan betul! Selagi ada ruang, jimatkan masa kita dan editor!
Insya Allah, akan ada banyak lagi tip
untuk dikongsikan.
Selamat menulis. Marilah kita sama-sama
mengejar pelangi!
No comments:
Post a Comment