Teks oleh: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah
lagi maha mengasihani.
Sebelum ini, saya sudah menyenaraikan
empat item yang biasanya perlu ada dalam proposal yang kita hantar
kepada penerbit. Dalam empat item itu, yang paling penting pastinya
sinopsis dan watak serta perwatakan. Bagaimana? Sudah menulis
sinopsis ataupun masih di awang-awangan?
Hari ini, seperti yang dijanjikan, di
dalam entri ini, ada empat lagi item yang biasanya dimasukkan dalam
proposal karya fiksyen. Item yang pertama dalam bahagian kedua ini adalah sangat penting,
pastikan ia dilampirkan dalam proposal kita.
- Contoh bab:Lampirkan bersama contoh bab untuk manuskrip kita. Sekurang-kurangnya dua bab ataupun tiga, bergantung pada kepanjangan setiap bab. Dianggarkan satu bab biasanya sekitar 1 hingga 10 halaman. Kalau hanya lima muka surat, hantar lebih bab. Ini penting supaya editor dapat menilai gaya olahan kita. Dapatlah komen awal untuk penambahbaikan diberikan. Tidak semestinya bab pertama dan mengikut urutan. Yang penting, kita tulis dengan baik (lebih tepat: menarik) kerana gaya olahan adalah elemen penting yang menentukan proposal kita diterima ataupun ditolak.
- Sasaran pembeli/pembaca:Apabila kita merancang satu-satu manuskrip, sepatutnya kita sudah meletakkan sasaran golongan yang akan membeli ataupun yang membaca buku kita. Adakah kita sasarkan kepada ibu bapa untuk membeli untuk bacaan anak-anak. Ataupun remaja dan orang dewasa yang ada kuasa membeli yang akan membeli dan membaca buku kita? Penentuan ini pastinya bergantung pada genre yang kita mahu tulis.
- Senarai buku sedia ada dalam pasaran yang menjadi pesaing:Item ini juga lebih penting untuk karya bukan fiksyen. Tidak perlu senaraikan semua. Cukup beberapa judul daripada genre yang sama yang mungkin ada persamaan tema dan sebagainya. Ini menunjukkan kita sedar dan mengambil tahu pasaran.
- Kelebihan manuskrip yang dicadangkan:Item ini juga lebih penting untuk karya bukan fiksyen. Namun, untuk karya fiksyen, biasanya kita ulas kelainan yang ada dalam manuskrip kita berbanding produk sedia ada dalam pasaran yang berkongsi sasaran pembaca yang sama. Mungkin tema, jalan cerita ataupun gaya olahan yang berbeza, dan sebagainya.
Maka dengan ini, lengkap sudah saya
senaraikan lapan item yang biasanya perlu ada dalam sesebuah
proposal. Suka saya tekankan sekali lagi, ini hanyalah huraian saya
secara umum. Untuk lebih tepat, pastikan dahulu apa yang dikehendaki
oleh penerbit kerana setiap penerbit mempunyai cara berbeza. Dapatkan
maklumat di laman web ataupun hubungi terus penerbit.
Semoga senarai saya ini membantu
memberi gambaran bagaimana sesebuah proposal karya fiksyen
dihasilkan.
Selamat menulis. Marilah kita sama-sama
mengejar pelangi!
No comments:
Post a Comment