Teks oleh: Mazlia Murat
Sumber foto: Portal PTS
Tip 2: Penulisan yang syariah compliant
Dengan nama Allah yang maha pemurah
lagi maha mengasihani.
Saya mengenali konsep ini ketika
bekerja di PTS Media Group. Ia menjadi satu daripada dasar PTS. Semua
buku yang diterbitkan, sama ada fiksyen mahupun umum, perlulah
dipastikan mengikut syariah.
Ini kerana, semua pihak yang terlibat
dalam penghasilan dan penjualan sesebuah buku termasuklah penulis,
editor, pereka grafik, eksekutif jualan, malah pemilik sesebuah
syarikat penerbitan memikul tanggungjawab sosial dan agama.
Walaupun mahu mengaut keuntungan (kalau
penulis melalui royalti), kita perlu memikirkan hukum-hakam agama.
Sebagai penulis, ada kesalan dalam hati
saya. Novel yang saya hasilkan tidaklah mempunyai adegan melampau
sehingga boleh menaikkan nafsu ataupun menggalakkan orang berzina.
Namun, masih ada banyak perkara yang diambil mudah.
Sebagai contoh, ada satu adegan
bersentuhan, konon-konon mahu si gadis menangis kecewa lalu bersandar
pada bahu lelaki yang bukan mahram. Begitu juga dengan adegan lelaki
dan perempuan bukan mahram yang keluar berdua-duaan. Alahai...
kalaulah saya lebih teliti.
Trend masa kini, banyak novel cinta
yang diadaptasi ke filem, telefilem, mahupun drama bersiri. Sebagai
penulis, pasti yang terpilih berasa teruja dan gembira. Sebenarnya
trend ini bagus kerana ia satu bentuk promosi sekali gus membantu
menaikkan kembali jualan sesebuah novel.
Namun, saya tertanya sendiri, adakah
seseorang penulis berdosa apabila ada adegan bersentuhan dalam filem,
telefilem, mahupun drama yang dihasilkan berdasarkan novel karyanya
itu? Persoalan yang saya tidak ada jawapannya.
Ada orang kata, bukan novel cinta kalau
tiada adegan mesra, sekurang-kurangnya bertemu berdua. Ada orang
kata, oh, itu novel cinta Islami.
Ada pula orang kata, saya tidak layak
menulis novel cinta Islami. Saya bukannya tahu mahu memasukkan hadis
mahupun ayat Al-Quran dalam tulisan saya.
Banyak orang, maka banyaklah pendapat
berbeza.
Hakikatnya, untuk menjaga hukum-hakam,
tidak semestinya perlu menulis novel cinta Islami, novel sejarah, dan
sebagainya. Novel cinta popular pun masih boleh ditulis berlandaskan
syariah. Yang penting, kemahuan penulis, dan kepandaian mengolah jalan cerita.
Waktu-waktu terakhir saya di PTS One,
saya sempat terlibat dalam penerbitan satu novel.
Novel ini temanya K-Pop. Ada tiga
watak, seorang perempuan yang mengejar impian, dan berkenalan dengan
dua lelaki yang berbeza karakter. Seorang lelaki budiman yang baik
dengannya dan seorang lagi menjengkelkan. Ya, temanya biasa. Namun,
bukankah itu yang disukai oleh ramai peminat tegar K-Pop dan pembaca
novel?
Saya akan kupas tentang tema dalam
entri lain.
Apa yang ingin saya katakan di sini,
penulis berjaya menulis dengan menjaga isu syariah dengan baik, pada
masa yang sama, masih ada ‘sweet
moments’ dalam tulisannya.
Penulis berpengalaman menulis novel
cinta sebelum ini. Dari kaca mata seorang editor, saya menilai
penulis sebagai seorang yang berbakat kerana gaya olahannya yang
santai dan menarik. Beliau pandai mengolah ayat menjadi sedap dibaca.
Mungkin bagi sesetengah daripada kita,
adegan ber-dating bukanlah isu besar pun. Bukannya kita menggalakkan
maksiat. Saya juga fikir begitu. Namun, daripada sudut lain, bukankah
secara tidak langsung kita mengatakan, adalah okey untuk pembaca
keluar berdua-duaan dengan teman lelaki, menonton wayang, makan malam
bersama, dan sebagainya? Sekali lagi, saya tidak pasti, adakah ia
berdosa.
Yang pasti, kita menulis kerana minat
dan untuk mendapatkan rezeki yang halal. Jadi, eloklah kita
berjaga-jaga. Saya tidak mampu mengubah apa yang sudah saya tulis
sebelum ini. Namun, saya mampu mengubah apa yang bakal saya tulis.
Bagaimana pula dengan penulis dan bakal
penulis di luar sana?
Selamat menulis. Marilah kita
bersama-sama mengejar pelangi.
No comments:
Post a Comment