Wednesday 17 July 2013

Wajarkah Menelefon Editor (Wakil Penerbit)?


Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Baik bakal penulis mahupun penulis lama, kadangkala kita terlalu teruja apabila bercakap soal manuskrip. Apabila kita ada soalan mahu ditanya kepada editor, kita selalunya mahukan jawapan on the spot. Tidak boleh tunggu, jangankan sehari, lima minit pun terasa lama. Sakit kepala dibuatnya kalau bertangguh.

Lalu, kita akan terus menelefon editor sehinggakan kadangkala kita terlupa melihat waktu kita membuat panggilan telefon itu.
Saya penulis. Saya memahami rasa teruja itu.
Saya juga pernah menjadi editor. Lantas saya juga memahami perasaan orang yang menerima panggilan pada waktu yang kurang sesuai untuk soalan yang pada saya tidaklah penting sangat (penting kepada kita sebagai penulis, tetapi mungkin kurang penting kepada editor).

Dahulu, saya pernah berhadapan dengan kerenah penulis yang beberapa kali menghubungi saya pada waktu maghrib (pernah berturutan beberapa hari), untuk berbincang tentang manuskripnya. Tidak, ia bukan perbincangan yang tidak dapat ditangguh ke esok hari. Ia perbincangan seorang penulis yang terlalu teruja. 

Sampai satu tahap, saya tidak menjawab panggilan itu, sebaliknya menghantar SMS bertanyakan sebab dia menelefon, memohon maaf kerana tidak dapat menjawab dan memaklumkan saya mahu bersolat dahulu.
Saya kira tindakan saya itu masih pada kadar baik, ada editor sampai terus tutup telefon kerana tertekan.
Mengapa editor tertekan?

Saya kongsikan pengalaman saya. Editor lain pasti ada sebab masing-masing.
Rumah sewa saya ketika itu jauh dari pejabat. Ditambah dengan jalan yang selalu sesak. Waktu kerja tamat pukul 5.45 petang. Biasanya saya keluar pejabat sekitar 5.45 petang hingga 6,15 petang. Kalau ada kerja mendesak, lewat sedikit. Kalau jalan sesak pada kadar biasa, saya akan sampai rumah selepas 45 minit hingga 1 jam. Kalau luar biasa pernah hampir 3 jam. Senang cakap, saya akan sampai di rumah sekitar maghrib kalau kesesakan pada kadar biasa.

Bayangkan perasaan saya, sudahlah penat bekerja dari jam 9 pagi hingga 5,45 petang (tidak termasuk masa perjalanan pergi dan balik). Sampai di rumah, belum sempat berehat, sudah ada panggilan telefon kerana urusan kerja yang boleh ditangguh. Tidakkah itu menambah stres?

Kesimpulannya, elakkan menghubungi editor selepas waktu pejabat. Kalau pada waktu pejabat pun, kurangkan kalau tiada keperluan mendesak.

Kalau ada kecemasan pun (di luar waktu pejabat), gunakan SMS sahaja. Contohnya, kita sudah menghantar pruf penulis, tiba-tiba menyedari ada kesilapan kita terlepas pandang dan bimbang editor terlepas pandang juga.

Memandangkan kita bimbang buku akan dihantar ke pencetak tanpa kesalahan itu dibaiki, kita boleh SMS maklumkan. Ataupun kita maklumkan yang kita sudah e-mel kesalahan yang dimaksudkan (jika banyak dan terlalu panjang mahu ditulis dalam SMS).

Kalau perlu juga bercakap (di luar waktu pejabat), SMS dahulu, bertanyakan sama ada kita boleh menghubungi editor ataupun tidak. Tidak salah kalau kita menggunakan bahasa yang sopan.

Panggilan telefon adalah salah satu daripada pelbagai sumber stres yang dialami oleh editor. Panggilan telefon selepas waktu pejabat menyebabkan editor berasa dirinya ‘didesak’ dan ‘diarah-arah’ oleh penulis. Ini merosakkan perasaan suka editor kepada pemanggil (penulis).

Lebih elok kita kurangkan menelefon editor. Penggunaan SMS/Wassap/Messenger dan e-mel lebih digalakkan kerana kaedah-kaedah ini memberi fleksibiliti kepada editor bila dan bagaimana mereka mahu memberi respons kepada kita. 

E-mel adalah alat komunikasi yang paling efektif bagi menjaga hubungan penulis dengan editor. Ini kerana dalam e-mel, penulis boleh memulakan dengan doa, ucapan terima kasih dan penghargaan kepada editor. Bukanlah untuk mengampu, tetapi apa salahnya kita menjaga hati editor.

Bukankah elok kita berbudi bahasa dan bersopan dengan editor. Editor adalah wakil penerbit (rakan kongsi) yang penting. Editor bukan orang suruhan penulis. Bukankah apabila editor selesa dengan kita, maka akan memudahkan proses kerjasama?

Mungkin kerana keselesaan itu, buku kita diuruskan dengan cepat dan tanpa masalah. Emosi walau apa pun, tetap mempengaruhi prestasi kerja seseorang.

Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi. 


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...