Monday 15 July 2013

Tulisan Adalah Gambaran Diri Kita


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


E-mel 1:

Hi. Kita nak tny, camne ye nak jadi penulis? Kita nak sgt jd penulis tp xtau nk mule camne.


E-mel 2:
ASSALAMUALAIKUM. SAYA MAHU JADI PENULIS. TOLONG HUBUNGI SAYA SECEPAT MUNGKIN. 


Apabila kita menulis e-mel kepada penerbit, sama ada meninggalkan mesej di ruang pertanyaan di laman web mahupun menghantar terus kepada jabatan editorial, pastikan kita menulis:

1. Menggunakan ayat yang teratur dan ejaan penuh. 

2. Semak tatabahasa kita supaya tiada kesalahan. 

3. Jangan menggunakan huruf besar kecuali pada tempat yang betul dan perlu (awal ayat, kata nama khas dan lain-lain) apatah lagi menggunakan warna merah untuk font.

4. Tulis dengan bahasa yang sopan.


Dalam erti kata lain, menggunakan bahasa Melayu standard. Biarlah e-mel itu kelihatan formal.

Mengapa?

E-mel pertama yang kita hantar memberi gambaran awal tentang kita.

Bagaimanakah pandangan editor yang membaca e-mel kita? Adakah e-mel ini memberi gambaran yang baik tentang kita?

Kita mahu menjadi penulis tetapi menulis e-mel pun cacamarba; ayat tunggang-langgang dan banyak kesalahan ejaan. Editor akan membuat kesimpulan manuskrip yang dihantar nanti tentulah akan mengandungi banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa. Ini akan menjadi beban kepada editor kerana terpaksa melakukan banyak kerja pembetulan.

Bagaimana pula kalau ayat yang kita gunakan kasar dan seolah-olah kita bertanya dalam keadaan marah ataupun angkuh? Ini akan memberi gambaran kita sukar diurus dan pasti mendatangkan masalah kepada editor.

Penulisan e-mel yang baik bukan hanya perlu dalam e-mel pertama tetapi sepanjang proses komunikasi.

Tip komunikasi dengan penerbit/editor akan dikupas dalam entri lain.


Selamat menulis.

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...