Friday 5 July 2013

Tip 3 Penulisan Karya Fiksyen


Teks oleh: Mazlia Murat
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Tip 3 - Penentuan Nama Watak

Bagaimana nama satu-satu watak ditentukan?

Pemilihan nama watak terpulang kepada penulis.
Selalunya ia diputuskan oleh beberapa faktor kerana keterujaan sebagai penulis:
  1. Ada yang mahu mengabadikan nama kawan-kawan sebagai watak dalam karya mereka.

  2. Ada yang menggunakan nama orang yang dibenci untuk watak jahat.
  3. Ada yang mencari nama-nama dalam buku agama; yang ada makna yang baik-baik.
  4. Ada yang terbaca di mana-mana terus suka dengan nama itu.

Perlukah dimaklumkan ataupun minta kebenaran guna nama orang yang kita kenal?

Nama tiada copryright. Sesiapa sahaja boleh guna nama itu. Tiada akta khusus yang mengatakan kita perlu minta kebenaran (maksud saya nama orang biasa-biasa seperti kita ya. Tidak tahulah pula ada orang yang namanya sudah didaftar). 
Tetapi mungkin, kita mahu beritahu apabila kita sengaja guna nama kawan baik kita dan sebagainya.
Untuk watak jahat pula, seeloknya dielakkan menggunakan nama orang di sekeliling, bimbang salah fathom wujud.
Kesimpulannya, tiada peraturan khusus untuk memilih nama watak. Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan:

  1. Nama yang realistik.
    Janganlah pilih nama yang terlalu bombastik kerana ada pembaca tidak suka; susah menyebut, mengingat ataupun nampak tidak real. Senang cakap nama itu terlalu 'cantik'.

  2. Mengikut kesesuaian karakter.
    Sesetengah nama selalunya secara automatik sudah dikaitkan dengan satu-satu karakter.
    Contohnya, apabila guna nama Badrul; selalunya dibayangkan lelaki itu playboy. Manakala nama Muhammad Taufik seperti nama orang baik-baik. Ini hanya contoh persepsi yang timbul).
  3. Perbincangan dengan editor.
    Ada keadaan di mana editor akan meminta nama watak ditukar kerana faktor kesesuaian.
    Antara faktornya:
    - Mungkin nama yang digunakan itu terlalu moden berbanding perwatakan (kecuali disengajakan).
    - Mungkin juga banyak sangat nama watak dalam novel itu kedengaran sama; contohnya hampir kesemua nama bermula huruf A dan sebagainya.
    - Nama yang terlalu panjang juga akan menimbulkan masalah kerana susah mahu mengingat.
    - Nama yang tidak menggambarkan bangsa dan agama satu-satu watak melainkan memang penulis ada sebab yang konkrit dan dijelaskan dalam cerita.
  4. Meletakkan nama orang yang kita benci sebagai watak jahat, adalah tindakan yang berisiko.
    Sebabnya, novel kita akan dicetak berulang kali(kalau mendapat sambutan). 
    Katakan selepas dua tahun, kita sudah berbaik dengan orang itu, mungkinkah kita akan rasa kesal kerana menggunakan nama dia sebagai sejahat-jahat manusia dalam novel kita?

    Tepuk dada, tanya selera.

    Selamat menulis.
    Marilah bersama-sama mengejar pelangi. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...