Wednesday 16 October 2013

Menyepi...


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Lebih kurang tiga bulan blog ini ditinggalkan sepi. Sengaja, kerana ada perkara lain yang menuntut perhatian.
Hari ini, saya menarik nafas, dan memulakan semula langkah dengan basmallah. Semoga langkah ini perlahan tetapi tidak lagi terhenti.

Bermacam-macam perkara yang berlaku dalam tempoh tiga bulan ini.

Bulan pertama menyepi... Ramadan. Hati diusik rindu yang menggunung kepada mak. Ditambah dengan keadaan fizikal yang semakin lemah. Begitulah... apabila emosi terganggu, fizikal juga terganggu. Lalu saya malas mahu memikirkan soal kerja. Kalau dikemas kini blog, tulisan saya pastinya merapu. Jadi menyepi pilihan terbaik.

Kemudian, dengan izin Allah, saya berjaya melahirkan anak perempuan. Namun, prosesnya juga mendatangkan trauma kepada saya. Kalau ditanya, sudah pasti saya gembira dan bersyukur. Tetapi, hingga kini, saya masih takut memikirkan kesakitan yang saya tempuh. Proses berpantang juga, bermacam ujian didatangkan. Bukan mengeluh... namun untuk menghadapinya, saya menutup fikiran saya tentang hal lain; kerja dan duit. Saya mahu fokus kepada menghadapi dunia baru dengan setiap hari didatangkan cabaran baru. Soal lain, biarkan dahulu.

Alhamdulillah... saya masih belajar. Oh, setiap hari masih belajar mengurus dunia baru dengan anak kecil. Sekarang masa untuk back to reality. Hidup saya bukan sekadar ada anak kecil untuk dijaga. Saya ada blog untuk dikemas kini. Hoho....

Dan... saya ada kerjaya yang mahu dibina dengan harapan ia bukan sahaja mendatangkan keuntungan dunia tetapi juga bekalan untuk akhirat. Insya Allah.

Walaupun saya menyepi, sesekali saya masih mengambil tahu perkembangan terkini alumni penulis dari rumah. Wah... semakin ramai yang bergelar wham. Sungguh mengagumkan. Malah, mereka sudah jauh meninggalkan saya. Tidak mengapa, semua ini rezeki masing-masing.

Kepada yang belum memulakan langkah... mari kita melangkah bersama. Kita hanya perlukan sedikit keberanian dan usaha berpanjangan. Insya Allah.

Anak saya... namanya Naurah Amni. :)

Marilah kita bersama-sama mengejar pelangi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...