Teks: Mazlia Murat
Sebelum ini, saya merancang mahu menulis kisah motivasi dalam bentuk cerita pendek dan mahu menghantar kepada penerbit dengan harapan dapat diterbitkan. Walau bagaimanapun, rancangan saya terhenti di pertengahan jalan kerana kekurangan idea. Semoga selepas ini saya dapat menulis kembali.
_______
“Awak tidak rasa
sayang? Bukan mudah mencari wang, kemudian senang-senang orang lain
mahu minta.” Sengaja saya menanyakan soalan itu usai Rania
memberikan wang RM10 kepada seorang budak yang datang menjual
kalendar. Mahu menduga apa yang ada dalam fikiran Rania.
Menggeleng Rania
apabila ditanya begitu. Dalam senyum, dia menyoal kembali, “Mengapa
pula saya perlu rasa sayang? Duit itu bukan milik saya. Ia hanya
dipinjamkan kepada saya oleh Pemiliknya. Saya sangat percaya pada
ajaibnya sedekah. Lagipun, ia umpama terapi untuk saya. Dengan
memberi, saya rasa gembira. Bukankah tangan yang memberi itu lebih
mulia daripada tangan yang menerima?”
“Apa maksud awak
dengan ajaibnya bersedekah?” Saya merenung wajah Rania yang terus
manis dengan senyuman. “Mungkinkah ada sesuatu pernah berlaku?”
soal saya kemudiannya.
Pantas Rania
mengangguk. “Ya, ada sesuatu berlaku. Sesuatu yang menyebabkan saya
sangat percaya yang dengan memberi wang yang kita ada kepada orang
lain tidak akan mengurangkan wang yang kita miliki, jauh sekali
membuatkan harta kita berkurang ataupun kita jatuh miskin.” Tenang
dia menuturkan kata-kata itu. Tergambar keyakinan yang mendalam pada
kepercayaannya itu.
Lalu, saya terus
mendesak, tidak sabar mahu mendengar kisahnya. “Boleh kongsikan
dengan saya?”
Rania tersenyum
lagi. “Sebenarnya kisah yang berlaku pada saya ini, kisah biasa.
Mungkin ramai di luar sana yang pernah melalui perkara yang sama. Ia
berlaku semasa saya tamat tingkatan lima. Saya datang daripada
keluarga yang susah. Wang adalah benda berharga kepada saya. Waktu
itu saya ke rumah bapa saudara saya. Tinggal di sana selama sebulan
kerana membantu menjaga sepupu saya. Pembantu rumah mereka bercuti
sempena Ramadan yang mulia.”
“Apa yang
berlaku?”
“Saya ke rumah
mereka dengan bekalan RM20. Dua keping not RM10. Di rumah itu, saya
tidak perlu berbelanja, jadi tiada apa yang merisaukan saya selama
dua minggu itu. Sehinggalah suatu hari….” Rania berhenti
seketika. Ah, sengaja mahu menimbulkan unsur saspens.
“Mengapa berhenti bercerita? Awak sengaja buat saya berdebar ya?” Cebikan untuk tindakan yang disengajakan itu.
“Mengapa berhenti bercerita? Awak sengaja buat saya berdebar ya?” Cebikan untuk tindakan yang disengajakan itu.
Reaksi saya itu
membuatkan Rania ketawa kecil. “Bukankah sudah saya katakan, kisah
saya biasa-biasa sahaja. Jadi, penceritaan saya perlu nampak lebih
dramatik supaya dapat menarik perhatian orang.” Tawa kecilnya
berterusan. Ah, Rania si pemilik wajah tenang dan ceria.
Di hujung sisa
tawa, dia menyambung bicaranya, “Pada hari itu, ada tangan yang
membunyikan loceng lalu diikuti suara memberi salam. Pada mulanya
saya hanya menjengah dari celah langsir. Seorang lelaki. Salam yang
diberi diulang. Walaupun serba salah, saya memunculkan diri.
Rupa-rupaya, lelaki itu datang meminta derma. Saya yang serba salah,
minta dia menunggu sebentar. Mahu menderma RM1 mahupun RM5, saya
hanya punya dua keping not RM10. Lalu saya ambil sekeping not RM10,
diserahkan kepada lelaki itu. Maka tinggallah saya dengan sekeping
not RM10.”
“Awak tidak perlu
berbelanja untuk berbuka puasa, bukan? Jadi, tiada apa yang perlu
dirisaukan.”
Rania tersenyum.
“Pada mulanya saya juga berfikiran yang sama. Namun, kejadian
keesokan harinya buat saya risau.”
“Kejadian apa?”
“Esoknya, lebih
kurang waktu yang sama, loceng rumah sekali lagi berbunyi. Diikuti
suara lelaki memberi salam.”
Saya semakin
tertarik. “Lelaki yang sama?”
Rania ketawa lalu
menggeleng. “Oh, tidak. Lelaki lain tetapi dengan hajat yang sama.
Meminta derma.”
Dalam fikiran, saya
cuba meneka tindakan Rania serentak soalan yang diajukan, “Lalu,
apa yang awak lakukan?”
“Saya minta dia
tunggu sebentar, saya ambil kepingan terakhir not RM10 yang saya ada,
lalu saya berikan kepadanya. Hanya Tuhan yang tahu betapa resah dan
gelisahnya saya ketika itu.”
“Awak berat hati
kerana awak mahu guna duit itu?”
Rania menggeleng.
Saya resah kerana saya sudah tiada wang lain. Bagaimana sekiranya
esok, ataupun lusa, datang lagi orang lain meminta derma? Apa yang
mahu saya katakan? Sekiranya saya katakan tiada duit, pasti hati yang
meminta akan hampa. Lagipun, percayakan mereka pada kata-kata saya.
Rumah pak cik saya besar, tersergam indah. Pelik pula kata tiada
duit.”
“Lantas, apa yang
awak lakukan? Awak beritahu kepada pak cik awak? Awak minta duit
daripada pak cik awak?”
Rania menggeleng.
“Malu saya mahu mengakui yang saya tiada duit. Walaupun mungkin dia
sudah dapat menjangkakannya, maklumlah seperti yang saya katakan,
saya bukan orang kaya. Namun, saya tidak mahu dikatakan mengambil
kesempatan.”
Lalu saya mengulang
tanya, “Jadi, apa yang awak buat?”
“Berdoa. Hanya
itu yang mampu saya lakukan. Setiap kali saya dihambat resah
memikirkan perkara itu, saya berdoa Tuhan permudahkan hari saya.
Semoga tiada lagi yang datang meminta derma kerana saya sudah tiada
wang mahu diberikan.”
“Bagaimana hari
berikutnya?”
“Syukur. Tuhan
mendengar doa saya. Tiada lagi yang datang meminta derma
sehinggalah….”
“Sehinggalah…
apa?”
“Beberapa hari
kemudian, loceng rumah sekali lagi dibunyikan diikuti suara salam.”
“Orang mahu minta
derma?”
Rania mengangguk.
“Seorang lagi lelaki datang membawa hajat yang sama seperti dua
orang lelaki terdahulu.”
“Apa yang awak
lakukan?”
Rania tersenyum.
“Sesungguhnya saya terkilan kerana saya sudah tiada wang yang mahu
didermakan, namun syukur kerana hari itu hujung minggu. Ibu saudara
dan adik sepupu saya ada di rumah. Saya beritahunya ada orang datang
minta derma. Lalu ibu saudara menyuruh adik sepupu saya mengambil
wang lalu didermakan kepada lelaki itu. Kata ibu saudara saya,
manalah tahu orang itu sebenarnya malaikat yang dihantar untuk
menguji manusia.”
“Apa awak katakan
kepada ibu saudara awak?”
Rania menggeleng.
“Tiada apa-apa. Saya hanya berdiam.”
“Awak tidak
ceritakan kepadanya apa yang berlaku sebelum itu?”
Rania menggeleng
lagi. “Saya malu mahu mengaku saya sudah tiada duit mahu didermakan
dan bukannya saya tidak mahu derma.”
Suasana sepi
seketika.
“Cerita belum
tamat.” Suara Rania kembali bergetar, memecah sunyi.
“Ada lagi lelaki
lain datang?”
Rania menggeleng
dalam tawa kecil. “Bukan begitu. Kisah peminta derma sudah tamat.”
“Pelik, tadi awak
kata belum tamat?”
Rania tersenyum
lagi. Dia memang suka tersenyum. “Bukankah cerita saya tadi hanya
berkisar sedekah? Belum lagi masuk bab ajaibnya sedekah.”
“Oh, ya. Jadi,
apa yang ajaibnya sedekah?”
“Sehari sebelum
dihantar pulang ke kampung, bapa saudara saya menyerahkan RM200
kepada saya. Katanya itu upah saya membantu menemankan adik sepupu
saya. Pada saat itulah, saya merasakan betapa Tuhan menjanjikan
sesuatu yang elok untuk tangan yang memberi. Duit saya yang saya
dapat adalah sepuluh kali ganda daripada yang saya hulurkan. Bukankah
itu satu keajaiban dengan izin Tuhan?”
“Sebab itu
sehingga sekarang awak suka menjadi tangan yang menghulur?”
Rania mengangguk.
“Saya sangat percaya rezeki orang yang suka memberi tidak akan
putus. Tuhan yang maha pemurah pasti menggantikannya, sama ada dengan
wang lain mahupun melalui nikmat lain. Percayalah, apabila kita
berusaha mengikhlaskan diri menghulurkan sedekah, derma ataupun
hadiah, rezeki kita, walaupun tidak mewah, dengan izinkan Tuhan,
tidak akan putus.”
“Bagaimana pula
dengan peminta sedekah yang didalangi sindiket?”
Rania tersenyum.
“Terus terang saya katakan, saya tidak mahu memikirkan perkara itu.
Memang ada masa saya serba salah, kadangkala saya tidak beri pun
kepada budak-budak ataupun orang yang meminta sedekah kerana
merasakan mereka ini diarahkan oleh sindiket, yang mengumpul kekayaan
adalah sindiket. Namun, kerap kali juga saya berasa bersalah kerana
menghampakan mereka. Jadi, saya memutuskan untuk bersangka baik.
Sekiranya benar mereka ini dihantar sindiket, maka saya mendoakan
supaya sedekah yang saya beri itu akan membantu memudahkan hari
mereka. Semoga mereka tidak dipukul ataupun didera kerana tidak
membawa pulang sebarang hasil.”
“Namun, itu hanya
pendirian saya, tidaklah pula saya kata tindakan saya betul. Saya
hanya mampu berdoa dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menilai. Semoga
niat dan perbuatan saya dinilai sebagai amal yang baik.”
Saya tersenyum
mendengar kata-kata Rania. ‘Amin’, dalam hati saya berbisik.
_______
No comments:
Post a Comment