Thursday 5 December 2013

PPN: Kategori Penulis

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Beberapa tahun menilai manuskrip yang dihantar oleh penulis daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, saya mendapati penulis ini terbahagi kepada beberapa kategori.

1. Penulis yang mempunyai banyak idea dan mempunyai gaya olahan yang menarik.
2. Penulis yang mempunyai banyak idea tetapi, mempunyai gaya olahan yang kurang ataupun tidak menarik.
3. Penulis yang tidak mempunyai banyak idea tetapi, mempunyai gaya olahan yang menarik.

Saya juga membuat kesimpulan ada sesetengah penulis memang dilahirkan dengan bakat menulis, namun ada juga yang berusaha 'mendapatkan' bakat menulis.

Untuk penulis kategori 1, tahniah. Dengan senang hati editor akan menguruskan manuskrip itu. Tetapi sertakanlah sikap yang elok supaya semakin bersemangat editor berurusan dengan kita dan memproses manuskrip kita.

Untuk penulis kategori 2 dan 3, jangan bimbang. Kelemahan ini boleh diatasi. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Penulis yang mempunyai banyak idea, tetapi kurang pandai mengolah, jawapannya mudah. Sertai kelas penulisan saya. :) (Sempat lagi promo1).

Okey, serius, penyelesaian kepada masalah ini adalah, banyakkan membaca terutama genre yang ditulis daripada banyak penulis. Dengan banyak membaca, kita akan 'melihat' gaya olahan yang berbeza. Apabila bertemu frasa/ayat yang menarik, tulis semula dalam buku nota. Ketika mahu menulis, ulang baca, ubah dan jadikan ayat itu lebih menarik. Ini juga terguna pakai apabila kita mendengar dialog yang menarik semasa menonton drama, mahupun filem.

Untuk yang tidak banyak idea, jawapannya membaca, memerhati sekeliling, menonton. Idea boleh diperoleh melalui pemerhatian kita kepada bahan bacaan, bahan yang ditonton, mahupun perkara yang terjadi di sekeliling kita. Catatkan perkara-perkara menarik dalam buku nota (ataupun telefon/laptop), ulang baca idea itu dan tapis.

Idea ada masanya datang bersama pengalaman dan pengetahuan. Kadangkala kuasa kita untuk mendapatkan satu-satu pengalaman terhad atas sebab-sebab tertentu, contohnya usia dan wang. Penulis muda pengalamannya pasti sedikit berbanding penulis yang lebih usianya. Penulis yang kaya-raya dan sering bercuti-cuti tentu lebih luas skop penceritaan yang dapat diketengahkan berbanding kita yang tidak pernah ke luar negara.

Jadi, penyelesaiannya adalah teknologi yang ada. Kita 'mengembara' melalui Internet. Baca dan tonton. Nanti apabila sudah ada royalti, kita boleh ke Korea contohnya untuk merasai sendiri pengalaman dalam drama K-Pop pujaan ramai.

Kesimpulannya, kita boleh mendapatkan bakat menulis dengan cara belajar teknik penulisan, membaca dan berlatih menulis.
Katakan kita sudah berusaha dengan cara yang betul, tetap tidak berjaya, bagaimana? Mungkin penulisan bukan tempat kita. Namun, jangan sesekali mengalah sebelum berusaha denagn mengikut langkah yang betul.


Selamat mengejar pelangi.


_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...