Monday 2 December 2013

CP: Hukum Tarikan

Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.


Malam tadi, status saya di FB berbunyi begini:

Selamat malam semua.

Tip penulisan hari ini, juga sesuai untuk semua matlamat lain.

Letakkan sasaran, bayangkan kita mencapai sasaran itu, bergerak menuju ke sasaran dengan konsisten. Biar lambat asalkan terus bergerak. Selalu bayangkan yang positif. Law of attraction.

Contoh: Kita mahu jadi penulis. Kita mahu karya kita diterbitkan. Bayangkan novel kita itu dipamerkan di rak buku. Bayangkan kita memegang novel yang tertera nama kita sebagai penulisnya. Jangan bayangkan manuskrip kita ditolak. Bayangkan yang positif sahaja.

Tetapi janganlah asyik bayangkan sahaja tanpa berbuat apa-apa untuk mencapai sasaran itu, okey.


Saya pernah melakukannya dahulu. Lama dahulu, ketika saya tidak tahu pun tentang law of attraction atau hukum tarikan. Waktu itu, saya sedang menulis novel pertama. Terus terang, saya tidak ada pengalaman menulis sebab saya bukan pelajar aliran sastera. Malah, saya menulis cerpen dan menghantar ke majalah pun selepas saya menulis novel; dalam proses pembetulan, penambaikan dan semasa menunggu novel pertama diterbitkan.

Saya masih ingat waktu itu. Saya tertekan kerana belum bekerja. Saya tulis dan tulis. Saya begitu yakin manuskrip saya akan diterbitkan. Entah dari mana keyakinan itu datang. Saya langsung tidak fikir tentang jumlah muka surat yang tidak mencukupi, olahan yang kurang menarik, jalan cerita yang hambar, mahupun masalah-masalah lain.

Apa yang saya tahu adalah manuskrip saya akan diterbitkan, novel saya akan disusun di rak buku di kedai-kedai buku. Itulah yang saya fikirkan dan bayangkan tiap-tiap hari. 

Dan itu yang saya usahakan. Saya tulis dan buat rombakan besar-besaran apabila editor suruh. Saya tidak fikir mahu mengalah ketika itu. Saya memang fikir saya akan bergelar penulis. 

Alhamdulillah, ia benar-benar terjadi.

Sekarang, saya mahu kembali melakukan perkara itu. Percaya dan yakin, mahu sentiasa fikirkan yang positif sahaja. Saya harap saya berjaya. 

Kita semua perlu positif dengan apa yang kita usahakan. Bayangkan kita berjaya melakukannya. Ini berkaitan minda separuh sedar. Jangan tanya lebih-lebih, saya sudah tidak ingat bagaimana mahu jelaskan. Sudah bertahun tidak ulang baca buku law of attraction. :)

Selamat mengejar pelangi.


_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...