Teks: Mazlia Murat
Sebelum ini, saya merancang mahu menulis kisah motivasi dalam bentuk cerita pendek dan mahu menghantar kepada penerbit dengan harapan dapat diterbitkan. Walau bagaimanapun, rancangan saya terhenti di pertengahan jalan kerana kekurangan idea. Semoga selepas ini saya dapat menulis kembali.
_______
“Sejak kita duduk
di sini, rasanya sudah lebih lima kali awak mengeluh. Awak ada
masalah? Muka pun masam sahaja?” tanya Zahra, usai dia menikmati
ABC. Kebetulan hari ini adalah hari terakhir Zahra bekerja sebelum bercuti
tanpa gaji selama enam bulan. Kami minum petang bersama.
“Kadangkala saya
terfikir, mengapa orang kaya berkahwin dengan orang kaya juga? Hujung
minggu lalu, saya menghadiri majlis perkahwinan rakan saya. Dia
doktor, suaminya pula jurutera. Masing-masing daripada keluarga
kaya-raya.” Saya meluahkan perkara yang mengganggu fikiran saya.
Tersenyum Zahra
mendengar keluhan saya. “Memanglah. Sebab orang kaya bergaul dengan
orang kaya.”
“Betul kata awak.
Sudah namanya orang kaya, pergi ke tempat perkumpulan orang kaya,
majlis sana sini, memanglah potensi untuk bertemu jodoh dengan orang
kaya juga.”
“Apa kaitan
perkara ini dengan keluhan awak. Tolong jangan kata awak mengeluh
kerana tidak dapat berkahwin dengan orang kaya,” telah Zahra.
Nafas panjang saya
hela. “Apabila bercakap soal ini, saya cemburu dengan awak. Saya
fikir, awak memang banyak duit, dapat suami pun banyak duit.”
Senyuman Zahra
melebar. “Bagaimana pula awak tahu saya banyak duit?”
“Sebab saya lihat
awak selamba sahaja bercuti tanpa gaji, pada masa sama, masih ada
duit berbelanja. Lagipun, awak juga yang kata awak ada simpanan.
Bukan begitu?”
“Alhamdulillah,
saya memang ada simpanan, tidaklah banyak mana, tetapi cukup untuk
saya bertahan buat satu tempoh. Dan ya, alhamdulillah juga, gaji
suami saya cukup untuk menampung hidup kami berdua dalam tempoh saya
bercuti ini.”
Reaksi spontan,
saya mengeluh. “Lihat, bukankah saya sudah kata awak dan suami awak
banyak duit.”
“Penilaian setiap
manusia tidak sama. Banyak di mata saya, mungkin sedikit di mata
awak.”
“Maksud awak?”
“Sekiranya saya
beritahu awak jumlah simpanan saya, mungkin awak akan rasa sedikit
sahaja. Mungkin awak akan kata, saya fikir banyak, rupa-rupanya
sedikit sahaja.” Zahra masih tersenyum manis.
Saya mengeluh. “Itu
hanya alasan awak.” Entah mengapa, saya seolah-olah mahu
menyalahkan Zahra si perempuan kaya; gelaran yang saya berikan
kepadanya, di atas masalah kewangan yang menimpa saya dan suami.
“Pernah dengar
kata-kata, berasa cukup dengan sedikit, bersyukur apabila banyak?”
tanya Zahra.
Membatu. Saya tidak
memberikan respons walaupun sudah dapat mengagak ke mana hala tuju
percakapan Zahra. Pasti dia mahu menasihatkan supaya bersyukur dengan
kurniaan Tuhan.
“Bukan soal
berapa banyak kita dapat, tetapi bagaimana kita menyimpan dan
membelanjakan wang kita. Juga, bagaimana kita menerima rezeki yang
Allah kurniakan kepada kita. Sebab itulah kadangkala kita lihat orang
kaya berasa tidak cukup dengan apa yang dia ada, manakala si miskin
hidup bahagia dengan sedikit rezeki yang diperoleh. Nikmatnya terasa
apabila kita bersyukur.”
Saya mencebik.
“Cakap memang mudah, awak tidak berada di tempat saya.”
Zahra menarik nafas
panjang. Menghela perlahan. Bibirnya masih kekal mengukir senyuman.
Saya mahu menuduhnya, mengatakan yang senyuman itu sindiran kepada
saya. Namun, tidak tahu mengapa, saya terasa keikhlasan dalam
senyuman itu. Saya tidak mampu berburuk sangka kepadanya.
“Bagaimana awak
begitu pasti saya tidak memahami perasaan awak?” Zahra menduga.
“Sebab duit awak
banyak. Ish, bukankah saya sudah ulang banyak kali. Awak banyak duit,
suami awak pun banyak duit. Lain halnya dengan saya.” Saya mula
hilang sabar. Mungkin saya cuba melepaskan tekanan yang saya rasa
kepadanya. Cemburu dengan kesenangan yang dia miliki.
“Setahu saya,
awak datang daripada keluarga yang stabil. Ibu bapa awak orang yang
berduit. Saya percaya semasa kecil, awak hidup riang tanpa masalah
duit. Malah, seingat saya, awak ada beritahu punya wang simpanan yang
awak sendiri tidak tahu jumlahnya, hasil tabungan ibu awak untuk awak
sejak awak kecil.” Saya mengangguk. Benar, sejak kecil ibu membuka
akaun untuk saya dan menabung sejumlah wang setiap bulan. Malah,
sesudah dewasa pun saya pernah dibantu ayah beberapa kali apabila ada
masalah kewangan.
“Awak tidak pernah
tahu bagaimana rasanya tidak berduit semasa kecil. Jauh berbeza
dengan kehidupan yang saya lalui. Semasa saya kecil, keluarga saya
hidup susah. Jangankan udang, sotong, mahu makan ayam dan daging pun
jarang sekali. Dapat makan telur sekali-sekala pun sudah bersyukur.
Malah, ke sekolah berjalan kaki dan tanpa wang belanja bukan perkara
asing untuk saya.” Wajah Zahra masih manis. Namun, matanya berkaca,
mungkin terkenang kisah silam. Saya mula digigit rasa bersalah. Malu
pun ada.
“Disebabkan
kesusahan semasa kecil, saya bertekad mahu berusaha mendapatkan duit
yang banyak apabila dewasa. Alhamdulillah, duit yang saya peroleh,
tidaklah banyak mana, namun rezeki yang Allah kurniakan tidak pernah
putus. Senang cakap begini, dugaan saya semasa kecil adalah duit,
manakala dugaan awak semasa besar adalah duit. Masih mahu kata
keadaan kita tidak adil? Lagipun saya lihat, awak tidaklah susah
mana. Masih mampu berbelanja, malah gaya hidup awak lebih mewah
berbanding saya.” Panjang lebar hujah Zahra, buat saya terdiam.
Tertunduk malu.
“Setiap orang,
dugaannya berbeza. Saya sudah diuji dengan masalah duit semasa kecil.
Alhamdulillah, sekarang saya tidak bermasalah soal kewangan. Tidaklah
mewah, namun cukup untuk saya menjalani hidup dengan baik. Namun, itu
tidak bererti hidup saya mudah, ada ujian lain pula untuk saya. Awak
nampak hidup saya seperti mudah kerana saya tidak bercerita masalah
saya. Itu sahaja. Begitu juga dengan orang lain yang kaya-raya itu
Manalah kita tahu ujian yang mereka hadapi. Kita melihat hidup
mereka mewah, tetapi adakah mereka hidup bahagia?”
Saya
menggigit bibir. Hilang kata-kata.
“Saya bukan mahu
mengatakan masalah awak kecil, jauh sekali mahu mengatakan awak tidak
bersyukur dengan apa yang awak ada. Saya cuma mahu mengatakan tidak
perlu awak berasa cemburu dengan saya, kerana dugaan kita tidak sama.
Masing-masing ada bahagian masing-masing.”
Saya terus membatu, memikirkan kata-kata Zahra.
“Berasa cukup
apabila sedikit, bersyukur apabila banyak. Itulah rahsianya untuk
kita tenang-tenang sahaja menjalani hidup.” Suara lembut Zahra
mengakhiri perbualan kami petang itu.
_______
No comments:
Post a Comment