Sunday 20 October 2013

1 Manuskrip Berapa Penerbit?


Teks oleh: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Seorang penulis sudah menyiapkan tiga manuskrip. Beliau bercadang menghantar kepada tiga penerbit berbeza. Satu manuskrip satu penerbit. Alasan beliau, itu kali pertama buku beliau akan diterbitkan. Beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana penerbit. Jadi beliau mahu menimba pengalaman berurusan dengan penerbit berbeza. Lagipun beliau mahu buku cepat diterbitkan.

Adakah betul tindakan yang beliau mahu ambil?

Terpulang. Itu hak beliau.

Namun, beliau juga ada pilihan untuk berbincang dengan satu penerbit tentang ketiga-tiga manuskrip itu. Katakan ketiga-tiga novel dewasa. Maka kalau diterbitkan oleh penerbit yang sama secara berturutan, boleh dipromosi secara pakej.

Begitu juga kalau ia manuskrip non-fiksyen yang saling berkaitan. Lebih baik diterbitkan di bawah satu bumbung.

Bagaimana pula apabila satu manuskrip yang sama dihantar serentak kepada dua rumah penerbitan berbeza?

Saya pernah menerima e-mel. Satu e-mel yang dilampirkan satu manuskrip dihantar kepada dua alamat e-mel yang mana mewakili dua rumah penerbitan. Malah saya boleh tahu penerbit yang satu lagi itu siapa.

Wajarkah tindakan itu?

Mungkin beliau cuma mencuba nasib. Siapa yang sudi, dia terbitkan.

Tindakan ini menyalahi etika seorang penulis. Hantar pada satu penerbit pada satu-satu masa. Sekiranya tidak diterima, barulah dihantar kepada penerbit yang lain.

Jangan tamak, jangan risaukan masa yang terbazir. Dibimbangi diri sendiri yang rugi.  Katakan wakil penerbit A mengabaikan e-mel kita dengan anggapan penerbit B mungkin sudah menerima manuskrip itu. Sebaliknya penerbit B pun beranggapan yang sama. Dua-dua pun mengabaikan manuskrip kita. Siapa yang rugi?

Ada juga situasi dua penerbit memproses manuskrip yang sama kerana ketamakan penulis yang tidak mahu berterus terang. Kononnya siapa penerbit yang cepat proses, maka penerbit itu yang akan dipilih.

Industri penerbitan di negara ini kecil sahaja. Apatah lagi dengan kewujudan laman sosial. Semua pun berkawan. Imej yang tercalar susah mahu dipulihkan kembali. Kepercayaan yang hilang sukar dikembalikan.

Sabar. Pasti ada rezeki untuk kita apabila kita mengikut jalan yang betul.

Marilah kita sama-sama mengejar pelangi .

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...