Sunday 27 October 2013

20 Sebab Manuskrip Ditolak (Bahagian 2)

Teks oleh: Mazlia Murat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Sambungan Bahagian 1

6. Pasaran terhad.
Manuskrip yang bagus namun terhad untuk bidang tertentu yang mana kelompok pembaca kecil dan tidak sesuai diterbitkan di pasaran runcit.

7. Penulis tiada kredibilti.
Buku dalam bidang tertentu ditulis oleh penulis yang diragui kredibiliti dan kepakarannya untuk 'berhujah' dalam bidang itu.

8. Tidak mengenali sasaran pembaca.
Tema, bahasa dan jalan cerita yang tidak sesuai untuk peringkat umur pembaca yang disasarkan. Manuskrip ditulis tanpa sasaran pembaca yang tertentu (tidak jelas).

9. Ketebalan manuskrip tidak menepati kriteria penerbit.
Manuskrip terlalu panjang ataupun terlalu pendek.

10. Tiada 'hook' atau 'cangkuk'.
Pembukaan permulaan manuskrip (sama fiksyen mahupun non-fiksyen) yang mudah dilupakan, tidak menarik, dan gagal 'mengikat' perhatian pembaca untuk terus membaca.

11. Manuskrip tidak bersih.
Struktur ayat tunggang-langgang. Terlalu banyak kesalahan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca sehingga mengganggu pembacaan.

12. Tiada rujukan dan kajian/fakta yang menyokong penulisan.
Tulisan non-fiksyen yang terlalu bersifat pandangan peribadi tanpa sokongan fakta dan sukar diaplikasi oleh pembaca.

13. Syok sendiri.
Imaginasi yang melampau. Kisah fiksyen yang terlalu ideal dan tidak realistik sehingga tidak dapat diterima oleh logik akal pembaca.

14. Ganjaran untuk pembaca tidak jelas.
Manuskrip berpotensi besar dianggap pembaca sebagai pelaburan yang sia-sia. Apa yang pembaca dapat dengan mengeluarkan duit dan masa untuk membaca satu-satu buku lebih utama berbanding apa yang penulis suka dan mahu tulis.

15. Lambakan fakta dalam manuskrip fiksyen.
Terlalu banyak ilmu yang mahu dikongsi tetapi tidak diolah dengan baik; membuatkan pembaca merasakan seperti membaca 'buku teks'.

16. Masalah plot untuk manuskrip fiksyen.
Plot dan subplot cerita yang terlalu biasa (klise) dan hambar; perjalanan cerita mendatar. Tiada unsur saspens dalam cerita yang membuatkan pembaca tertanya-tanya dan mahu terus membaca sehingga ke muka surat terakhir untuk mendapatkan jawapan. Tiada klimaks.

17. Masalah olahan.
Susunan ayat tidak menarik, meleret-leret, berbelit-belit. Semua perkara ditulis satu-satu, penerangan terlalu terperinci; lebih elok diceritakan melalui tindakan watak (show don't tell).
Naratif terlalu panjang ataupun dialog yang tidak berfungsi, membosankan dan menyebabkan pergerakan cerita menjadi perlahan.
Selepas suku ataupun separuh dibaca, pembaca sudah melangkau ke halaman terakhir ataupun menutup terus buku.

18. Masalah watak dan pembangunan watak.
Karakter tidak jelas, tidak berbeza antara satu sama lain, dan tiada perubahan pada karakter sepanjang cerita.
Lemah, dan tidak dikembangkan dengan baik. Watak protagonis terlalu sempurna. Watak antagonis tidak menonjol dan meninggalkan kesan.

19. Masalah konflik dalam cerita.
Konflik muncul lambat dalam cerita, tidak kuat dan menyakinkan. Tidak cukup konflik.

20. Penutup yang tidak meyakinkan.
Tidak logik, menghampakan, ataupun ditulis dengan tergesa-gesa.


Selamat mengejar pelangi.


p/s: PM saya di FB Mazlia Murat untuk menyertai kelas online asas blog sebagai persediaan menjadi penulis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...