Thursday 31 October 2013

20 Ciri Penulis Prolifik Yang Best Seller (Bahagian 2)


Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Klik di sini untuk membaca Bahagian 1

14. Anjakan paradigma.
Dari semasa ke semasa, lakukan perubahan dalam penulisan ke arah lebih baik. Kandungan yang lebih baik, olahan yang lebih menarik, plot yang di luar jangkaan dan sebagainya. Ini bagi mengekalkan pembaca sedia ada dan menarik pembaca baru.

15. Tonjolkan produk dan diri.
Bukan bermaksud gila glamor, syok sendiri, dan sebagainya. Sebaliknya, pastikan khalayak menyedari kewujudan buku tulisan kita. Gunakan ruang promosi percuma yang ada. Rajinkan diri menyertai aktiviti promosi yang dilakukan oleh penerbit.

16. Timbul dan terus timbul.
Penulis yang mudah dilupakan adalah penulis yang tenggelam timbul. Ambil masa yang lama untuk keluar dengan produk baru. Konsisten menulis, pastikan ada buku setiap tahun, jumlahnya bergantung pada persetujuan dengan penerbit dan matlamat yang ditetapkan.

17. Profesional tetapi mesra didekati.
Pembaca masa kini suka mengetahui perkembangan penulis. Ada yang menjadikan idola. Ada yang mengaku peminat setia. E-mel, Facebook, twitter, blog jadi penghubung. Hebahkan perkembangan terkini supaya pembaca yang kini menjadi peminat peka dengan kita. Ketika menulis buku baru, kita boleh ambil peluang untuk promosi sebelum buku ditebitkan. Malah, penulis yang bijak sudah mengambil tempahan buku. Buku terjual sebelum masuk stor penerbit.Tulis yang baik-baik di laman sosial bagi menjaga imej kita. Elakkan menggunakan perkataan yang kasar, meletak gambar yang tidak sesuai, pendek kata, jaga-jaga, ada yang memerhati.

18. Dengar dan ambil tindakan.
Kemudahan berhubung juga membuatkan pembaca mudah memberi komen. Puji-pujian memang mengembangkan hati. Berfikiran positif apabila ada komen yang sebaliknya. Ambil peduli dan lakukan perubahan sekiranya ia bersesuaian. Kuasa membeli di tangan pembaca.

19. Zakat dan sedekah.
Walau beratus ciri ataupun tip yang dikongsikan, paling penting adalah menunaikan kewajipan. Dalam setiap wang royalti yang kita peroleh ada milik orang lain. Tunaikan zakat. Rajinkan bersedekah. Ikhlaskan hati melakukan dua perkara ini, insya Allah kita akan mendapat rezeki yang berkat. Rezeki bukanlah dalam bentuk wang semata-mata. Rezeki juga boleh datang dalam bentuk idea yang mengalir, ruang masa untuk menulis, dan sebagainya.

20. Usaha, doa, tawakal.
Bagi yang beragama Islam, doa adalah senjata orang Mukmin. Berusaha bersungguh-sungguh, berdoa, dan berserahlah kepada yang maha Esa. Berlapang dada menerima ketentuan-Nya.


Selamat mengejar pelangi.


___________________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...