Monday 21 October 2013

Tip 4 Penulisan Karya Fiksyen

Teks oleh: Mazlia Murat

Tip 4: Menambah Ketebalan Manuskrip

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Beberapa kali saya ditanya bagaimana mahu memanjangkan manuscript; terutama novel dewasa.

Sebenarnya saya bukan orang yang tepat untuk memberikan jawapan kerana sebagai penulis saya sendiri menghadapi masalah menulis novel tebal. Tiga novel saya diterbitkan oleh Alaf 21, ketiga-tiga juga diminta oleh editor supaya ditambah ketebalan selepas penilaian kali pertama.

Namun saya boleh berkongsi sedikit pengalaman menulis dan menilai manuskrip penulis.

1. Rancang penulisan.
Kenal pasti watak yang mahu ditulis, karakter dan latar belakang dengan jelas.

Apabila penulis sudah jelas dengan watak yang mahu ditulis, perkembangan watak akan lebih tersusun sekali gus memudahkan penulisan.

2. Watak yang ramai dan berfungsi.
Lebih ramai watak lebih banyak subplot. Lebih banyak konflik kecil milik setiap watak dapat diwujudkan.

Namun hadkan watak supaya tidak terlalu banyak dan hanya jadi tempelan. Pastikan watak tidak tenggelam timbul. Ada pada awal cerita, hilang tanpa dikesan pada pertengahan cerita dan tiba-tiba muncul pada akhir cerita tanpa nilai tambah pada cerita.

3. Dialog.
Banyakkan dialog dalam penulisan tetapi seimbangkan dengan naratif. Apabila kekeringan idea, ulang baca scene yang sudah ditulis. Tambah dialog yang sesuai. Pastikan penambahan itu tidak menjadikan scene meleret dan menbosankan sebaliknya lebih dramatik dan menarik.

Dialog yang baik adalah dialog yang mempunyai input, menggerakkan cerita. Dialog tanpa nilai tambah hanya melambatkan pergerakan cerita dan menampakkan penulis tiada idea, hanya mahu menebalkan muka surat.

4. Scene.
Penambahan scene sangat membantu. Kadangkala apabila kita baca semula, antara dua scene boleh diselitkan scene lain. Ataupun ada scene boleh dipanjangkan. Penambahan scene seiring dengan penambahan konflik dan dialog.

5. Tempoh cerita yang panjang.
Cerita yang mempunyai time frame yang panjang akan mempunyai banyak plot dan subplot. Orang yang sudah hidup 25 tahun pasti sudah melalui lebih banyak perkara berbanding yang baru hidup 10 tahun. Begitulah juga dengan cerita.

Watak A berusia 23 tahun. Cerita yang ditulis berkaitan kehidupannya sebagai pelajar kolej. Flashback tentang kehidupan semasa kanak-kanak akan membantu memanjangkan cerita tetapi, pastikan ada kaitan dengan jalan cerita.

Selamat mengejar pelangi.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...