Friday 1 November 2013

Hak Cipta vs Hak Penerbitan


Teks: Mazlia Murat

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Ramai orang tahu tentang hak cipta. Ramai juga yang keliru kerana menyangka apabila kita bersetuju memberikan manuskrip kita kepada satu-satu rumah penerbitan, maka, kita menyerahkan hak cipta kita. Pemahaman itu tidak tepat. 

Apabila kita menulis, secara automatik kita memegang dua hak iaitu hak cipta dan hak penerbitan. Sebagai penulis, kita perlu memahami perbezaan hak cipta dan hak penerbitan, bagi melindungi tulisan kita.

Manuskrip asal kita dilindungi sebagai harta intelek di bawah Akta Hak Cipta 1987(AHC). Jangka masanya tamat selepas 50 tahun kematian pemiliknya. Selepas itu, karya itu tidak lagi dilindungi di bawah Akta Hak Cipta, sebaliknya menjadi public domain atau hak awam. Ia boleh diterbitkan semula oleh mana-mana penerbit. Contoh karya yang sudah menjadi public domain adalah novel penyiasatan Sherlock Holmes.

Manakala bagi karya yang tidak diterbitkan semasa hayat penulis, tempohnya adalah 50 tahun dari tarikh penerbitan.

Oh ya, idea tidak dilindungi di bawah akta ini melainkan idea yang sudah ditulis/direkod.

Apabila saya menulis 'asal' bermaksud hak cipta kita adalah ke atas manuskrip yang kita tulis dan bukannya yang sudah disunting dan disusun atur oleh penerbit. 

Harta intelek ini pula seperti harta lain, ia boleh dijual, dibeli, dan digunakankan dengan pelbagai cara. Dengan kata lain, sekiranya kita tersilap langkah, kita mungkin menyerahkan hak cipta kita kepada orang lain tanpa disedari.

Baca di sini untuk maklumat lanjut.

Seperti hak cipta, hak penerbitan juga boleh dipindah milik. 

Apabila kita berurusan dengan penerbit, jangan sesekali menyerahkan hak cipta. Sekiranya kita menyerahkan hak cipta, maka kita bukan lagi pemilik manuskrip itu dan tidak berhak menuntut sebarang bayaran (royalti mahupun honorarium ataupun sebarang bentuk bayaran) apabila karya kita diterjemahkan, diadaptasi dan sebagainya. 

Ia umpama kita menjual rumah kita dan bukannya menyewakan kepada orang lain. Kita tidak lagi memiliki sebarang hak ke atas rumah yang memungkinkan kita menerima sebarang faedah.

Penulis baru kadangkala tidak peka soal ini. Saya pernah menerima e-mel mengatakan beliau mahu menjual manuskrip beliau. Beliau bertanya, berapakah harga yang sanggup dibayar oleh penerbit. Kemujuran buat beliau, beliau menghantar e-mel kepada penerbit yang menjaga hak penulis.

Saya menerangkan kepada beliau tentang amalan di syarikat itu yang tidak membeli manuskrip sebaliknya membayar royalti dan sebagai balasan, penerbit diberi lesen eksklusif (hak penerbitan) untuk menerbitkan manuskrip itu.

Dalam erti kata lain, hak cipta kekal hak penulis. Manakala hak penerbitan iaitu lesen eksklusif bagi menerbitkan manuskrip itu buat satu tempoh diberikan kepada penerbit. Terma perjanjian adalah berbeza bagi setiap rumah penerbitan. 

Sebagai contoh, ada klausa dalam perjanjian akan menyebut penulis bersetuju memberikan lesen eksklusif kepada penerbit untuk menerbitkan edisi pertama, edisi selanjutnya dalam semua bahasa, untuk pasaran seluruh dunia. 

Selain itu, lesen eklskusif ini juga selalunya merangkumi penerbitan buku itu dalam bentuk lain, seperti buku elektronik, komik, adaptasi ke drama ataupun filem dan sebagainya. Pada kebiasaannya penerbit akan meminta semua hak ini buat satu tempoh. Dan penulis akan mendapat royalti ataupun apa-apa bayaran. Namun, ia terpulang pada persetujuan bersama. 

Oleh itu, baca dan semak perjanjian penerbitan terlebih dahulu sebelum tandatangan. Pastikan juga berapa lama tempoh hak penerbitan yang diberikan. Adakah dinyatakan dan adakah tempoh masa itu logik? Sekiranya dikatakan seumur hidup, bersediakah kita menerimanya? 

Apabila satu-satu tempoh dipersetujui, ini bermaksud penulis tidak boleh menerbitkan sendiri ataupun memberikan kepada pihak ketiga (sama ada individu mahupun penerbit lain) untuk menerbitkan manuskrip yang sama, biarpun dengan tajuk berbeza. 

Bagaimana sekiranya tempoh tidak dinyatakan? Ini bermaksud hak penerbitan diberikan kepada penerbit itu buat selama-lamanya. Risikonya adalah, sekiranya penerbit tidak mahu mengulang cetak, tetapi tidak mahu pula memulangkan hak penerbitan, maka kita tetap tidak boleh menghantar manuskrip kita untuk diterbitkan semula oleh penerbit lain.

Ada kalanya penulis terlalu teruja mahu melihat manuskripnya diterbitkan, terus tandatangan tanpa memahami klausa dalam perjanjian penerbitan. Dan kemudian, penulis mengatakan penerbit menipu. 

Fahami setiap klausa. Perbincangan boleh diadakan bagi mencapai kata sepakat boleh dibuat bagi memastikan hak sebagai penulis dilindungi pada masa sama, hak penerbit juga dijaga.


Selamat mengejar pelangi. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...