Sunday 10 November 2013

CH: Kalau Kutahu...


Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Dua tiga kali ke pejabat pos di pusat beli-belah itu, saya senang hati. Lengang. Jadi saya fikir memag tidak ramai orang berurusan di pejabat pos itu.

Terlalu mudah saya membuat kesimpulan. Nyata andaian saya silap. Hari itu, ramai menunggu di dalam. Ramai juga di luar. Nombor giliran saya dan suami... aduhai.... Mahu berpatah semula, kotak seberat 9 kilogram. Kasihan pula kepada suami. Sudahlah parking jauh.

Mujur saya sudah semakin selesa menyusukan anak di hadapan khalayak. Dengan berbekalkan snugg baby sebagai alas/bantal, dan T-Shirt jenis selak, saya pun gigihkan hati menyusukan anak. Sesekali anak saya merengek tidak selesa. Maklumlah, ramai orang. Maka terasa panas. Sejuk dari pendingin hawa tidak terasa.

Sejam lebih, saya rasa mahu mengalah. Nombor saya masih jauh lagi. Pelik betul saya. Mengapa ramai sangat hari ini. Kaunter pula hanya dibuka dua. Ini boleh menimbulkan kemarahan! Lebih menekan rasa, urusan setiap orang terasa lama. Alahai... lain kali isi borang awal-awallah!

Anak semakin tidak selesa. Berpeluh. Menangis.

Tiba-tiba kedengaran suara, pengurus cawangan. Saya buat kesimpulan kerana sesekali beliau keluar masuk bilik yang bertulis pengurus cawangan. Beliau meminta pelanggan yang ada bayi ke kaunter dahulu. Wah, saya dan suamilah orang yang dimaksudkan itu! Alhamdulillah.

Suami segera menyelesaikan urusan di kaunter. Saya pula menenangkan anak. Bersiap mahu keluar dari pejabat pos itu.

Kata saya, "Kalau saya tahu, saya biarkan anak menangis dari awal." :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...