Saturday 2 November 2013

Perjanjian Penerbitan


Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google




Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Perjanjian Penerbitan adalah kontrak yang ditandatangani antara penerbit dan penulis (ataupun wakil penulis), sebagai persetujuan untuk bekerjasama dalam penerbitan buku. Dalam erti kata lain, perjanjian penerbitan adalah bukti bertulis tentang kerjasama itu.

Perjanjian penerbitan bertujuan bukan sahaja melindungi hak penulis tetapi juga penerbit.

Pastikan perjanjian penerbitan ditandatangani sebelum manuskrip diterbitkan. Baca, semak, dan fahami setiap klausa dalam perjanjian penerbitan bagi mengelakan isu berbangkit.

Antara perkara penting dalam perjanjian penerbitan yang perlu dititikberatkan oleh penulis:

1. Kuat kuasa perjanjian
Semak bagi memastikan perjanjian itu berkuat kuasa untuk manuskrip itu sahaja. Satu manuskrip, satu perjanjian. Melainkan penulis memang bersetuju untuk menandatangani satu perjanjian yang merangkumi lima buku sekali gus contohnya. Walau bagaimanapun, seelok-eloknya satu perjanjian satu buku.

2. Pelantikan wakil penulis.
Sekiranya satu buku ditulis bersama dua orang ataupun lebih, seorang penulis akan dilantik sebagai wakil. Semak sama ada peratusan pembahagian royalti adalah seperti yang dipersetujui bersama oleh semua penulis.

3. Semak tempoh masa perjanjian, klausa tentang hak cipta, dan hak penerbitan.
Fahami perkara-perkara yang terangkum dalam lesen eksklusif yang diberikan kepada penerbit.
Sebagai contoh, katakan lesen eksklusif yang diberikan merangkumi hak untuk difilemkan.
Sekiranya ada penerbit filem yang menghubungi penulis dan berminat menerbitkan filem berdasarkan buku penulis, penulis perlu memaklumkan kepada penerbit buku. Ini kerana sebarang perjanjian sepatutnya antara penerbit filem dengan penerbit buku.

4. Royalti dan pembahagian royalti.
Peratusan royalti dan kaedah pengiraan berbeza mengikut amalan setiap rumah penerbitan. Fahami betul-betul cara kiraan.
Sebagai contoh, ada rumah penerbitan menjanjikan royalti berdasarkan harga jualan. Ada pula selepas ditolak diskaun.
i. Y% x harga jualan x jumlah naskhah yang terjual
ii. W% x harga jualan x jumlah naskhah yang terjual x diskaun 50% (tolak kos)
Semak tempoh bayaran akan dibuat. Ada penerbit yang membayar setahun sekali, ada yang tiga bulan sekali dan sebagainya.

5. Fahami semua klausa berkaitan tanggungjawab penulis dan penerbit seperti soal promosi, ganti rugi sekiranya melanggar perjanjian, kos penerbitan, dan sebagainya.

Kita perlu membaca perjanjian penerbitan dengan teliti, jangan ambil mudah. Terutama apabila kali pertama berurusan.
Malah, sekiranya sudah banyak kali berurusan dengan penerbit yang sama, seeloknya baca juga. Manalah tahu ada perubahan klausa dalam perjanjian penerbitan berbanding perjanjian buku terdahulu.
Sekiranya kurang jelas, penulis berhak bertanya dan mendapatkan penjelasan daripada wakil penerbit (editor). Malu bertanya sesat jalan.


Selamat mengejar pelangi.

___________________

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...