Friday 8 November 2013

PPN: Genre, Tema, dan Sasaran Pembaca


Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Ramai orang mahu menulis. Namun, ada yang tidak tahu mahu bermula dari mana. Saya akan memperincikan beberapa aspek penting yang perlu ada dalam satu-satu manuskrip. Ia juga sebagai panduan untuk memulakan penulisan.

Perkara pertama yang perlu diputuskan adalah genre apa yang mahu ditulis?

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, genre bermaksud kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk, atau kandungan tertentu. Istilah genre berasal daripada perkataan Perancis yang bererti ' jenis' atau 'macam'. 

Terdapat lima genre utama dalam kesusasteraan Melayu hari ini, iaitu puisi, cerpen, novel, drama, dan kritikan sastera. Dalam setiap genre itu pula dapat pula dibahagikan kepada jenis-jenis yang kecil lagi, sebagai contoh antara genre novel adalah novel romantik, novel sejarah, novel realistik, novel politik, novel komedi, novel thriller, dan lain-lain. 

Blog ini memfokus kepada penulisan genre novel, dan boleh juga diaplikasi dalam penulisan cerpen.

Genre berkait rapat dengan tema.

Tema bermaksud perkara atau persoalan utama yang menjadi dasar sesuatu karangan atau cerita. Ia dibangkitkan secara langsung mahupun tidak langsung. Antara tema yang menjadi pilihan dalam penulisan adalah tema persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang, cinta, dan sebagainya. 

Pada kebiasaanya, ada satu tema dalam satu-satu karya, tetapi dibangunkan oleh banyak persoalan; perkara atau isi yang lebih kecil yang ada hubungan dengan tema.

Pemilihan genre dan tema berkait rapat dengan sasaran pembaca. Kepada siapa kita mahu sasarkan penulisan kita? Adakah kepada kanak-kanak, remaja ataupun untuk pembaca dewasa? Bagaimana pula dengan jantina, profesion, dan lokasi pembaca? Kita juga perlu mengambil kira siapa yang akan mengeluarkan wang. Apabila kita memutuskan untuk mensasarkan kepada pembaca kanak-kanak, selalunya ibu bapa adalah pembelinya. Maka kita perlu mengambil kira bukan sahaja pembaca tetapi juga pembeli.

Terdapat banyak kategori pembaca, iaitu yang membuat keputusan berdasarkan emosi, yang rasional, yang sentiasa mahukan nilai tambah, dan ada juga yang mudah terpengaruh dengan pandangan orang ramai. 

Faktor pembaca boleh mempengaruhi kesesuaian pemilihan tema dan seterusnya penulisan kita. Faktor ini juga antara perkara yang dinilai oleh sesebuah rumah penerbitan.


Dengan mengambil kira faktor pembaca sebelum memulakan penulisan, kita akan mengurangkan risiko karya menjadi syok sendiri, sekali gus meninggikan peluang karya kita menjadi pilihan pembaca. Menulis sesuatu yang menepati kehendak pasaran adalah langkah awal karya kita disukai penerbit dan langkah awal menjual karya kita.


Marilah mengejar pelangi.


_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.





 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...