Friday 8 November 2013

TP: Dialog vs Naratif

Teks oleh: Mazlia Murat
Foto: Carian Google


Dialog adalah bentuk penceritaan yang disampaikan melalui perbualan oleh dua ataupun lebih watak. Ayat dialog lebih laju dibaca berbanding naratif. Manakala dialog yang pendek sudah semestinya lebih laju dibaca berbanding dialog panjang.

Dialog yang baik mempunyai nilai iaitu bertindak sebagai penggerak cerita. Ini sekali gus membantu pergerakan cerita menjadi lebih laju berbanding penceritaan dalam bentuk naratif.

Satu lagi kelebihan menulis banyak dialog berbanding naratif adalah, karya itu lebih mudah diadaptasi menjadi sama ada novel grafik, drama mahupun filem.

Walau bagaimanapun, sebagai penulis, kita perlu berhati-hati supaya tidak banyak menulis dialog yang tiada nilai cerita. Dialog sebegini hanya melambatkan perkembangan cerita, membosankan apabila dibaca, dan paling penting menimbulkan persepsi yang penulis tidak mempunyai bakat bercerita yang tinggi.

Contoh dialog yang tidak mempunyai nilai adalah dialog bertanya khabar, bertanya sudah makan ataupun belum yang berulang berkali-kali dalam karya dan meleret-leret.

Di bawah adalah contoh perbualan yang boleh diringkaskan:

Handpone Aminah berdering. Dia segera menjawab, "Helo."
"Helo." Kedengaran suara menjawab. "Boleh saya bercakap dengan Aminah?"
"Ya, saya bercakap. Siapa di sana?" tanya Aminah.
"Saya Ranjini. Awak apa khabar?" tanya Ranjini pula.
"Saya baik. Awak okey?" balas Aminah.
Ranjini pula menjawab, "Saya okey."
"Kenapa awak telefon saya?" tanya Aminah.
"Saya ada hal nak beritahu awak."
"Hal apa?" tanya Aminah lagi.
"Sebenarnya saya nak minta tolong awak. Saya tak faham kalkulus yang cikgu ajar tadi. Boleh awak ajar saya?" jelas Ranjini dengan panjang lebar.
"Boleh. Awak datanglah ke rumah saya pukul 4.30 petang nanti. Kita ulang kaji bersama-sama."
"Baiklah. Terima kasih, Aminah," ucap Ranjini, bersetuju.
Talian diputuskan.


Selepas diringkaskan:

Handphone Aminah berdering. Tertera nama Ranjini pada skrin.
Pantas Aminah menjawab panggilan itu, "Hai, Ranjini. Ada apa-apa boleh saya bantu?"
"Wah, bagus betul kaunter khidmat pelanggan awak." Gurauan Ranjini disambut tawa Aminah.
"Memang saya perlukan bantuan awak. Saya tak faham kalkulus yang cikgu ajar tadi," akui Ranjini.
Aminah pantas mempelawa, "Awak datanglah ke rumah saya pukul 4.30 petang nanti. Kita ulang kaji bersama-sama."
"Baiklah. Terima kasih, Aminah," ucap Ranjini, bersetuju.
Talian diputuskan.



Selamat mengejar pelangi.



_______

PM Mazlia Murat untuk sebarang pertanyaan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...