Thursday 7 November 2013

CP: Bukan Senang Nak Jadi Senang


Teks: Mazlia Murat
Foto: Carian Google



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Seorang penulis tersohor pernah bertanya kepada saya dengan nada sinis. Saya menulis kerana apa. Minat ataupun duit.

Alahai... Apa yang dia tidak tahu adalah semasa bermula, saya tidak pernah terfikir yang penulis boleh jadi jutawan. Dan sampai sekarang pun saya bukannya jutawan. Saya penulis suam-suam kuku sahaja. :)

Ada juga pernah bertanya adakah saya kenal sesiapa di syarikat penerbitan itu yang membolehkan manuskrip saya diterbitkan. Jawapannya tidak. Saya tidak mempunyai 'kabel' ketika melangkah ke dunia penulisan. Jadi, jangan risau. Sesiapa pun berpeluang jadi penulis. Tidak perlu guna 'kabel'.

Saya masih ingat tahun itu. 2003. Selepas tamat pengajian, saya tiba-tiba jadi sangat takut untuk bekerja dalam bidang yang dipelajari. Saya rasa seperti tidak tahu apa-apa.
Bukanlah tidak berusaha langsung mencari kerja. Malah, ditipu pun pernah. Saya bukan daripada keluarga kaya. Jadi, sudah tentu saya tertekann apabila duit yang tidak seberapa yang saya ada hangus begitu sahaja.

Sehinggalah saya terbaca semula catatan saya tentang senarai perkara yang saya mahu capai. Satu daripadanya adalah menulis novel. Memandangkan saya fikir hanya itu perkara yang saya mampu lakukan tanpa modal: komputer ada di dalam bilik, bil elektrik mak bayar, maka saya pun berusaha dalam diam. Masa saya banyak dihabiskan di dalam bilik. Berkurung, menulis.

Mak mula bising kerana saya tidak keluar mencari kerja. Tertekan, saya menulis surat kepada mak. Ya, bilik bersebelahan tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu meluahkan. Saya terangkan saya takut mahu bekerja. Saya terangkan saya sedang usahakan sesuatu; untuk mendapatkan keyakinan diri dan mungkin duit kalau berjaya. Mak tidak membalas surat, tetapi tidak lagi mendesak saya.

Saya menulis tanpa tahu apa akan berlaku. Saya tidak kenal sesiapa pun. Saya cari di Internet, terjumpa nama Puan Sri Diah. Saya e-mel dan bertanya beliau. Beliau membalas dan menyuruh saya bertanya Alaf 21. Encik Ali (editor pada masa itu) memberitahu cara menghantar manuskrip dan syaratnya.

Tidak sabar, saya mencetak biarpun tidak memenuhi syarat; jumlah muka surat minimum.

Saya dan mak menaiki bas ke bandar. Kami ke pejabat pos dan saya hantar menggunakan pos laju. Dalam perjalanan pulang, diiringi bunyi bising angin dan enjin bas, mak bertanya, boleh dapat duitkah nanti. Saya jawab, mungkin dapat kalau diterima. Dalam RM500, itu bayangan saya. Waktu itu saya tidak tahu apa-apa tentang royalti penulis dan sebagainya.

Saya menunggu dengan harapan menggunung. Tiga hari kemudian, telefon rumah berdering. Saya dapat merasakan itu panggilan daripada Alaf 21. Saya terus angkat, dan ya, Puan Saadiah (yang selepas itu saya panggil Kak Saadi) yang menelefon. Katanya, tiga orang editor baca. Dua terima, satu tolak. Ikut majoriti, saya diberi peluang. Lalu beliau memberi komen rombakan dan pembetulan yang perlu saya lakukan. Saya merombak hampir 80 peratus daripada cerita asal termasuklah penambahan muka surat.

Itu titik permulaannya. Sekitar September 2004 saya mendapat cek pertama, iaitu pendahuluan sebanyak RM500 apabila novel saya diterbitkan. Pada masa itulah baru saya tahu tentang royalti penulis. Mujur saya ditemukan oleh Allah dengan saluran yang betul dan penerbit yang jujur.

Tujuh bulan selepas diterbitkan, saya menerima royalti pertama dan jumlahnya memang mengejutkan saya. Alhamdulillah. Saya gunakan wang itu untuk bayar sebahagian hutang PTPTN, bayar hutang kepada mak, hadiahkan kepada keluarga, simpan, dan belanja diri sendiri. Oh, dan belanja editor. Itu langkah awal saya.

Sekarang saya sedang melalui fasa lain. Saya bermula semula daripada kosong. Saya tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Ada masa saya bersemangat. Ada masa saya rasa mahu mengalah.
Saya pujuk hati, biar lambat, perlahan-lahan melangkah. Saya serahkan semua kepada-Nya.

Setiap daripada kita melalui cabaran masing-masing. Usaha, doa, dan tawakal. Semoga kita berjaya mengharunginya.

Semasa menulis entri ini, hati saya sebak terkenang mak. Setiap buku yang diterbitkan, saya akan hadiahkan kepada mak. Al-Fatihah untuk Hajah Zairiyah binti Haji Kasim. Semoga ditempatkan dalam golongan orang beriman. Semoga dapat bertemu kembali di jannah kelak.



Marilah bersama-sama mengejar pelangi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...